Percutian

Bercuti Di Perth 8 Hari Dengan Campervan. Bajet RM2850 Seorang, All-In!

358
SHARES

Tentu ramai yang ingin menjejakkan kaki ke Perth, Australia. Kami tertarik dengan perkongsian Cik Qaisara Dayana Aqeela kerana mereka travel sesama perempuan saja. Yang menjadikan uniknya percutian mereka ini kerana menggunakan Campervan. Jadi, ada banyak tips dan inspirasi yang boleh diambil daripadanya dari segi keselamatan, kemudahan, dan sebagainya.

Mari kita ikuti perkongsian beliau selengkapnya.

Trip 8 Hari Perth – Albany Dengan Campervan. Bajet Hanya RM2850 Seorang!

Assalammualaikum. Disebabkan ramai yang bertanya tentang percutian 8 hari ke Perth, maka wajarlah untuk dikongsikan pengalaman bercuti di Perth, Australia.

Nukilan ini agak panjang, tapi amat berguna bagi sesiapa yang bercadang nak pergi ke Perth. Apa yang lainnya trip kami kali ini adalah kami menggunakan campervan. Apakah campervan sebenarnya? Campervan ni kami gunakan sebagai alat untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, dijadikan alat untuk tempat tidur, dijadikan alat untuk memasak, dijadikan alat untuk kami beristirehat. Senang cerita multi-purpose functionality.

Trip kami ke Perth terdiri daripada kaum hawa sahaja. Seorang mak dara dan 2 orang anak dara. Mak dara fungsinya macam biasalah, bagi makan dekat anak-anak dara, dan anak-anak dara fungsinya mengemas. Kami bertiga bergilir-gilir untuk memandu. Yalah, kan jauh perjalanan kami. So by hook or by crook, kena berani nak drive dekat negara orang.

tips bercuti di perth

Inilah tempat yang berjaya dilawati menggunakan campervan.

Hari Pertama

Kami sampai di Perth International Airport dalam pukul 6am dan pada masa itu suhu 8celcius. Dah settle amik beg, kami naik bas pergi ke Elizabeth Quay, tambang $4.90/pax. Elizabeth Quay ni macam stesen bas di sana, kalau di Malaysia macam Stesen Bas Pudu.

Kami teruskan perjalanan ke Mountway Apartment Holiday dengan menggunakan khidmat kaki kami. Perjalanan mengambil masa 10 minit dari Elizabeth Quay. Mountway Apartment ni ramai orang Malaysia & dekat sangat dengan Perth City. Tak rugi stay dekat sini.

Aktiviti kami masa hari pertama – tidur dulu smpai tengahari. Kumpul tenaga nak berjimba petang nanti di Perth City. Kemudian dalam pukul 4pm, kami berjalan kaki pusing-pusing Perth City. Petang itu, kami pergi Coles Supermarket. Saja nak tengok-tengok barang dekat sana. Kemudian kami ke Perth Arena. Kami dah boleh hafal nama jalan di sana contohnya: Murray Street, Wellington Street, Hay Street dan sebagainya.

Buat pengetahuan semua, di sana pukul 6:30pm dah gelap. Dah rupa pukul 9malam. Jadi, sampai saja ke apartment, kami masak makanan malam kami. Semua perkakas masak disediakan, dan sebelum kami gunakan perkakas tersebut, dah tentu kami samak dulu. Kami samak guna sabun taharah. Sabun Taharah ni korang boleh beli dekat Malaysia saja. Kami beli dekat Mydin, USJ1 dengan harga RM18.

Inilah Mountway Apartment Holiday

Hari Kedua

Hari kedua ini, kami rancang nak guna khidmat bas FREE!!

Seriously memang sangat convenient kalau datang sini. Di sana, ia dipanggil CAT: Green CAT, BLUE CAT, Yellow CAT, etc. Setiap CAT memang ada laluan tersendiri. Peta laluan bas memang owner apartment dah bagi kami siap-siap. Kami guna sampai lunyai dah kertas tu. Memang sangat membantu! Tapi kalau andai kata korang tak dapat map ini, boleh dapatkan dalam CAT tu sendiri.

tips bercuti di perth

Dengan menggunakan bas ini kami bergerak pergi ke King’s Park, Swan Tower Bell, Watertown Factory Outlet dan pusing Perth City.

King’s Park

 

Perth City

Hari Ketiga

Di saat dan ketika inilah, kami gunakan khidmat campervan. Sebelum kami nak sewa campervan, memang kena buat research dulu. Campervan ni kami dapat dari Lucky Rental. Dari apartment kami tu, kami naik BLUE CAT, dan terus smpai ke Lucky Rentals. Campervan yang kami sewa ni boleh muat untuk 4 orang. Ada 2 double bed – 1 double bed di bahagian tempat duduk (yang boleh dilipat menjadi katil), dan 1 lagi double bed di bahagian atas bumbung. Campervan juga lengkap dengan fridge, sink, dan tempat masak.

