Euforia Bola 2026
Asuh

“Sehari Tukar 15 Helai”- Bapa Ini Kongsi Besarkan 5 Anak Dengan Lampin Cawat Sehingga Kini, Gamit Memori Ramai!

lampin cawat

Di sebalik lambakan lampin pakai buang di pasaran, lampin cawat atau lampin kain masih mempunyai tempat di hati segelintir ibu bapa yang percaya ia lebih menjimatkan, mesra alam dan selesa untuk bayi jika digunakan dengan cara yang betul.

Itulah yang dikongsikan oleh seorang pensyarah dari Kota Bharu, Kelantan, Mohd Shaharom Azmin menerusi akaun Threads miliknya apabila mendedahkan kesemua lima orang anaknya dibesarkan menggunakan lampin kain sejak lahir.

Baca juga: Jangan Ambil Mudah! Bayi Alami ‘Selesema Maut’ Selepas Diberi Ubat, PHM Minta Ibu Bapa Rujuk Doktor Dahulu

PENGALAMAN ANAK PAKAI LAMPIN CAWAT, SEHARI TUKAR SAMPAI 15 HELAI

lampin cawat

Gambar: Threads @mohd_shaharom

Perkongsiannya menarik perhatian ramai kerana penggunaan lampin cawat kini semakin jarang diamalkan oleh ibu bapa moden.

Menerusi salah satu video yang dimuat naik, Shaharom berkongsi rutin hariannya menguruskan lampin anak, termasuk membasuh, menjemur dan memakaikannya semula.

Malah, dia sempat berseloroh selepas selesai memasak nasi dagang sebelum menyambung tugas menjemur lampin anak.

“Semalam sahaja anak saya tukar 15 helai lampin. Jangan berani-berani nak pakai lampin cawat ini kalau tak kental,” katanya.

Perkongsian bersahaja itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang mengakui kagum dengan kesungguhannya menguruskan rutin tersebut setiap hari.

Tidak kurang juga yang mengimbau kenangan ketika dibesarkan menggunakan lampin kain suatu ketika dahulu.

Susulan menerima banyak pertanyaan daripada pengikutnya, Shaharom turut menghasilkan video khas yang menunjukkan cara mencuci lampin cawat dengan betul.

Dia menjelaskan, penjagaan lampin kain sebenarnya tidaklah sesukar yang disangka jika dilakukan secara konsisten.

Menurutnya lagi, lampin perlu ditukar kira-kira setiap dua jam supaya bayi kekal selesa selain membantu mengurangkan risiko ruam.

Baca juga: Tak Paksa Ngadap Buku, Ibu Ini Kongsi 7 Didik Anak Cepat Baca Dua Bahasa Sebelum Usia 5 Tahun!

Ketika dihubungi media tempatan, Shaharom berkata kesemua lima anaknya dibesarkan menggunakan lampin cawat sejak lahir.

Selain membantu mengurangkan perbelanjaan keluarga, dia percaya penggunaan lampin cawat juga lebih mesra alam kerana dapat mengurangkan sisa lampin pakai buang yang sukar dilupuskan.

Pada masa sama, dia berpendapat lampin cawat turut membantu mengurangkan risiko iritasi kulit dan ruam bayi sekiranya dijaga dengan betul serta ditukar mengikut waktu yang sesuai.

lampin cawat

Gambar: Threads @mohd_shaharom

Ramai kagum cara lama masih diamalkan

Perkongsian Shaharom menerima pelbagai maklum balas positif daripada warga maya.

Ada yang mengakui penggunaan lampin cawat mengingatkan mereka kepada cara ibu bapa membesarkan anak-anak pada zaman dahulu, manakala sebahagian lagi memuji kesungguhannya kerana sanggup meluangkan masa membasuh dan menjemur lampin setiap hari.

Selain kisah membesarkan anak menggunakan lampin cawat, kediaman klasik milik Shaharom turut mencuri perhatian ramai kerana sering dipaparkan dalam kandungan media sosialnya.

Walaupun ada yang menganggap penggunaan lampin cawat sebagai cara lama, perkongsian itu membuktikan ia masih relevan hingga kini, terutama bagi ibu bapa yang mengutamakan penjimatan.

Bagi yang ingin mengetahui cara memakai lampin cawat, membersihkan cawat plastik atau mencuci lampin kain dengan betul, boleh lihat tutorial beberapa video dikongsikan Shaharom ini.

 

Lihat di Threads

 

 

Lihat di Threads

 

Sumber: Threads @mohd_shaharom

FT Image: Threads @mohd_shaharom

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×