Bukan tidur malam sahaja ada kepentingan malah manfaat anak tidur siang juga tidak boleh dipandang remeh. Sekiranya ibu ayah tidak pernah menyuruh anak untuk tidur pada waktu siang, memang rugi kerana antara kelebihannya adalah boleh membantu meningkatkan sistem imunisasi badan.
Jadi, ikuti artikel penuh di bawah mengenai manfaat anak tidur siang dan waktu terbaik mengikut usia mereka. Baca sampai habis ya.
Baca juga: 15 Perangai Ibu Ayah Yang Anak Cepat Tiru, Jangan Ambil Ringan Yang No 4 Ini!
WAH! BANYAK RUPANYA MANFAAT ANAK TIDUR SIANG
1. Mood lebih baik
Kajian mendapati sekiranya kanak-kanak berusia 2 tahun tidak tidur siang, ia akan membuatkan mood mereka kurang ceria dan mudah marah. Jadi, ada baiknya jika si ibu memastikan agar si kecil tidur pada waktu siang untuk memastikan mood sentiasa gembira.
2. Membantu untuk kekal cergas dan bertenaga
Manfaat anak tidur siang yang seterusnya adalah dapat membantu untuk kekal cergas. Satu kajian dilakukan dan mendapati kanak-kanak yang mempunyai corak tidur tidak teratur boleh menyebabkan obesiti.
Kanak-kanak cenderung makan lebih banyak dan memilih makanan tidak sihat apabila mereka tidak cukup tidur. Sekiranya kurang bertenaga dan tidak cergas, ini akan membuatkan si kecil kurang melakukan senaman.
3. Lebih fokus dan mudah hafal
Seterusnya, tidur siang boleh membuatkan kanak-kanak lebih fokus dan mengingati apa yang dipelajari pada waktu pagi.
4. Tidur malam lebih lena
Ada yang berpendapat bahawa sekiranya kanak-kanak tidur pada waktu siang, ia akan membuatkan mereka susah tidur malam.
Walau bagaimanapun perkara ini salah kerana tidur pada waktu malam akan lebih lena jika ibu ayah mengamalkan tidur pada waktu siang.
5. Meningkatkan sistem imunisasi badan
Buat yang belum tahu, manfaat tidur siang juga boleh membantu meningkatkan sistem imunisasi badan. Menurut kajian yang dilakukan oleh seorang doktor dari Amerika Syarikat, kurang tidur boleh meningkatkan pelepasan penanda pro-radang dan melemahkan sistem imun badan.
WAKTU TERBAIK MENGIKUT UMUR UNTUK TIDUR SIANG
1. Bayi baru lahir
Mereka boleh tidur sehingga 18 jam sehari dan biasanya hanya menghabiskan satu atau dua jam terjaga pada satu masa.
2. Bayi usia 3-6 bulan
Pada usia ini, bayi memerlukan dua hingga empat jam waktu tidur siang sehari.
3. Usia 1 hingga 2 tahun
Kanak-kanak berumur 1-2 tahun perlu tidur 12-14 jam sehari. Sebelum usia 2 tahun, kebanyakan kanak-kanak boleh mengurangkan masa tidur siang mereka.
4. Kanak-kanak prasekolah (3-5 tahun)
Tidak semua kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas mahu tidur siang. Namun, tidak ada salahnya jika meminta mereka untuk tidur. Pada usia 3-5 tahun atau prasekolah, kanak-kanak memerlukan 11-13 jam tidur sehari.
5. Usia 6-12 tahun
Apabila kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas, kebanyakan mereka tidak lagi memerlukan tidur yang panjang. Walau bagaimanapun, jika si kecil berasa letih selepas sekolah dan aktiviti lain, anda boleh memujuk mereka untuk tidur sebentar selama 30 minit sahaja supaya tidak mengganggu waktu tidur pada waktu malam.
Jadi, ibu ayah selepas ini boleh ajar anak-anak untuk tidur siang ya kerana banyak manfaatnya.
Baca juga: Bayi Suka Hisap Jari, Biarkan Atau Patut STOP Tabiat Ini? Penjelasan Lanjut Di Sini
Sumber: Web MD & Sleep Education