Kami sewa campervan selama 6 hari dengan kos $605. Bayaran dah termasuk insurans sekali, sekitar $25/hari. Insurans tu penting tau, then wajib ambil. Depositnya kami bayar $87 dan bakinya kami bayar masa ambil. Dan kena bayar juga bond sebanyak $250 untuk sekali sewa. Bond ini akan dipulangkan selepas 2 minggu. Kami ada juga ambil additional accesories macam butane gas (4botol untuk 6 hari/$10) dan bedding sheet. Tapi rasanya bedding sheet tak perlu pun tak apa.

Dah dapat campervan, apa lagi.. macam pelesit kami teruskan perjalanan ke The Pinnacles, Nambung National Park (2.5 jam dari Perth) dengan bayaran masuk $12/vehicle dan akhir sekali kami singgah ke Lancelin (Free Parking).

The Pinnacles

 

Pemandangan di Lancelin

Malam itu kami park Campervan dekat Discovery Park BIG 4 – Woodman Point. Malam tu kami memasak guna perkakas dapur yang ada dalam Campervan. Macam biasa, kami samak dulu perkakas memasak tu. Tempat camper site tu semua ada – laundry, toilet (sekali dengan tempat mandi), camp kitchen. Kalau nak solat, boleh bentang kain dekat luar campervan tu. Bayaran camper site berbeza ikut tempat. Macam kami 6 hari guna campervan dan 6 harilah berbeza camper site.

Inilah rupa campervan yang digunakan.

 

Bahagian dalam tempat duduk ini boleh dijadikan tempat tidur pada waktu malam.

 

Tempat tidurnya lebih kurang begini bila tempat duduk dilipat menjadi katil. Satu lagi katil di bahagian atas. (gambar dari laman web)

 

Bahagian ‘dapur’ dalam campervan.

Hari Keempat

Kami teruskan perjalanan kami pergi ke Fremantle. Di sana kami sempat pergi ke e-shed market. Ada apa dengan e-shed? Di sinilah tempat membeli souvenir. Tips untuk yang nak beli souvenir, terus  pergi ke Aussin. Owner dia orang Indonesia rasanya, dan sangat friendly. Barang sana murah, t-shirt 100% cotton pun boleh dapat dalam $7.50, keychain 3 set (1 set ada 6) boleh dapat $10, dan leather wallet pula buy 2 free 1 dalam harga $40 dan macam-macam lagilah.

Seterusnya, kami pergi ke Chemist Warehouse. Dari luar nampak macam farmasi,sebab memang Chemist Warehouse tu ala-ala Watson. Tapi sebenarnya inilah SYURGA PERFUME. Memang murah sangat-sangat. Contohnya perfume Versace boleh dapat bawah $70, BVLGARI bawah $50 dan macam-macam jenama lagi. Ingat ya, kalau minat perfume, pergi borong di Chemist Warehouse.

Borong perfume di Chemist Warehouse.

Dah puas borong perfume, kami pergi ke Fremantle Market. Tempat ini memang wajib dalam itenari sebab ia adalah salah satu tempat simbolik di Perth. Ada banyak jenis buah-buahan segar dan boleh juga beli souvenir, tapi kami recommend beli kat e-shed market.

Perut dah lapar dan kami pergi ke Kaili’s Fish & Chips. Kalau pergi Perth, tak pergi sini, memang rugilah kome oiii. Kami ambil set yang berharga $51.90. Boleh makan untuk 4 orang. Jangan fikir nak convert dalam RM! Pejam mata dan telan je. Balik Malaysia nanti baru convert balik dalam RM dan menangislah masa tu.

Setiap tempat yang kami pergi, kena bayar parking. Setiap tempat lain harga. Ada yang sejam $2.20, ada yang $2.60. Lebih baik bayar parking kalau tak nak kena saman. Malam tu, kami bermalam di Park RAC Busselton Holiday Park.

Fremantle Market

Hari Kelima

Hari ini kami banyak pergi tempat-tempat yang teramat awesome! Masa tu rasa macam besarnya ciptaan Allah dan rasa kerdil diri ni. Muhasabah diri bila duk travel ni.

Mula-mula kami pergi ke Busselton Jetty. Kami snap gambar dekat luar-luar saja. Bagi kami, itu pun dah cukup. Kalau nak masuk mahal, kami pun pejam mata dan patah balik! Kat situ teramat cantik viewnya.

Busselton Jetty

Pitstop seterusnya ke Leeuwin-Naturaliste National Park Yallingup. Di sana kami tengok scene dekat Lighthouse. Bayaran untuk tengok pemandangan luar-luar tu cuma donation seikhlas hati. Terpulanglah nak bagi berapa. Kalau nak masuk dalam tu, tak pasti berapa. Seterusnya kami teruskan perjalanan kami untuk pergi ke Canal Rocks.

