Famili

Wahai Suami, Ini 6 Sebab ‘Me Time’ Amat Penting Untuk Isteri Anda

20.8K
SHARES

“‘Me time’? Awak nak masa untuk bersendirian buat apa? Awak kan dah duduk seharian di rumah. Bukannya kena kerja di luar macam saya, badan cepat letih. Masa anak-anak tidur, awak pergilah buat apa-apa yang awak nak. Tak fahamlah saya dengan permintaan pelik awak ni.”

Pernahkah isteri meluahkan perasaan sebegini? Otak terasa tepu, badan cepat letih, emosional, senang ‘naik angin’ dan ada masanya rasa macam ‘orang gaji’ di rumah sendiri. Bukannya kerana ahli keluarga melayan dengan buruk, tetapi kerana mereka rasa tidak dihargai dan tidak penting buat sesiapa lagi.

Ini sebenarnya salah satu ‘sindrom’ yang amat biasa dilalui oleh ibu-ibu, terutamanya yang bergelar surirumah sepenuh masa. Biasanya mereka akan minta tolong suami untuk jagakan anak sebentar kerana tak mahu diganggu semasa melakukan kerja rumah atau bersendirian dalam bilik. Permintaan sebegini sebenarnya amat bermakna bagi mereka.

ibu letih

Wahai Suami, Ini 6 Sebab ‘Me Time’ Amat Penting Untuk Isteri Anda

Dalam sebuah laporan Daily Mail menunjukkan bahawa wanita hanya mempunyai 17 minit sehari untuk diluangkan bagi kepentingan diri sendiri. Bagi wanita yang menjadi surirumah, hampir kesemua waktu mereka didedikasikan untuk kepentingan anak-anak, suami, dan kerja-kerja lain seperti urusan rumah tangga.

Jadi, ini 6 sebab mengapa masa bersendirian amat penting untuk seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri.

1. Mereka Perlu Ruang Privasi

Benar, surirumah duduk di rumah. Benar, mereka tidak perlu ke pejabat. Tapi, sedarkah anda bahawa tubuh dan otak mereka ini bekerja 24 jam tanpa hari cuti?

Seorang lelaki pergi ke pejabat dan boleh berehat apabila pulang ke rumah. Tapi, wanita bekerja pula terpaksa memasak makan malam dan menyediakan keperluan anak-anak sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah.

Sama ada bekerja atau tidak, seorang ibu biasanya tidak mempunyai privasi dan kesempatan untuk melakukan perkara normal dengan tenang. Bayangkan, nak ke tandas pun perlu ditahan-tahan. Tidur malam sering terganggu. Nak duduk makan dengan tenang pun susah kerana adanya anak kecil yang mahukan perhatian mereka.

2. Badan Cepat Letih Kerana Banyak ‘Multi-tasking’

Sama ada kerana terpaksa atau sukarela, seorang wanita banyak mengamalkan ‘multi-tasking’ demi melancarkan segala urusan harian.

Dalam perjalanan nak ke dapur untuk buat makanan bayi, anda akan bawa bakul baju kotor, jerang air, dan cuba sediakan bahan untuk masak makan malam sekali. Sambil tunggu bubur bayi masak, anda akan basuh pinggan, kutip mainan yang bersepah, dan masak nasi. Sungguhpun ia kedengaran efisyen, namun sebenarnya ia adalah punca badan cepat letih!

Berbanding lelaki, wanita memang sebati dengan tabiat ini kerana ia adalah sebahagian daripada proses otak mereka yang kompleks. Sehubungan itu, tidak hairanlah sebuah laporan terkini oleh Sleep Research Centre,  Loughborough University mencadangkan bahawa seorang wanita perlukan lebih tidur berbanding lelaki.

