Kulit kering bukan sahaja dihidapi oleh orang dewasa, malah bayi baru lahir turut mengalaminya.
Tetapi, kulit mereka memang sensitif. Cuaca yang semakin panas mampu menyebabkan kulit bayi yang kering menjadi kemerah-merahan, mudah mengelupas dan menyakitkan badan si kecil.
Cara Kekalkan Kelembapan Kulit Bayi Tidak Sama Seperti Orang Dewasa
Awas, jangan pula di bawa anak berendam apabila melihat kulitnya kering.
Ia sebenarnya boleh memburukkan lagi keadaan.
Penggunaan sabun bayi juga boleh menghilangkan kelembapan badan.
Jadi, untuk mengekalkan kelembapan kulit bayi dan elak dari kering, lakukan perkara-perkara di bawah ini:
6 Cara Kembalikan Kelembapan Kulit Bayi Yang Kering
1. Susukan bayi dengan kerap
Sama ada menyusu badan mahupun dengan susu formula, pastikan bayi minum secukupnya.
Ini dapat mengelakkan dehidrasi dalam badannya.
2. Lap hingga betul-betul kering
Selepas mandi, lap badan bayi sehingga betul-betul kering terutamanya pada pelipat badan, iaitu belakang siku, ketiak, leher, belakang lutut, dan bahagian telinga.
3. Menyediakan persekitaran yang lebih dingin dan lembap
Elok pasang ‘humidifier’ dalam bilik kerana ia membantu mengekalkan kelembapan dalam bilik.
Suhu yang terlalu panas dan kering boleh menjejaskan kulit bayi.
4. Guna sabun cucian yang sesuai
Baju yang dipakai juga boleh mempengaruhi kerana kulit bayi memang sangat sensitif.
Pastikan anda basuh pakaian bayi mengguna sabun cucian dan pelembut pakaian yang memang dikhaskan untuk bayi. Jenis cucian khusus ini biasanya bersifat ‘hypo-allergenic’ dan tidak akan merengsakan kulit sensitif bayi.
5. Guna pelembap badan
Sapu pelembap pada bayi sekurangnya dua kali sehari. Ini dapat mengurangkan kekeringan pada kulit bayi.
Seelok-eloknya, pilih produk organik yang khusus untuk bayi.
6. Pilih losyen/minyak yang sesuai
Kulit bayi yang sensitif menyukarkan pemilihan produk yang sesuai.
Oleh itu disarankan memilih losyen/minyak yang membantu mengekalkan minyak semula jadi pada kulit bayi.
Antara contoh yang biasa terdapat di pasaran ialah seperti ‘Sunflower oil’, ‘Grapeseed oil’, ‘Perfume-Free Baby Mineral oil’ dan ‘Petroleum Based Emollients’.
Kulit Bayi Yang Kering Boleh Menjadi Ruam
Adalah penting untuk mengekalkan kelembapan kulit bayi yang sangat sensitif, lebih-lebih lagi akibat cuaca panas dan tidak menentu akhir-akhir ini.
Maka, cepatlah lakukan sesuatu jika ternampak kesan kulit kering supaya ia tidak menjadi semakin buruk.