Lighthouse di Leeuwin-Naturaliste National Park Yallingup

Dalam perjalanan ke sana, kami singgah ke Coles Supermarket di Dunsborough. Kami dah tak boleh tengok Coles, nampak je terus nak singgah. Malam ni kami decide nak masak sedap-sedap. Ternampak Marinara Mix $10 untuk 1kg. So beli terus 1kg. Macam-macam ada, memang berbaloi dengan harga $10. Tapi paling terkejut, buah RAMBUTAN dijual dengan sekilo $19. Perghhh.. Kalau ini kena buka mata luas-luas, sebab bila convert dalam RM66+/kg. Dahlah layu.. Huhu..

Sampainya kami di Canal Rocks. Subhanallah, cantik sungguh. Rasa nak buat rumah sebiji kat situ. Tapi apakan daya, kalau duduk lama-lama dekat Aussie, rindu pulak sambal belacan!

Canal Rocks

 

Canal Rocks

Dalam perjalanan balik ke camper site kami malam ni di Fontys Pool Camper Site, kami singgah Choc Co, The Margaret River. Kat situ ada jual coklat-coklat. Kami makan yang FREE FLOW CHOC dan aiskrim 1 scoop dengan harga $4.80. Memang patut cuba aiskrim coklat dia. Yummy!

Malam itu juga kami gunakan servis laundry. Bukan free ya. Basuh sahaja $4 dan keringkan $4. Tapi sebab kami kongsi bertiga, rasanya ok jugalah harga tu.

Choc Co. The Margaret River

 

Choc Co. The Margaret River

Hari Keenam

Pagi tu, kami masak nasi lemak lauk sambal Marinara Mix. Dah rindu masakan kampung, masaklah nasi lemak. Tapi, cili yang kami beli di Coles Dunsborough teramatlah pedas. Berapi nookkkk.. Iyee.. Pejam mata sambil makan sebab pedas.

Kami teruskan adventure travel kami di hari ke 6 di area Pemberton. Kami singgah ke Lavender & Berry Farm. Mana tahu teringin nak tengok rupa lavender, inilah tempatnya. Tak kena bayar pun, masuk FREE! Kami memang suka benda yang tak perlu bayar kalau pergi travel. Jimat duit, syukur.

Kami pergi juga ke Pemberton Tramway. Dekat sana ada terletaknya keretapi yang usang. Pemandangannya cantik.

Pemberton Tramway

Seterusnya kami bercadang nak pergi Valley of The Giant. Tapi sampai lambat sebab tutup pukul 4:30pm. Cuma snap gambar dari luar.. Iye lar, kot lar orang tanya pergi ke Valley of The Giant? Pastinya kami akan jawab ‘pergi’ walaupun duduk di luar pagar. Yang pasti, laluan nak ke sana, ada pokok-pokok yang teramatlah besar. Memang superb!

Malamnya kami bermalam di Albany Gardens Holiday Resort di Albany City. Disebabkan gas dapur kami hampir habis, kami gunakan kemudahan camp kitchen yang sedia ada. Gas dapur habis nampak sangat kami memang masak je bila nak makan.

Lavender & Berry farm

Lavender & Berry Farm

Hari Ketujuh

Hari ke 7 adalah masa driving yang amat lama. Sebab kami singgah ke Katanning. Perjalanan ke Katanning dari Albany City ambil masa 2 jam.

Tapi sebelum kami gerak ke Katanning, kami singgah dulu Torndirrup National Park. Dekat sana ada The Gap dan Natural Bridge. Wajib singgah tau. View memang sangat cantik. Sebenarnya tempat parking tu kena bayar, tapi kami gerak awal dari Albany City, jadi kami tak bayar. Rasanya bayaran parking dalam $12/vehicle. Jadi kalau nak elak dari kena bayar, digalakkan datang awal-awal pagi. Perjalanan dari Albany City ke sini ambil masa dalam setengah jam saja.

Pitstop yang terdekat adalah Albany Wind Farm. Kat situ ada kincir angin yang gedabak besar. Macam biasa, pemandangannya sangat mengagumkan.

Perjalanan ke Katanning ambil masa 2 jam, dan kami gigih pergi ke sana semata-mata nak tengok Masjid dan orang Melayu kat sana. Perjalanan 2 jam, singgahnya 10 minit saja. Sempatlah interview pakcik kat sana. Disebabkan kami nak ke Katanning, kami dah plan siap-siap bawa baju kurung.

