Dapur

10 Resipi Rendang Pelbagai Aneka Yang Boleh Cuba Masa Raya Nanti, Baru Meriah Atas Meja!

55
SHARES
resepi rendang

Rendang merupakan juadah popular dan wajib disediakan ketika menyambut hari lebaran terutamanya di Malaysia. Malah, terdapat pelbagai jenis resepi rendang yang wujud. Ia sentiasa dipadankan bersama ketupat, lemang dan pelbagai lagi juadah raya mengikut cita rasa masing-masing.

Justeru itu, kali ini penulis bawakan 10 jenis resepi rendang yang unik untuk pembaca di rumah mencubanya. Tak lama lagi nak sambut bulan Syawal dan meraikan Hari Raya Aidilfitri, maka moleklah kiranya dihidangkan kepada tetamu yang bertamu di rumah. Jom lihat resepi di bawah.

Baca juga: Kebaikan Minum Air Suam Beri Kesan Mengejutkan Pada Tubuh Badan? Ini Anda Perlu Tahu!

RESEPI RENDANG PELBAGAI ANEKA

resepi rendang

10 Koleksi Resepi Rendang. Simpan resepi ini nak buat raya nanti tau. Nak makan dengan pulut ke nasi impit semua boleh.

1. RENDANG DAGING TERHEBAT (2 KG DAGING)

resepi rendang

BAHAN KISAR:

  • Bawang merah 5 biji
  • Bawang besar 3 biji
  • Bawang putih 5 ulas
  • Halia 5 cm panjang
  • Kunyit sepanjang ibu jari
  • Serai 3 batang dihiris halus
  • Lengkuas setengah inci
  1. Masukkan daging, lada kisar 2 senduk/lebih (kalau nk pedas), bahan kisar dan minyak 2 senduk dalam kuali. Masak sampai rempah mendidih.
  2. Tambah santan Kara 500 mls, separuh biji gula melaka (yang besar tu) dan tambah air.
  3. Tutup kuali untuk empukkan daging. Tambah lagi air sehingga daging empuk. Bila daging dah empuk buka penutup kuali, masukkan kerisik 3 senduk/lebih ikut suka.
  4. Masukkan 2-3 keping asam keping. Masuk garam, gula dan perasa bila kuah hampir kering untuk elakkan termasin.
  5. Masukkan daun kunyit hiris.
  6. Bila dah hampir nak kering kena rajin gaul takut hangus. Minyak akan keluar sendiri hasil dari santan dan kerisik.

*ada org suka letak rempah kari daging, boleh masukkan 2-3 sudu besar masa awal-awal. Selamat mencuba ya!

Sumber: Baizura Kadir

2. RENDANG AYAM

resepi rendang

BAHAN AYAM:

  • 1 ekor ayam basuh bersih dan gaul garam kunyit. Goreng separuh masak.

BAHAN KISAR:

  • 1-2 labu bawang besar
  • 4-5 ulas bawang putih
  • 4 batang serai
  • Lengkuas
  • Halia
  • Kunyit
  • 1 sudu kecil biji jintan manis dan putih (rendam dulu dan tumbuk kasar).

BAHAN TUMIS:

  • Bunga cengkih
  • Bunga lawang
  • Buah pelaga
  • Kulit kayu manis
  • 1 cawan santan
  • Gula kerek (gula melaka)
  • 2 sudu kerisik
  • Garam
  • 3-4 sudu cili kisar

BAHAN HIASAN:

  • 2 helai daun limau purut
  • Daun kunyit
  1. Tumis 4 sekawan, masukkan bahan kisar, masak hingga pecah minyak. Anggaran 15 minit.
  2. Kemudian masukkan ayam, santan, gula, kalau pekat atau kering tambah sikit air. Biarkan sebati.
  3. Dah mendidih, masukkan garam dan kerisik.
  4. Masukkan daun limau purut dan daun kunyit.

Siap!

Sumber: Mdm Kelly

3. RENDANG AYAM HIJAU

resepi rendang

Resepi Rendang Ayam Hijau tersedap! Mudah sangat-sangat. Favourite raya family di kampung saya dekat Negeri Sembilan. Jom cuba. Power habis!

