Nur

7 Tips Latih Anak Kecil Seronok Berpuasa. Ingat, Solat Lagi Penting

552
reads
anak berpuasa

“Umur berapa patutnya mula latih anak berpuasa ya? Rasa kasihan pula nak suruh dia berlapar. Dahlah pertama kali ni.”

Dalam menyambut bulan Ramadhan, tentu ramai anak kecil dan ibu bapa yang teruja untuk berpuasa. Tetapi, bukan mudah melatih anak kecil untuk mula berpuasa seperti orang dewasa. Dari segi fizikalnya, mereka ini tidak berpengalaman dan masih belum cukup memahami tentang kewajipan berpuasa secara mendalam.

Bilakah Patut Ajar Anak Berpuasa?

Menurut Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Fadzillah Ghazali melalui sebuah artikel, tiada usia yang ditetapkan bagi kanak-kanak untuk mula melatih diri berpuasa. Ia perlu dilakukan secara berperingkat dan ibu bapa adalah individu yang lebih arif untuk menyesuaikan latihan berpuasa mengikut kemampuan anak-anak.

Dari sudut pandangan Islam pula, umumnya kita tahu bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan untuk berpuasa. Namun, sebahagian fuqaha berpendapat bahawa anak yang berusia 7 tahun diperintahkan untuk berpuasa jika mereka mampu, sebagaimana usia yang diperintahkan untuk solat.

7 Tips Galakkan Anak Berpuasa Dengan Seronok. Tanpa Paksaan!

Berikut adalah beberapa tips untuk ajar anak berpuasa sejak kecil.

1. Periksa Kemampuan Anak

Penting untuk ibu bapa memahamkan anak tentang keutamaan solat berbanding puasa. Libatkan mereka dalam solat sehari-hari dan dari situ, anda akan mendapati lebih mudah untuk anak memahami dan menjalankan ibadah puasa dengan rela hati.

Oleh itu, jangan membandingkan anak anda dengan orang lain. Sebaliknya, lihatlah kemampuan anak sendiri sama ada mereka bersedia untuk melakukan ibadah puasa.

anak berpuasa

Foto Kredit: umma.news

2. Bercerita Tentang Puasa

Lakukan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak memahami tentang ibadah puasa. Anda boleh berbual santai, membaca buku cerita, membuat kraf, lakonan boneka, atau menonton kisah Upin dan Ipin tentang puasa.

Kita tidak mahu mendidik anak supaya menganggap Islam adalah agama yang susah. Sebaliknya, ia adalah fitrah dan bersesuaian dengan semua manusia.

Foto Kredit: angsanacare.org

3. Rancang Secara Berperingkat

Bagi yang pertama kali berpuasa, latihlah mereka secara berperingkat. Menurut Dr Fadzillah lagi, ibu bapa boleh memulakan dengan beberapa jam terlebih dahulu. Kemudian barulah diikuti dengan separuh hari dan seterusnya beberapa hari mengikut kemampuan anak.

Rutin seperti ini seeloknya dipertingkatkan setiap tahun tibanya bulan Ramadan. Dengan cara ini, mereka lebih bersedia dan tidak rasa terpaksa untuk berpuasa.

puasa di bulan ramadhan

Foto Kredit: vitals.lifehacker.com

4. Sediakan Jadual Aktiviti

Apabila anak berpuasa nanti, mungkin anak akan kurang aktif kerana letih. Oleh itu, anda boleh cari idea-idea menarik atau DIY untuk mereka membuat aktiviti indoor yang melekakan. Antaranya mewarna, menghias rumah, bermain play doh, blok binaan, melukis, membaca buku cerita, atau membuat kraf.

