Sebelum ini, A Bakar Ahmad, 70, yang mesra disapa Pokwe tersohor di seluruh negara sebagai “pencipta rumah terapung” susulan kejayaannya mengapungkan kediamannya ketika bah, menggunakan puluhan dram besar yang diikat di bahagian bawah rumah.
Ekoran itu, sekali lagi pengamal media BERNAMA mengambil keputusan untuk membuat liputan akan situasi Pokwe menghadapi banjir ketika ini bagi berkongsi hikmah kepada semua. Mari ikuti laporan wartawan Mohamad Syazwan Mustafa.
RUMAH TERAPUNG BANJIR POKWE
Disambut dengan kemesraan biarpun sedang dalam kesukaran
Datang dari ibu negara bagi membuat liputan bencana banjir di daerah ini, saya dan jurofoto Zulfadhi Zulkfli melalui satu pengalaman yang membuka mata tentang ketabahan dan kerendahan hati mangsa di sebalik kesukaran dihadapi mereka.
Berhasrat menulis tentang rumah terapung milik A Bakar Ahmad, 70, di Kampung Tebak Batu 16 di sini, ketibaan kami disambut mesra oleh warga emas itu dan keluarganya sekalipun kediaman kayu mereka dikelilingi air separas pinggang orang dewasa.
Mesra dipanggil Pokwe, lelaki ini tersohor di seluruh negara sebagai “pencipta rumah terapung” susulan kejayaannya mengapungkan kediamannya ketika bah, menggunakan puluhan dram besar yang diikat di bahagian bawah rumah.
Baca juga: ‘Bayi Ajaib’ Disangka Gugur! Namun, Raja Tuah Mohsin Selamat Lahir Daripada Ibu Miliki 2 Rahim
Namun, bukan rumah itu sahaja mengagumkan kami, tetapi juga kemesraan yang ditunjukkan oleh Pokwe sekeluarga walaupun mereka sendiri dalam kesukaran.
Ketibaan kami disambut oleh anak lelaki Pokwe, Kamaruddin A. Bakar, 44, yang mendayung sampan bagi membawa kami ke rumah mereka.
Kemesraan isteri Pokwe, Fatimah Salleh, 64, menyentuh hati kami apabila beliau pantas menghidangkan teh panas dan biskut, menawarkan kehangatan kepada kami yang kesejukan dek hujan turun mencurah-curah tanpa henti sejak pagi.
Tidak setakat itu, wanita ini tangkas menyediakan makanan tengah hari. Menu ringkas, sekadar ikan puyu dan haruan goreng yang dipadankan dengan labu masak lemak berserta ulam raja dilengkapi budu tempoyak. Hidangan Terengganu sebenar yang cukup menyelerakan.
“Saya rasa macam makan di rumah sendiri. Saya tidak menyangka tugasan banjir buatkan saya berasa seperti balik kampung,” bisik Zulfadhi.
Baca juga: Anak Ikhtiar Guna Tangki Air Selamatkan Ibu Hidap Asma Dalam Banjir, “Dia Tak Boleh Kena Sejuk..”
Rumah Pokwe berjaya terapung buat kali ketiga daripada banjir
Sekalipun telah beberapa kali dikunjungi wakil media daripada pelbagai organisasi, Pokwe tidak jemu bercerita tentang inovasinya itu.
Matanya bersinar, teruja, semasa mengimbau cabaran yang dihadapinya di peringkat awal projek tersebut dan rasa puas yang menyusul selepas beliau berjaya melepasi halangan berkenaan.
“Saya mulakan projek ini atas dasar keperluan,” katanya, menambah beliau bersedia berkongsi ilmunya dengan orang lain.
“Setiap tahun apabila bah melanda Terengganu, saya akan berasa sedih mengenangkan mereka yang terjejas. Saya nak buat sesuatu untuk bantu mereka,” katanya yang berjaya terapungkan rumah buat kali ketiga daripada dilanda banjir.
2o lagi biji dram diikat untuk memuatkan 4 buah motosikal di atas rumah
Menurut Pokwe, beliau baru sahaja mengikat 20 biji dram lagi pada rumahnya itu, membolehkan beliau memuatkan empat buah motosikal di atas rumah tanpa menjejaskan daya apung sekalipun paras air terus meningkat.
Mungkin penambahbaikan yang dilakukan oleh Pokwe itu tidak sebesar mana, namun cukup untuk menggambarkan semangat warga emas ini yang tidak mudah berpuas hati dengan pencapaiannya.
Bagi wartawan Bernama ini pula, kisah pada hari berkenaan bukan lagi tentang bencana banjir, tetapi hikmah yang tersembunyi, iaitu bagaimana kekuatan jiwa dan sikap pemurah menyatukan masyarakat mengharungi bah yang melanda.
Sumber: BERNAMA
FT Image: BERNAMA