BAHAN-BAHAN KISAR:

  • 10 biji cili besar hijau blh +
  • 10 biji cili api hijau blh +
  • 2 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 2 batang serai
  • Sedikit serbuk kunyit

BAHAN LAIN:

  • 1 cup santan
  • 1 cup air
  • 2 keping asam keping
  • 2 sdm kerisik
  • Daun limau purut
  • Daun kunyit
  • Garam dan perasa
  1. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  2. Masukkan ayam dan kacau sebati.
  3. Masukkan santan, air asam keping dan daun limau.
  4. Masak hingga pecah minyak.
  5. Masukkan garam dan perasa. Siappp!
  6. Taburkan daun kunyit.

Sumber: Nor Zaqiyah

4. RENDANG KERANG

resepi rendang

BAHAN-BAHAN:

  • Bawang besar 2 labu
  • Bawang putih 1 labu
  • Kunyit hidup 1 inci
  • Serai 2 batang
  • Lengkuas 3 inci
  • Halia 1 inci
  • Cabai kering ikut kepedasan sendiri
  1. Tumis bahan kisar sampai pecah minyak.
  2. Masukkan air asam jawa.
  3. Masukkan kerisik 1 sudu besar.
  4. Masukkan santan dan api jangan kuat.
  5. Bila dah pecah minyak baru masukkan isi kerang, daun kunyit dan daun limau purut.
  6. Perasakan rendang.

Sumber: Ctn Saleng Nahabas

5. RENDANG DAGING TUMIS

resepi rendang

  • Daging 1 1/2 kg atau;
  • Ayam 1 ekor 1.4-1.7 kg

Resepinya sama juga seperti rendang rendang saya yang lain. Cuma bezanya rendang ini ditumis guna

  • Minyak 1 cawan.

Tumis

  • Kulit kayu manis 5
  • Bunga lawang 6
  • Bunga cengkih 7
  • Biji pelaga 10

sampai harum.

Selepas itu, masukkan kisaran

  • Bawang putih 7
  • Bawang merah 12
  • Halia 3 inci
  • Lengkuas 3 inci
  • Serai 8
  • 6 biji buah keras
  • Cili mesin 3 sudu besar yang telah dikisar (jika tak nak pedas guna cili kering + cili merah)

Dah didih dan dah keluar minyak masukkan ayam atau daging.

Kacau lagi sampai separuh masak.

Kemudian masukkan

  • Serbuk jintan manis 2 sudu besar
  • Serbuk jintan putih 2 sudu besar
  • Serbuk ketumbar 2 sudu besar
  • Serbuk lada putih 1 sudu besar
  • Serbuk lada hitam 1/2 sudu besar
  • Garam kasar 1/2 sudu besar
  • 1 sudu besar gula
  • 2 kiub ayam atau serbuk perasa
  • 1 biji buah pala

dan masukkan

  • santan 500ml

Kacau semuanya dan sebatikan.

Bila dah agak kuahnya kering sedikit masukkan

  • hati lembu (sebesar 3 jari saja) yang telah dihancurkan atau dikisar halus (hati direbus dulu).

Penggunaan hati lembu dalam semua rendang saya adalah bertujuan untuk lebih menyedapkan lagi rasa rendang tersebut. Tetapi jika tidak ada, tak perlu bubuh atau dimasukkan ke dalam rendang anda itu. Tidak mengapa. Tetap sedap juga.

Gaul lagi.

Bila rendang daging dah masak sepenuhnya masukkan

  • kerisik 150gram atau 5-6 sudu besar

dan gaul semuanya supaya sebati (kerisik mesti guna 6-7 sudu besar penuh untuk resepi ini sebab warna rendang dipengaruhi oleh warna kerisik). Beli kerisik warna koko gelap.

Kacau lagi sampai rendang kering dan bertukar warna. Nak warna seperti dalam gambar lebihkan kerisik dan kerisik tu mesti yang bewarna hitam atau cokelat gelap atau tua, bukan yang warna cerah kuning.

Dah siap

Sumber: Ida Shahida

6. RENDANG DAGING ITIK

resepi rendang

BAHAN UTAMA

  • Daging itik (dicuci bersih dan rebus hingga empuk).

