Apakah bapa tiri perlu memberikan nafkah kepada anak tirinya? Penulis percaya, pasti ramai yang ingin mengetahui jawapan mengenai tanggungjawab nafkah anak tiri dengan lebih lanjut. Jom ikuti perincian jawapan dari Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bawah.
Baca juga: 180 ‘List’ Nama Bayi Lelaki Islam 3 Perkataan Dalam Al-Quran, Dari Huruf A-Z!
NAFKAH ANAK TIRI
Kesimpulan
Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyimpulkan bahawa tanggungjawab nafkah anak tiri bukanlah dibawah tanggungjawab bapa tirinya, namun ia terletak di bawah tanggungan bapa kandungnya.
Justeru, bapa kandungnya wajib memberikan nafkah kepada anak kandungnya walaupun dia telah bercerai dengan isteri dan ibu kandung anaknya tersebut.
Namun begitu, tidak salah sekiranya bapa tiri ingin menanggung keperluan anak tirinya sebagai salah satu bentuk kebaikan, kebajikan dan ihsan kepadanya. Mudah-mudahan dengan belanja yang dikeluarkan kepada anak tirinya memberikan manfaat kepadanya di dunia dan juga di akhirat dalam membesarkan anak tersebut.
Baca juga: Hukum Menginap Hotel Beri Servis Arak, Ada 2 Bentuk Pengharaman – Bekas Mufti Jelaskan!
Penjelasan terperinci berkenaan pemberian nafkah kepada anak tiri
Melalui laman Maktabah Al-Bakri, anak tiri merupakan anak daripada isterinya dengan suaminya yang terdahulu, atau anak daripada suami dengan isterinya yang terdahulu. Dalam Islam, anak tiri tidak wajib dinafkahi oleh ayah tirinya, meskipun kedua-duanya sudah menjadi mahram.
Hal ini kerana hubungan antara ayah tiri dan anak tirinya tidak terdapat padanya hubungan nasab dan kekeluargaan yang menyebabkan ayah tiri wajib menafkahi anak tirinya. Menurut para ulama, terdapat tiga situasi yang menyebabkan seseorang wajib memberikan nafkah, iaitu:
- Memiliki hubungan nasab dan kerabat seperti antara ayah kandung dan anak kandungnya.
- Memiliki ikatan pernikahan seperti suami dan isterinya.
- Disebabkan oleh pemilikan seperti memiliki seorang hamba, maka dia wajib menafkahinya.
Hal ini sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Abu Bakar Syata al-Dimyathi al-Bakri di dalam kitab I’anah al-Talibin: Ketahuilah bahawa sebab kewajiban nafkah terbahagi kepada tiga perkara; Ikatan perkahwinan, Kekerabatan, dan Pemilikan. (Lihat I’anah al-Talibin, 4/70)
Selain itu, menurut ulama al-Hanabilah, antara syarat seseorang wajib memberikan nafkah kepada orang lain adalah keduanya mesti boleh mewarisi harta peninggalan seperti anak kandung berhak mendapatkan harta pusaka daripada ayah kandungnya, dan begitu sebaliknya. Jika tidak boleh saling mewarisi, maka tidak ada kewajiban memberi nafkah antara satu sama yang lain.
Baca juga: Larangan Jalin Hubungan Sulit Dengan Suami Atau Isteri Orang, Boleh Kena Penjara!
Kelayakan anak tiri mendapatkan harta pusaka ayah tiri
Dalam Islam, anak tiri tidak berhak mendapatkan harta pusaka daripada ayah tirinya, begitu juga sebaliknya. Hal ini disebabkan kerana antara keduanya tidak ada hubungan nasab yang menyebabkan keduanya boleh saling mewarisi.
Justeru, ayah tiri tidak wajib memberikan nafkah kepada anak tirinya, begitu juga sebaliknya, anak tiri tidak wajib memberikan nafkah kepada ayah tirinya.
Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah: Syarat keempat ialah pemberi nafkah harus berstatus sebagai pewaris. Jika dia bukan pewaris, maka dia tidak wajib memberi nafkah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 41/80)
Baca juga: Air Nabeez Minuman Kegemaran Rasulullah Kaya Khasiatnya & Ada Resepi Juga!
Sumber: Maktabah Al-Bakri
FT Image: freepik