Menurut Dr MAZA, dalam riwayat al-Imam Muslim, sahabiyyah Nabi Rubaiyi’ bint Mu’awwiz menceritakan bagaimana mereka pada zaman itu melatih anak-anak mereka berpuasa, antara yang beliau sebutkan:

وَنَصْنَعُ لَهُمُ اللُّعْبَةَ مِنَ الْعِهْنِ فَنَذْهَبُ بِهِ مَعَنَا فَإِذَا سَأَلُونَا الطَّعَامَ أَعْطَيْنَاهُمُ اللُّعْبَةَ تُلْهِيهِمْ حَتَّى يُتِمُّوا صَوْمَهُمْ
“Kami buat untuk mereka mainan daripada bulu. Kami bawa bersama kami. Apabila anak-anak meminta makanan kami berikan mereka mainan tersebut untuk melupakan mereka (makanan) sehingga mereka menyempurnakan puasa”

Jika dibiarkan mereka menonton TV sepanjang hari, susah juga kerana banyak iklan-iklan makanan yang mungkin akan membuat mereka lapar!

Berikut adalah antara aktiviti di bulan puasa yang boleh anak anda lakukan:

persiapan ramadhan

Foto Kredit: glimmersnaps.com

4. Hidangkan Makanan Kegemaran Untuk Bersahur & Berbuka

Ibu-ibu perlu lebih kreatif di bulan Ramadhan ini dalam memastikan anak-anak mengambil keperluan makanan yang seimbang ketika bersahur dan berbuka. Carilah resepi yang menggabungkan makanan kegemaran mereka dengan keperluan sihat seperti nugget bersayur atau smoothie kurma dan coklat.

Bersederhana adalah kunci utama. Pastikan mereka minum air yang mencukupi dan tidak lupa memakan buah-buahan dan sayuran agar pencernaan mereka tidak terganggu.

Resepi nugget bersayur oleh Puan Aleen Aireish

5. Lewatkan Waktu Sahur Mereka

Anak-anak mungkin ‘liat’ untuk bangun pagi, apatah lagi bersahur. Kalau anak dibangunkan terlalu awal, kemungkinan besar mereka akan tertidur semula sebelum sempat menunaikan solat Subuh. Sebaiknya, anda juga berbual-bual dengannya, menyalakan lampu yang terang, dan menjadikan suasana bersahur meriah agar mereka tidak mengantuk.

Dalam Islam, melewatkan sahur adalah perkara sunat. Dalam sebuah hadis meriwayatkan:

“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.” (Hadis riwayat at-Thabrani)

Bersahur dengan kurma

Foto Kredit: bbcgoodfood.com

6. Boleh Berbuka, Tapi Kekalkan Mood Puasa

Jika anak tidak mampu berpuasa, biarlah mereka berbuka. Namun, seeloknya kekalkan anak dalam mood berpuasa.

Ada 1 tip menarik yang pernah dikongsikan oleh seorang Pengetua Sekolah. Beliau berkata, bila anak mengadu lapar, bagi dia minum segelas susu dan makan sekadarnya. Kemudian, beritahu elok-elok, “Lepas ini kita cuba puasa balik ya.” Maksudnya, apa yang mereka makan itu ibarat sahur semula. Mudah-mudahan dengan cara ini juga, mereka dapat belajar juga untuk menghormati bulan puasa dan rasa gembira apabila berbuka dengan ibu bapa sewaktu Maghrib nanti.

cara ganti puasa

Foto Kredit: new-muslims.info

7. Beri Pujian Dan Kata Positif

Apabila anak berjaya berpuasa mengikut waktu tertentu, ucapkan tahniah kepada mereka. Walaupun 2-3 jam, walaupun setengah hari.

Jika mereka nampak seperti mahu berputus asa, berikan galakan. Mereka bukannya sengaja mencari alasan bermanja, tetapi sebenarnya sokongan ibu bapa amat diperlukan pada ketika ini. Jadi, anda perlu bersedia meluangkan masa untuk mereka.

anak berpuasa

Foto Kredit: kr.123rf.com

Islam Adalah Agama Yang Penuh Kelembutan & Kasih Sayang

Dalam melatih anak berpuasa, lakukanlah ia dengan penuh hikmah. Elakkan memaksa dengan keras sehingga kewajipan lain; seperti solat, dianggap ringan oleh anak-anak.

Kalau anak tak mampu berpuasa, jangan sesekali mengejek, mengungkit, atau memalukan anak yang tidak berpuasa di hadapan orang lain. Ia boleh menjadikan mereka kurang yakin diri dan tak mahu mencuba lagi.

Yang Popular

To Top