BAHAN KISAR:

  • Bawang merah dan putih
  • Serai
  • Halia
  • Lengkuas
  • Cili kering
  • Cili padi

BAHAN LAIN:

  • Kerisik
  • Santan
  • Daun limau purut atau daun kunyit
  • Garam
  • 4 sekawan
  1. Panaskan minyak dan tumis 4 sekawan & bawang hingga naik bau dan nampak kekuningan.
  2. Kemudian masukkan semua bahan yang telah dikisar dan tumis hingga cukup masak.
  3. Masukkan daging itik yang telah direbus empuk tadi. Kacau perlahan-lahan.
  4. Setelah itu, masukkan santan dan kacau hingga sebati.
  5. Masukkan garam secukup rasa. Kacau hingga santan memekat.
  6. Kemudian masukkan kerisik. Kacau dan biarkan nampak kering sedikit.
  7. Tutup api dan taburkan dengan hirisan daun limau purut atau daun kunyit.

Sedia untuk dihidangkan dan selamat mencuba.

Sumber: Samsuri Shahadan

7. RENDANG PADANG INDONESIA

resepi rendang

Salah satu menu rendang bila tibanya Hari Lebaran.

BAHAN-BAHAN LAIN:

  • 1 kilo daging lembu (dipotong)
  • 1 batang serai (dikatok)
  • 2 helai daun salam
  • 1 helai daun kunyit (dipotong besar)
  • 6 helai daun limau purut
  • 2 sudu besar kerisik (tambahan)
  • 3 sudu besar minyak masak
  • Santan fresh 800 ml @ coconut milk 800ml (sebaik-baiknya mengunakan santan segar)

BAHAN KISAR (A)

  • 15-20 batang cili kering (direbus dahulu)
  • 12 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • Lengkuas (sebesar ibu jari)
  • Halia (sebesar ibu jari)
  • 2cm kunyit hidup (tambahan)
  • Buah keras 5 biji

BAHAN KISAR (B) REMPAH

  • 1 batang kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • 1 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu kecil jintan
  • 1 sudu kecil lada hitam/lada putih (tambahan)
  • 1 biji nutmeg/buah pal

Sangai kesemua bahan rempah tanpa minyak 3-4 minit dan kisar sehingga halus tanpa menggunakan air.

P/s: Kalau mahu lebih sedap, sangaikan kelapa parut 8 sudu besar sehingga kering dan berwarna coklat. Kisarkan sehingga halus, masukkan semasa tumis bahan (A) sedang masak. Jika mengunakan ini, tidak perlu guna kerisik.

  1. Panaskan minyak.
  2. Masukkan BAHAN KISAR(A), daun kunyit, serai, daun limau purut dan daun salam menggunakan api yang sederhana. Masak sehingga pekat dan mengeluarkan sedikit minyak.
  3. Kemudian, masukkan daging lembu dan masak sehingga sedikit pucat (waktu ni kena perlahankan api dan terus kacau supaya tidak hangus).
  4. Masukkan santan, lebihan rempah tadi dan kerisik. Gaul rata dan biarkan ianya masak sehingga empuk (sambil terus kacau dan balik-balikkan daging).
  5. Sebaiknya masakan rendang lebih lama dengan mengunakan api perlahan supaya minyak santan dan warna cili akan mengeluarkan warna minyak yang cantik.
  6. Apabila sudah kering, perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa. Tutup api.

Sumber: Nurul Ateekah

8. RENDANG AYAM HANCUR (1 EKOR AYAM)

resepi rendang

BAHAN KISAR:

  • Bawang besar 3-4 labu
  • Bawang putih 5 ulas
  • Cili hidup merah + hijau 5 tangkai (ini rahsia saya)
  • Lengkuas, halia & kunyit hidup 1 inci
  • Serai 2 batang diracik
  • Buah keras 2 biji

BAHAN LAIN:

