Asuh

7 Cara Mengangkat Nabi Kita Sebagai Superhero ‘Favourite’ Anak

201
reads
superhero anak kecil

“Babah, Afiq nak terbang macam Superman. Nanti boleh tolong tangkap orang jahat!”

Hmmm… Pernah terfikir tak kenapa kisah superhero begitu dekat dalam hati anak-anak? Tak perlu diajar. Tak kiralah, lelaki atau perempuan.

Yang dewasa pun tak kurang juga sama-sama meminatinya. Tak percaya, kalau ada cerita terbaru Avengers atau Batman, tentu ada saja ibu bapa yang mengambil kesempatan mengajak anak-anak ke pawagam.

Tapi, kalau kisah-kisah Nabi? Kenapa susah sangat melekat dalam hati?

superhero anak

Foto Kredit: profesionaltraining.ro

Apa Yang Hebat Sangat Tentang Superhero?

Sebenarnya, tidak salah bagi anak-anak mempunyai minat terhadap superhero, kerana tujuan mereka adalah untuk menegakkan kebenaran. Malah, ramai pakar psikologi kanak-kanak bersetuju bahawa tahap keyakinan anak-anak menjadi lebih tinggi apabila mereka berlakon menjadi superhero.

Walaubagaimanapun, sebagai ibu bapa tentulah lebih baik sekiranya kita dapat menyuntikkan tarbiah dalam mendidik anak-anak supaya turut mengagumi para nabi kita yang jauh lebih hebat daripada superhero rekaan tersebut.

Tapi, susah juga nak cerita bab ini pada anak-anak, bukan? Cuba tengok dulu tips di bawah.

cara ajar anak kenal nabi

Foto Kredit: vox.com

7 Cara Ajar Anak Mengenal Dan Mencintai Nabi Sejak Kecil – Mudah Dan Santai!

Ini 7 cara ajar anak agar yang dapat dipraktikkan agar mereka menyanjungi Nabi kita sebagai superhero favourite mereka.

1. Kaji Perkara Yang Paling Disukai Oleh Anak

Pertamanya, kita perlu mengenali karakter kartun, buku, atau apa-apa topik kegemaran mereka. Ini membolehkan kita mendekatinya secara halus dan tahu topik yang menarik minatnya.

Seperkara yang perlu diingat, janganlah kita mengejek perkara yang digemari anak seperti ‘bantal busuk’ atau ‘anak patung buruk’ kerana ‘nada’ anda ini hanya akan menjauhkan hati mereka daripada kita.

kartun anak

Foto Kredit: m.edziecko.pl

2. Cari ‘Superpower’ Dan ‘Geng’ Para Nabi

Perkara utama yang penting menghidupkan karakter dalam setiap ‘superhero’ ialah menonjolkan kehebatan masing-masing. Contohnya Spiderman boleh memanjat dinding dan mengeluarkan sarang labah-labah dari tangannya.

Begitu banyak mukjizat yang disebutkan dalam Quran, pilihlah yang mudah difahami oleh mereka.

Contohnya:

Nabi Musa – Mempunyai tongkat sakti yang boleh bertukar menjadi ular dan membelah lautan.

Nabi Nuh- Membina bahtera besar dan menyelamatkan manusia beriman serta haiwan-haiwan daripada banjir besar.

Nabi Sulaiman – Boleh bercakap dengan binatang. Raja yang bijak, turut menundukkan jin supaya mentaatinya.

Nabi Isa – Menghidupkan burung daripada tanah liat, menghidupkan orang mati, menyembuhkan penglihatan orang buta

Nabi Muhammad – Membelah bulan, terbang ke Sidratul Muntaha ketika peristiwa Israk Mikraj.

Selain itu, kisahkan tentang ‘geng’ rakan lain yang datang menyelamat atau mempunyai misi yang sama. Barulah jalan cerita superhero anak anda akan lebih menarik.

kenali personaliti anak

Foto Kredit: pqs.pe

3. Cakap Dalam ‘Bahasa’ Budak Kecil

Elakkan bahasa dan istilah ilmiah yang rumit. Kalau nak ‘skip’ bahagian dakwah dulu pun tak apa. Itu mereka akan faham nanti.

Cakaplah seperti ‘bahasa’ mereka, contohnya:

“Kalau dapat terbang macam Nabi Muhammad tu lagi ‘best’ tau. Sebab dia dapat terbang lebih tinggi daripada Superman, sampai terus ke syurga. Malam tu dia ‘geng’ dengan Buraq. Tau tak Buraq tu apa?” 

