Euforia Bola 2026
Sihat

Ingatkan ‘Sado’, Rupanya Ada Sebab Lain! Ini 5 Punca Dada Lelaki Tiba-Tiba Membesar

dada lelaki

Ramai menyangka dada lelaki yang semakin menonjol hanya berpunca daripada pertambahan berat badan. Namun, jika terdapat ketulan kenyal di bawah puting, rasa sakit atau bahagian itu menjadi sensitif apabila bergesel dengan pakaian, ia mungkin bukan sekadar lemak biasa.

Baca juga: Patutlah Lepas Mandi Ramai Lelaki Terus Capai Kain Sarung, Rupanya Mereka Tak Nak Lepaskan 5 Manfaat Ini!

DADA LELAKI TIBA-TIBA MEMBESAR BUKAN SEMESTINYA SEBAB GEMUK

dada lelaki

Gambar hiasan: Gemini AI

Menurut Public Health Malaysia (PHM), keadaan ini boleh disebabkan oleh gynaecomastia, iaitu pembesaran tisu kelenjar payudara lelaki akibat ketidakseimbangan hormon estrogen dan testosteron.

Walaupun gynaecomastia kerap berlaku ketika akil baligh dan biasanya pulih dengan sendirinya, pembesaran dada yang berlaku secara tiba-tiba ketika dewasa tidak sepatutnya dipandang ringan.

5 PUNCA DADA LELAKI TIBA-TIBA MEMBESAR

1. Pengambilan steroid dan “testosterone booster”

Sesetengah lelaki mengambil anabolic steroid atau produk “testosterone booster” bagi mempercepatkan pembentukan otot.

Malangnya, steroid daripada luar boleh mengganggu penghasilan testosteron semula jadi. Sebahagiannya juga boleh ditukar menjadi estrogen dalam badan.

Akibatnya, otot mungkin semakin besar, tetapi testis boleh mengecil dan dada pula mula membesar.

2. Kesan sampingan ubat tertentu

Ubat seperti finasteride dan dutasteride yang digunakan untuk masalah rambut gugur atau prostat boleh menyebabkan gynaecomastia pada sesetengah individu.

Selain itu, beberapa jenis ubat lain seperti spironolactone, ubat psikiatri, ubat hormon dan ubat perut seperti cimetidine juga berpotensi memberi kesan yang sama.

Jangan berhenti mengambil ubat tanpa nasihat doktor. Berbincang dengan doktor terlebih dahulu untuk mendapatkan pilihan rawatan yang sesuai.

3. Berat badan berlebihan

Tidak semua dada besar berpunca daripada gynaecomastia. Ada juga keadaan yang dikenali sebagai pseudogynaecomastia, iaitu pembesaran dada akibat pengumpulan lemak.

Namun begitu, tisu lemak mempunyai enzim yang boleh menukarkan hormon androgen kepada estrogen. Sebab itu lelaki yang mengalami obesiti boleh mempunyai kedua-dua masalah serentak, iaitu pengumpulan lemak dan pembesaran tisu kelenjar.

4. Masalah hati, buah pinggang atau tiroid

Penyakit seperti sirosis hati, penyakit buah pinggang kronik dan tiroid yang terlalu aktif boleh mengganggu metabolisme serta keseimbangan hormon.

Dalam sesetengah kes, perubahan pada dada menjadi antara petunjuk awal bahawa terdapat masalah kesihatan lain yang masih belum dikenal pasti.

5. Masalah pada testis

Testis merupakan organ utama yang menghasilkan hormon testosteron.

Sekiranya berlaku kecederaan, jangkitan, fungsi testis yang lemah atau ketumbuhan tertentu, paras testosteron boleh menurun atau hormon lain meningkat sehingga menyebabkan pembesaran dada.

Sebab itu doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan pada testis jika seorang lelaki dewasa mengalami pembesaran dada secara tiba-tiba.

Baca juga: Dakwaan Cium Mulut Boleh ‘Transfer’ DNA & Kekal 3 Bulan Tular, Memang Boleh Pindah Tapi…

BILA PERLU SEGERA JUMPA DOKTOR?

Dapatkan pemeriksaan jika mengalami mana-mana keadaan berikut:

  • Hanya sebelah dada membesar dengan cepat
  • Ketulan terasa keras atau melekat
  • Puting tertarik ke dalam
  • Keluar darah atau cecair daripada puting
  • Terdapat ketulan pada ketiak atau testis
  • Dada semakin sakit atau saiznya terus membesar
dada lelaki

Gambar: PHM

LELAKI JUGA BOLEH DAPAT KANSER PAYUDARA

Ramai tidak mengetahui bahawa lelaki juga berisiko menghidap kanser payudara walaupun kesnya jauh lebih jarang berbanding wanita. Gynaecomastia lazimnya bukan kanser, namun jangan menganggap semua pembesaran dada hanya disebabkan hormon atau berat badan.

Antara tanda amaran yang memerlukan pemeriksaan segera ialah:

  • Ketulan keras yang sukar digerakkan
  • Pembesaran hanya pada sebelah dada
  • Puting berubah bentuk atau tertarik ke dalam
  • Keluar darah daripada puting
  • Perubahan kulit yang tidak sembuh
  • Ketulan di bahagian ketiak

Lebih awal pemeriksaan dilakukan, lebih cepat punca sebenar dapat dikenal pasti dan rawatan yang sesuai boleh diberikan. Jadi, jangan malu untuk berjumpa doktor sekiranya mengalami perubahan yang luar biasa pada dada.

Sumber: Public Health Malaysia

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×