  • Rempah 3 beradik (kayu manis, pelaga, lawang)
  • Cili kisar 2 senduk
  • Serbuk kari ayam (saya org kedah, rempah berpisah tiada) *sebarang jenama pun boleh ikut selera masing-masing
  • Kerisik segar 3 packet kecil atau 300gram
  • Santan segar 1 cawan
  • Gula kabong/nisan (rahsia saya)
  • Garam & serbuk hilal (perasa)
  • Daun kayangan (daun kunyit) diracik halus
  • Daun pandan
  1. Tumis rempah 3 beradik, daun pandan dan masuk bahan kisar, tumis sampai bau wangi. Wajib garing dan naik bau wangi.
  2. Lepas itu, baru masukkan cili kisar dan rempah kari yang telah dicampur air. Tumis dalam api sederhana sehingga pecah minyak. Biar bagi pecah minyak bebetul. Perlahankan api.
  3. Masukkan kerisik, ayam seekor dan santan. Masak je sampai dia memekat. Api kena perlahan. Masak rendang kena sabar.
  4. Masuk garam, gula kabong, serbuk perasa. Ayam tu dekat isi akan auto hancur. Bahagian bertulang dia maintain je cantik.
  5. Bila dah dapat tekstur pekat tu, boleh tutup api dan tabur daun kunyit. Nak letak daun limau pun boleh tapi saya tak letak.

Serius sedap ditekak bagi yang suka versi hancur. Lengkap ada rasa manis, pedas, masin dan lemak dari gula kabong. Hancur di sini bukan hancur lebur yaa, hancur-hancur manja gitu. Selamat mencuba!

P/s: Kalau tak suka hancur boleh goreng separa masak dulu ayam tu.

9. RENDANG PARU/KELEMPUNG

resepi rendang

BAHAN UTAMA:

  • Paru direbus dahulu hingga lembut. Kemudian potong ikut saiz yang dikehendaki.

BAHAN KISAR:

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Cili
  • Serai
  • Lengkuas
  • Halia
  • Sedikit minyak masak.

BAHAN LAIN:

  • Santan
  • Kerisek
  • Kayu Manis
  • Bunga lawang
  • Daun kunyit atau daun limau purut.
  1. Satukan bahan kisar tadi dengan paru. Letak kayu manis dengan bunga lawang. Masak sampai agak kering sedikit.
  2. Kemudian masukkan santan pekat dan kerisik. Perasakan dengan sedikit gula perang dan garam. Ajinomoto tu terpulang sama ada nak letak atau tidak.
  3. Renehkan sampai terbit minyak. Setelah itu, masukkan daun kunyit yang dihiris halus atau daun limau purut. Saya letak dua-dua sekali.

Okay siap. Cili terpulang pada masing-masing ya. Sesiapa yang suka pedas boleh lah guna cili api. Saya masak tak ikut sukatan ya, semua main agak-agak sahaja. Selamat mencuba!

Sumber: Koleksi Resepi Terbaik Untuk Keluarga Anda

10. RENDANG IKAN TENGGIRI

resepi rendang

BAHAN-BAHAN:

  • Beberapa keping ikan tenggiri goreng
  • Daun kunyit hiris
  • Daun limau hiris
  • Kerisik secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Gula melaka secukup manis
  • Santan sikit (agak-agak sahaja)
  • Air asam sikit (agak-agak janganlah banyak, masam pula jadinya)
  • Rempah kari ikan babas (agak-agak sahaja)

BAHAN-BAHAN KISAR:

  • Cili merah + hijau
  • Cili padi merah + hijau (ikut pedas mana nak)
  • Bawang merah kecil
  • Bawang putih
  • Halia
  • Serai
  • Ketumbar biji, jintan halus & kasar
  1. Panaskan minyak tumis bahan kisar hingga garing dan terbit minyak.
  2. Setelah itu masukkan rempah kari dan tumis lagi.
  3. Kemudian, baru masukkan kerisik serta air asam. Kacau lagi. Masukkan santan biar seketika.
  4. Perasakan garam dan gula melaka serta daun limau dan daun kunyit.
  5. Akhir sekali, baru masukkan ikan tenggiri goreng dan kacau lagi.
  6. Perlahankan api biar hingga mereneh.

Tutup api. Siap dihidangkan. Selamat mencuba!

Sumber: Laila Aznam

Sumber: Facebook Nur Eliana via Masak Apa Tak Jadi Hari Ni (Official)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×