Perbincangan mengenai cium mulut kembali menjadi perhatian selepas satu komen di Threads mendakwa perbuatan itu boleh memindahkan DNA sehingga tiga bulan atau lebih, malah menyebabkan bau peluh seseorang menjadi sama seperti pasangan.
CIUM MULUT BOLEH “TRANSFER DNA” SELAMA 3 BULAN?

Gambar hiasan: Gemini AI
Komen tersebut ditulis sebagai balasan kepada satu hantaran yang meminta pengguna berkongsi fakta sains menarik.
“Kalau kita cium mulut, kita transfer DNA dalam masa 3 bulan atau lebih. Jadi, tiba-tiba bau peluh kita sama dengan orang yang kita cium mulut,” tulis pengguna tersebut.
Hantaran itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ada yang mempercayainya dan ada juga yang mempersoalkan kesahihan dakwaan tersebut.
Baca juga: Bacaan Suami Isteri, Ini 3 Bahagian Badan Paling Sesuai Buat Love Bite, Boleh Cuba!
Memang berlaku pertukaran DNA, tetapi bukan selama 3 bulan
Susulan dakwaan yang tular, Public Health Malaysia (PHM) tampil memberi penjelasan bahawa kenyataan tersebut tidak tepat dari sudut sains.
Menurut PHM, memang berlaku pertukaran air liur, sel-sel mulut dan sejumlah kecil DNA ketika seseorang bercium.
Namun, DNA yang dipindahkan itu hanyalah DNA asing yang berada sementara pada permukaan mulut dan air liur, bukannya bergabung dengan DNA seseorang.
PHM menjelaskan bahawa air liur sentiasa dihasilkan oleh badan, selain proses makan, minum, menelan dan pertukaran sel dalam mulut berlaku setiap hari. Semua proses ini menyebabkan DNA tersebut hilang dalam tempoh yang singkat.
Kajian forensik dapati DNA hanya dapat dikesan sekitar dua jam
Menurut kajian forensik yang menggunakan DNA bagi mengesan kesan ciuman, menunjukkan DNA pasangan biasanya hanya dapat dikesan sehingga sekitar dua jam dalam keadaan tertentu, bukannya kekal selama beberapa bulan seperti yang didakwa.
Selain itu, tiada bukti saintifik yang menunjukkan DNA daripada ciuman boleh bergabung dengan DNA seseorang atau menyebabkan bau badan berubah menjadi sama dengan pasangan dalam tempoh tiga bulan.
INI FAKTA SEBENAR!
Berdasarkan penjelasan PHM, berikut ialah beberapa fakta yang orang ramai perlu tahu:
- Cium mulut boleh memindahkan air liur, bakteria dan sedikit DNA buat sementara waktu.
- DNA tersebut tidak mengubah DNA asal seseorang dan tidak menyebabkan bau badan atau bau peluh menjadi sama seperti pasangan selama berbulan-bulan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih sebelum mempercayai dakwaan berkaitan kesihatan atau sains yang tular di media sosial.

Sumber: Public Health Malaysia
FT Image: Gemini AI