Foto Kredit: parenting.com

Foto Kredit: parenting.com

3. Susahnya Menguruskan Orang Lain Sebelum Menguruskan Diri

Sebagai seorang wanita biasa, ibu dan isteri sering diharapkan untuk memainkan peranan luarbiasa. Walaubagaimanapun, ramai yang terlupa bahawa amat sukar untuk ‘memaksa’ proses ini berlaku apabila mereka sendiri tidak dapat menguruskan keperluan masing-masing.

Sebab itulah kalau ‘mood’ ibu baik, seisi keluarga mesti akan rasa lebih gembira dan ceria. Tapi, jika sebaliknya memang meranalah siapa yang menjadi mangsa.

badan cepat letih

Foto Kredit: kidspot.com.au

4. Jauh Di Mata Dekat Di Hati

Sejak dalam pantang, anak duduk dengan isteri. Suami ‘outstation’, anak di rumah dengan isteri. Hujung minggu suami ada urusan di luar, anak ditinggalkan dengan isteri. Apabila suami di rumah berehat, anak pun masih duduk dengan isteri. Bukanlah bermaksud isteri tak mahu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, tetapi mereka juga perlukan masa untuk bersendirian tanpa suara-suara tangisan, rengekan, pergaduhan anak-anak, dan sebagainya. Tahu tak betapa tertekannya apabila tidak mempunyai kehidupan sosial selain perbualan dengan anak-anak kecil yang belum dapat memahami mereka?

Dengan meluangkan sedikit masa bersendirian atau bersama teman-teman sebaya, sebenarnya ibu akan berasa lebih gembira apabila bertemu anak-anak. Percayalah, baru keluar 1 jam pun dah rasa rindu dengan suami dan anak-anak!

5. Ia Mengukuhkan Hubungan Suami Isteri

Menurut Happify Daily, kajian oleh Universiti Michigan mendapati bahawa kurangnya masa untuk diri sendiri merupakan salah satu punca utama bagi rumah tangga yang bermasalah.

Ini disokong oleh Psychology Today yang menyifatkan ‘me time’ ini dapat membantu otak seseorang berfikir dengan lebih dalam. Secara tidak langsung, ia menjadikan seseorang lebih menghargai perhubungan dan mampu membuat keputusan yang lebih baik untuk diri sendiri dan juga orang di sekeliling mereka.

tips ibu bapa

Foto Kredit: huffingtonpost.com

6. Mereka Perlu Kenal Diri Sendiri

Sejak bayi anda lahir, isteri anda dilanda kesibukan menyusukan bayi setiap 2 jam. Dalam antara terhad itulah mereka mempunyai sedikit masa untuk berkejar-kejaran menguruskan diri.

Sehingga anak-anak semakin besar, mereka hingga lupa bagaimana melakukan hobi dan sesuatu mengikut keinginan mereka sendiri. Malah, ramai yang mengadu berasa sukar fokus ketika solat atau meditasi, sedangkan ianya adalah salah satu jenis terapi yang dapat menenangkan.

Apabila ini berlaku, seseorang wanita akan berasa kurang percaya diri dan tidak dapat menyerlahkan potensi mereka. Akibatnya, ramai yang berasa tidak dihargai dan cenderung mengalami ketidakstabilan emosi.

Foto Kredit: kaifia.com

Foto Kredit: kaifia.com

Wanita Pun Perlu Bijak Cari Masa Berkualiti

Dengan meluangkan sedikit masa untuk diri sendiri, seseorang isteri mampu meleraikan kekusutan dalam fikiran, bertindak dengan lebih tenang, dan lebih menghargai suami serta anak-anak. Apabila badan cepat letih, ditambah lagi kesibukan dengan kurang tidur, tentulah ia dapat menggugat emosi wanita.

Bagi isteri, jika sukar mendapatkan masa, cubalah bangun lebih awal, tangguhkan kerja rumah yang tidak begitu penting, dan cuba ajak anak-anak bersenam dan beriadah di luar. Bagi yang Muslim, perbanyakkanlah zikir Fatimah, solat sunat, dan bacaan Al-Quran sebagai penawar bagi keletihan dan membantu anda berasa lebih bersemangat.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×