Rakyat

7 Sebab Kaum Lelaki Pun Patut Dapat Cuti Bersalin Yang Lebih Lama

1.3K
reads
cuti bersalin suami

Kata orang, seorang wanita menjadi ibu sebaik sahaja mendapat tahu bahawa dia hamil. Seorang lelaki pula mula menjadi bapa hanya ketika pertama kali mendakap bayinya. Ini kerana secara semulajadinya proses bonding mengambil masa yang lebih lama bagi lelaki.

Dalam pembentangan Bajet 2018 yang lalu, kepentingan wanita hamil dan cuti bersalin telah diberi penekanan, di mana ia mula dinaikkan daripada 60 hari kepada 90 hari. Cuti bersalin dilihat penting bagi wanita dalam memastikan ibu dapat berehat serta menjaga kebajikan diri bersama bayi, di samping menyusukannya dan tidak akan terlepas saat-saat awal melihat bayi yang baru lahir membesar.

Berbanding cuti yang diberikan kepada kaum lelaki pula, paternity leave yang diperuntukkan adalah 1 minggu, namun secara rasminya ia tidak termaktub dalam akta undang-undang di Malaysia. Maka, ia bergantung kepada ihsan dan polisi majikan masing-masing.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga pernah mencadangkan agar cuti bersalin untuk bapa diberikan selama 1 bulan kepada kakitangan kerajaan dan swasta dengan bayaran gaji penuh. Syarikat seperti CIMB dan IKEA Malaysia adalah antara yang terawal di Malaysia menawarkan paternity leave selama 1 bulan ini kepada pekerja lelaki mereka.

Menurut laporan Telegraph, negara seperti Norway, Sweden, Iceland, dan Finland, cuti bersalin bagi kaum bapa bukanlah isu yang baru. Negara-negara ini telah memperuntukkan tempoh cuti bersalin sekitar 14 hari serta cuti yang boleh dikongsi sehingga lebih 30 hari bagi kaum lelaki dengan pilihan polisi gaji yang fleksibel.

7 Sebab Kaum Lelaki Wajar Diberi Cuti Bersalin Yang Lebih Panjang

Walaupun pada hakikatnya si isteri yang mengandung dan melahirkan bayi, ada banyak sebab mengapa kaum lelaki juga patut diberikan tempoh cuti bersalin atau paternity leave yang lebih panjang.

1. Membina Hubungan Antara Bayi Dan Ayah

Si ibu lazimnya mempunyai banyak masa untuk mengukuhkan hubungan bersama bayi, terutamanya ketika menyusukannya. Bagi bapa pula, mereka perlu berusaha menghadirkan diri untuk berdampingan dengan bayi supaya hubungan lebih erat. Tempoh 1 minggu seolah-olah terlalu pendek untuk bayi membiasakan diri dengan degupan jantung ayah dan merasa sentuhan hangat dalam pelukannya.

Sebenarnya, sekalipun bayi baru lahir banyak tidur dan tidak aktif bermain, minda mereka sangat peka akan persekitaran. Menurut pakar, bayi baru lahir mampu mengingati akan suara yang sering didengarnya ketika di dalam perut ibu. Jadi, sebab itulah kehadiran bapa yang sentiasa berada dekat dengan bayi akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka.

peranan suami

Foto Kredit: huffingtonpost.com

2. Membantu Menguruskan Hal Di Rumah

Berpantang sambil mengurus keperluan diri dan menjaga bayi bukan perkara yang mudah – lebih-lebih lagi jika pasangan tersebut mempunyai anak kecil yang lain dan perlu diuruskan urusan hariannya seperti menyediakan makan minum dan sekolahnya. Isteri yang sudah bertarung nyawa melahirkan anak pasti memerlukan bantuan daripada suami.

Percayalah, walaupun dalam hal kecil seperti tolong awasi anak ketika isteri mandi  atau menukar lampin bayi sudah memberi makna yang besar kepada isteri. Dalam zaman moden ini juga, semakin ramai wanita memilih untuk berpantang sendiri kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa atau mertua. Dengan menjaga kebajikan isteri dengan baik, lebih cepat isteri dapat pulih dengan sempurna.

Foto Kredit: mamari.jp

3. Kurang Risiko Tekanan Perasaan (Postpartum Depression)

Seperti yang dinyatakan dalam poin kedua di atas, waktu awal kelahiran bayi adalah antara waktu yang sukar dilalui bagi wanita. Tanpa seokongan suami, ia dapat menyebabkan emosi tidak stabil. Dengan keadaan kurang tidur dan keletihan menjaga bayi, sudah tentu si ibu perlukan sokongan bagi mengurangkan beban fizikal dan mental.

