Asuh

10 Tips Mendidik Anak Dalam Islam. Kalau Nakal & Degil?

101
SHARES
10 Tips Mendidik Anak Dalam Islam. Kalau Nakal & Degil?

Tips Mendidik Anak Dalam Islam

Pelbagai cara dan kaedah yang digunakan oleh ibubapa dalam menghasilkan zuriat yang cemerlang. Disini kami kongsikan beberapa tips untuk anda di dalam mendidik anak. Percayalah, masih boleh melentur anak yang nakal dan degil.

1. Elakkan Memukul Anak-anak.

Maksud di sini bukanlah langsung tidak boleh pukul tetapi berpada-pada. Apa yang penting jangan memukul anak dari bahagian lutut ke atas. Jika kita biasa memukul anak pada bahagian badan ke atas, dibimbangi anak akan bertambah nakal dan degil. Jika terpaksa juga memukul anak, pukullah di bahagian kaki. Secara saintifiknya memukul di kaki akan menyebabkan rangsangan refleksologi yang akan merangsang ke bahagian otak.

Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasullulah S.A.W. “Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”.

2. Pelukan Manja

Jangan malu untuk memeluk anak anda setiap hari. Tunjukkan kemesraan dengan memeluk pasangan anda terlebih dahulu seperti suami memeluk isteri atau isteri memeluk suami di hadapan anak-anak. Apabila melihat kemesraan ibu bapa secara tidak langsung anak-anak akan rasa dihargai. Malah ada kajian menunjukkan anak-anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai IQ yang kuat berbanding anak yang tidak dipeluk.

3. Pandangan Kasih Sayang

Pandanglah anak-anak anda dengan pandangan kasih sayang. Melalui pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin apabila berhadapan dengan persekitaran. Kalau bukan ibu-bapa yang sayang mereka, siapa lagi?

4. Sokongan & Pujian

Setiap kali anak anda berbuat kebaikan, jangan lupa memberi sokongan atau pujian kepada mereka. Selain itu berikan juga pelukan atau ciuman atau sekurang-kurangnya berikanlah senyuman. Tetapi janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu membuat kebaikan secara berterusan. Ingat, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka membuatkan mereka ingin melakukan semua perkara termasuklah membuat kesilapan.

5. Pilih keluarga daripada kerja

Jika anda menghadapi masalah kerja atau keluarga, pilih keluarga terlebih dahulu kerana anak-anak akan membesar. Anda akan terlepas masa yang berharga begitu sahaja jika anda memilih menyelesaikan masalah kerja daripada masalah keluarga.

6. Jangan rasa terbeban

Di dalam hal membesarkan anak-anak, janganlah anda rasa terbeban atau mengeluh. Keluhan anda akan membuatkan mereka rasa diri mereka adalah beban. Di samping itu, dengarlah cerita anak anda kerana cerita itu tidak dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran untuk bercakap. Dalam masa yang sama ini akan mengajar anak anda tentang giliran bercakap.

7. Tenangkan anak

Setiap kali anak di dalam kerisauan atau ketakutan, cuba tenangkan mereka ketika mereka memerlukan anda. Tunjukkan kepada mereka cara untuk menenangkan diri. Pasti mereka akan mempelajarinya dari perbuatan anda itu. Selain itu ketika hari lahirnya buatlah sedikit jamuan dan berikan hadiah yang unik walaupun harganya murah. Keunikan tersebut akan membuatkan dia lebih pandai menghargai. Anak-anak yang datang dari persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain.

8. Luang masa

Walau sesibuk manapun anda, luangkanlah masa bersama anak anda. Pegang tangan mereka ketika berjalan bersama. Pasti mereka akan rasa diri mereka penting kepada ibu bapa mereka. Di samping itu dengarlah mimpi ngeri mereka. Bagi kanak-kanak mimpi ngeri adalah benar di dunia nyata.

9. Hargai barang kesayangan anak

Saya pasti barang-barang anak memang terlalu banyak termasuk barang mainan mereka. Walaupun pada kita barang tersebut hanya buat semak tetapi hargailah barang mereka. Melalui cara itu mereka akan belajar menghargai barang anda pula.  Elakkan dari membuang permainan mereka yang sudah rosak. Tanya mereka dahulu sebelum membuat sesuatu tindakan. Di samping itu jangan lupa memberikan ciuman selamat malam setiap kali mereka masuk tidur.

10. Terima diri tidak sempurna

Tidak ada ibu bapa yang sempurna di dalam dunia. Terimalah hakikat tersebut agar dapat mengurangkan tekanan anda. Ingat, rumah bukan pejabat kedua anda. Jangan sesekali membawa kerja pulang. Habiskan kerja di pejabat dan pulang tanpa masalah pejabat. Jika anda selalu pulang dengan bebanan kerja anak-anak akan fikir kerja lebih penting dari keluarga.

Selain itu, bersabarlah ketika anak anda menangis kerana bagi mereka itu adalah cara mereka meredakan keresahan. Percayalah dalam masa 20 tahun akan datang anda pula akan merasa sunyi kerana ketika itu mereka pula sibuk melayan tangisan anak sendiri. Ingat, anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapa lah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Semoga tips mendidik anak dalam Islam ini dapat membantu kita serba sedikit dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu-bapa.

Baca juga cara mendidik anak yang baik dan pintar berserta bukti saintifik serta tips mendidik anak sejak dalam kandungan.

Semoga bermanfaat!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×