Dengan cara begini, mereka akan lebih mudah membuat bayangan dalam fikiran dan teruja untuk mengetahui kisah selanjutnya.

ayah superhero anak

Suasana santai begini memang sesuai untuk bercerita kepada anak. / Foto Kredit: wendyvandam.nl

4. Salurkan Media Bertema Islamik

Dalam hal ini, kita perlu bijak dalam memilih media yang sesuai, beserta sumber yang menarik.

Dapatkan majalah, buku-buku yang bergambar dan berwarna-warni. Janganlah suruh mereka baca buku tebal-tebal, nanti cepat ‘boring’. Kini, pasaran Malaysia dan antarabangsa sudah semakin berkembang walaupun tidak sebanyak yang lain.

Kalau anak-anak celik IT, ambil peluang supaya mereka dipertontonkan kepada video-video pendidikan Islamik dalam Youtube atau Google Play Store. Kalau tak jumpa keluaran tempatan, carikan saja versi bahasa Arab atau Bahasa Inggeris.

Otak mereka cepat tangkap. Kalau boleh faham Bahasa Inggeris, tak mustahil mereka juga boleh faham bahasa Arab jika selalu mendengarnya.

superhero anak

Antara apps bertema islamik yang terdapat di Google Play Store. / Foto Kredit: peter-gould.com

5. Kenalkan Watak ‘Villain’

Sebagaimana Batman melawan Joker, Luke Skywalker melawan Darth Vader, Ultraman melawan raksasa, atau Boboiboy melawan Adudu, tentu kisah-kisah nabi akan lebih suspen dengan penceritaan watak-watak jahat ini.

Jadi, jangan lupa perkenalkan Namrud, Firaun, Abu Jahal, Qarun, dan Abu Lahab dari semasa ke semasa. Banyak pengajarannya.

Foto Kredit: io9.gizmodo.com

Foto Kredit: io9.gizmodo.com

6. Daripada Membandingkan Mereka, Jadikan Sunnah Nabi Sebagai Contoh

“Kenapa makan tak habis? Tengok Abang tu bagus, dia makan habis.” 

Apabila anak-anak buat salah, kita cenderung membandingkan mereka dengan seseorang yang lain tanpa disedari.

Sepatutnya, kita gunakan episod ini untuk menceritakan sunnah nabi dalam menanganinya.

Contohnya:

“Kalau Nabi kita makan mesti sampai habis. Yang terjatuh pun dia kutip, sebab dalam butir makanan tu ada keberkatan. Nabi tak suka membazir tau.”

ajar anak

Foto Kredit: dream.co.id

7. Selitkan Karakter Nabi Melalui Kartun Anak-anak

Susah juga nak ceritakan pada anak-anak berbanding karakter rekaan tu. Yelah, yang tu dia boleh nampak dan tengok sendiri dalam TV. Mainan pun ada banyak kat kedai.

Jadi, macamana nak bagi anak rasa karakter Nabi itu ‘real’? Beritahu anak-anak tentang makanan kesukaan nabi, warna kegemarannya, hobinya, dan ciri-ciri lain.

Kita kena buat kajian sedikit tentang ini supaya kita dapat mengisahkannya pada anak-anak. Barulah karakter Nabi SAW itu rasa dekat di hati mereka.

Contohya:

“Eh, Iman suka Power Rangers Hijau ke? Macam Nabi Muhammad lah. Dia pun suka warna hijau.”

“Upin Ipin suka ayam goreng, Nabi Muhammad suka makan kurma. Dia jadi kuat sebab dia makan buah ni. Seumur hidupnya tak pernah sakit teruk tau.”

cara ajar anak kenal nabi sejak kecil

Foto Kredit: shuroiulamo.ti

Bukan Mudah, Tapi Tak Mustahil!

Jangan pernah rasa terlambat untuk mendidik anak kita menyayangi dan menyanjungi para Nabi sebagai superhero anak. Kalau kita kerap mengulanginya, tentu akan lekat juga sedikit dalam ingatan mereka.

Mudah-mudahan, cara ajar anak secara santai ini dapat memberi semangat kepada anak-anak untuk menyanjung Nabi SAW dan para Nabi yang lain.

Percayalah, ia bukan sesuatu yang mustahil!

Yang Popular

To Top