Teruskan perjalanan balik ke Perth selama 3 jam setengah. Fuhhhh.. Memang kami bergilir-gilir bawa campervan. Sampai Perth dalam pukul 4:30pm, dan kami pergi ke Watertown Factory Outlet. Hari ke-2 memang dah pergi, tapi kali ini kami pergi memang niat nak beli barang terus. Masa hari ke-2, kami survey je. Kami pergi ke butik Fossil. Murah sampai juling mata nookkk. Kami beli 7 utas jam. Kalau di Malaysia harganya dalam RM550+, sana boleh dapat RM240+. Separuh harga! Yang harga $50 pun ada tau. Rugi kalau tak beli. Banyak lagi butik lain, contohnya kasut Sketchers boleh dapat harga sepasang $50. PUMA, Adidas dan barang jenama lain pun ada. Kami cuma tertarik dengan butik Fossil sebab we are the FOSSIL HUNTER.

Malam terakhir kami bermalam di Discovery Park BIG4 – Perth Vineyards. Kena bermalam dekat area Perth saja, sebab esok kami dah nak balik dan senang nak pergi airport.

Albany Wind Farm

Hari Kelapan

Hari yang terakhir buat kami. Tak sabar dah nak balik Malaysia sebab teringin sangat dah nak makan masakan kampung. Sebelum balik, kami singgah di Caversham Wildlife Park. Dari camper site, ambil masa dalam 15 minit saja. Kalau dah datang Australia, mesti kena jumpa Abang Kangaroo. Bayaran masuk $28 dan boleh datang seawal 9am.

Flight kami pukul 4:30pm, jadi dalam kul 1:30pm kami dah ada di airport. Lagi awal datang, lagi bagus sebab banyak benda nak kena buat. Yang paling penting, kena apply GST refund.

Please take note, jika kita belnjakan lebih dari $300 untuk setiap kedai (tak kisah lain hari pun tak apa) maka boleh redeem GST yang kita dah bayar sebanyak 10%. Macam kami, kami kumpulkan sekali dan sekali request saja. Cara bayaran balik GST, kami bagi nombor kredit kad. Nanti dia masukkan ke akaun kita dalam masa 2-3 minggu. Cara nak apply, kena isi manual form di kaunter. Kaunternya betul-betul selepas imigresen. Sebelah kanan ok. Rugi kalau tak minta balik, kalau kata $50 pun, bila convert adalah dalam RM150+ juga.

Caversham Wildlife Park

 

Caversham Wildlife Park

Jumlah Kos Keseluruhan

Ok. Selesai sudah cerita pasal 8 hari trip ke Perth. Disebabkan perjalanan kami cuma bertiga, kami banyak berkongsi kos. Contohnya, kami collect seorang $250/pax untuk dijadikan sebagai Tabung Koperasi. Jadi, kami ada $750 untuk 8hari dan duit tu kami gunakan untuk beli makanan (e.g.: beras, gula, biskut, pasta, etc), bayar parking campervan masa dekat Fremantle, dan pada masa yang sama duit untuk isi minyak. Kami pastikan minyak kami sentiasa ada dan bila dah separuh je, terus isi balik bagi penuh. Sehari kami refill minyak $50. So dalam 6 hari tu minyak sahaja $300. Tapi berbaloi sebab perjalanan ke satu tempat tu memang jauh.

Di bawah ini kami senaraikan semula anggaran belanja setiap orang:

1.Tabung Koperasi untuk 8hari ($750/3) — $250 (convert RM3.50: RM875)
2. Campervan 6hari ($652.50/3) — $217.50 (convert RM3.50: RM761.25)
3. Camper siteRM300
4. Apartment 2 hari (Booking via Agoda) — RM167.80
5. Flight AirAsia Return Ticket (Include 1x makan, insurans/baggage) — RM750

So anggaran seorang dalam 8hari tu dalam RM2850+. Ini anggaran sahaja ya. Sebenarnya kalau lagi ramai pergi, lebih banyak boleh jimat. Tapi sebab kami bertiga dan naik Campervan. Berbaloilah dengan RM2850++/pax. Yang penting trip kami kali ini memang awesome.

Kalau nak lagi murah, apartment tukar kepada backpackers hostel dan campervan boleh tukar ambil kereta sewa. Cuma perlu sewa equipment untuk camping. Kira malam-malam nanti tidur dalam khemah. Ini baru betul-betul adventure.

Bercuti Di Perth Memang Seronok!

Sebenarnya banyak lagi tempat kami tak pergi, tapi In shaa Allah next time kita pergi tempat-tempat yang lebih menarik. Maybe kena duduk Albany City lebih lama sikit, sebab dekat sana ada banyak tempat yang cantik.

Harap nukilan panjang lebar ini bermanfaat buat semua pembaca.
Kalau ada yang tersalah info, boleh betulkan ya.

Thanks!

 

*Perkongsian dan tips bercuti di Perth oleh Qaisara Dayana Aqeela ini diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Follow beliau di SINI untuk bertanyakan tips atau maklumat selanjutnya tentang trip tersebut.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×