Penyertaan bapa dalam penjagaan awal kelahiran bayi adalah penting supaya kesejahteraan ibu dan anak terjaga. Menurut Journal of Health Politics, Policy and Law seperti dilaporkan oleh Fox News, risiko ‘postpartum depression’ atau meroyan dapat dikurangkan dengan pemberian cuti paternity yang lebih fleksibel kepada kaum lelaki.

bayi berjaga malam

Foto Kredit: huffingtonpost.com

4. Lebih Produktif Apabila Kembali Bekerja

Selain memberi kebaikan buat ibu dan bayi, cuti pelepasan bagi bapa juga penting bagi keperluan emosi dan fizikal kaum lelaki dalam persediaan menyambut bayi.

Kalau cuti terlalu pendek, susahlah kaum lelaki mahu menyesuaikan diri dan berasa kelam-kabut untuk menguruskan hal kerja dan urusan di rumah. Masalah ini boleh berterusan dan melarat kerana ia tidak mampu diselesaikan dalam masa yang terhad. Kajian mendapati bahawa seorang bapa yang yakin dalam menguruskan rumahtangga terlihat lebih produktif dalam kerjayanya.

Dalam ulasan Majalah TIME, paternity leave dilihat bukan saja penting bagi kesihatan mental kaum lelaki, malah ia mustahak bagi perkembangan sesebuah syarikat. Dengan memberi ruang dan masa untuk bersedia dengan kehadiran bayi, mindset yang lebih jelas pasti membuatkan mereka dapat lebih fokus dan bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam kerja yang dilakukan.

Foto Kredit: rd.com

5. Perkembangan Bayi Yang Lebih Positif

Bapa yang lebih memberikan perhatian anak secara tidak langsung mengajar anak tentang erti kasih sayang dan saling bergantung dan mempercayai antara satu sama lain.

Penelitian telah membuktikan bahawa bapa yang meluangkan lebih masa di rumah memberi impak positif kepada bayi. Ia bukan saja memacu rasa konfiden dan lebih cekap dalam aktiviti harian, malah waktu tidur si kecil juga menjadi lebih tersusun.

tips menjarakkan kehamilan

Foto Kredit: dissolve.com

6. Kebajikan Ibu Dan Anak Lebih Terjaga

Dalam kekecohan menguruskan rumah dan anak, kadang-kala ibu juga terlepas pandang akan perkara penting. Oleh itu, kehadiran bapa amat penting sebagai sokongan supaya kebajikan seluruh keluarga terjamin.

Jika kedua-duanya sibuk, mungkin komunikasi kurang lancar sehingga anak-anak yang lebih besar rasa terabai. Dengan saling mengingatkan perkara penting seperti penjagaan kesihatan bayi, pemakanan ibu berpantang, waktu temu janji dengan doktor, vaksinasi dan sebagainya, semua perkara nampak lebih terkawal. Barulah kehadiran orang baru terasa lebih indah dan bermakna.

Foto Kredit: newkidscenter.com

7. Latihan Buat Kaum Lelaki

Paternity leave yang lebih lama dapat memberi ruang kepada kedua ibu bapa baru untuk menyesuaikan diri dengan peranan baru dalam hidup. Rutin harian dalam menjaga bayi seperti memandikan dan menyiapkan bayi serta menidurkannya mungkin nampak mudah tetapi ia adalah sebaliknya.

Perkara ini perlukan latihan dan kesabaran yang tinggi. Bapa yang lebih rajin turut serta dalam menjaga bayi akan lebih yakin untuk menjaganya dan akan menjadi semakin cekap. Tapi kalau setiap hari balik kerja pun dah nak malam, bila lagi nak praktis buat semua ini, bukan?

Foto Kredit: buildyourmarriage.org/

Cuti Bersalin Juga Relevan Untuk Kaum Lelaki

Sebagai wanita, kita selalu menganggap bahawa kita boleh melakukan semuanya sendirian. Malu nak minta tolong dan tak mahu susahkan suami. Akhirnya, suami kekok menguruskan anak dan hanya mengharapkan isteri menguruskan semua hal di rumah. Lama-kelamaan, situasi ini menjadi sesuatu yang ‘biasa’ di kalangan masyarakat kita.

Tidak dinafikan ada suami yang cukup prihatin dan memahami serta telah berusaha sedaya-upaya untuk terlibat dalam urusan penjagaan isteri dan bayi. Tapi apakan daya, mereka juga tidak mampu meluangkan banyak masa serta perhatian kerana demand di tempat kerja.

Jadi, memang relevan sangatlah kalau tempoh cuti bersalin turut diperuntukkan kepada kaum lelaki, betul tak?

Yang Popular

To Top