Nur

Hukum Cukur Bulu Kaki Bagi Perempuan & Lelaki, Rupanya Ada Larangan Kalau…

7
SHARES
hukum cukur bulu kaki

Sebagai seorang wanita, menjaga kebersihan dan kecantikan seluruh anggota badan merupakan antara rutin yang dititikberatkan. Ini termasuk kepada penjagaan bulu di badan seperti di kawasan kaki yang pastinya akan dicukur jika bulu tersebut sudah panjang. Namun, apakah hukum cukur bulu kaki ini?

Bukan sahaja bagi kaum perempuan, kaum lelaki juga perlu mengetahui apakah hukum cukur bulu kaki dan bulu-bulu lain di anggota badan supaya tidak termasuk dalam perbuatan yang ditegah Islam. Ada yang boleh dan tak boleh simpan tau!

Baca juga: Hukum Simpan Tali Pusat Bayi Dalam Islam VS Adat Melayu Lama, Yang Mana Nak Ikut?

HUKUM CUKUR BULU KAKI LELAKI BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN

hukum cukur bulu kaki

Berkenaan dengan isu mencukur bulu-bulu yang terdapat pada anggota badan manusia, para ulama mengkategorikan hukumnya kepada tiga bahagian seperti berikut:

#1 Bulu-Bulu Yang Terdapat Perintah Untuk Mencukurnya

Terdapat beberapa perintah yang mengarahkan supaya dicukur beberapa jenis bulu yang terdapat pada anggota tubuh manusia. Ini sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ ـ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ ـ الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: Fitrah itu ada lima – atau lima perkara yang menjadi fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.- Riwayat Al-Bukhari (5889)

Para ulama mengatakan bahawa istilah ini merujuk kepada  mencukur bulu kemaluan, iaitu bulu-bulu yang berada di sekitarnya. Bukan itu sahaja, bulu-bulu yang berada di sekitar dubur juga turut dikira sebagai bulu kemaluan.

Berdasarkan hadis di atas, terdapat tiga bulu yang disebutkan untuk dipotong iaitu bulu kemaluan, bulu ketiak, dan juga misai. Maka kita diperintahkan untuk memotong, mencukur, atau mencabutnya.

#2 Bulu Bulu Yang Terdapat Larangan Mencukurnya

Yang kedua adalah bulu-bulu yang dilarang oleh syarak untuk mencukurnya. Antaranya adalah memotong atau mencukur janggut bagi orang lelaki. Larangan ini dapat kita lihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma bahawa Nabi S.A.W bersabda:

‏ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ وَأَعْفُوا اللِّحَى

Maksudnya: Cukurlah misai-misai, dan biarkanlah jangut-janggut.-Riwayat Muslim (259)

Berdasarkan hadis juga, perintah Nabi berkaitan janggut bererti, kekalkanlah ia iaitu biarkanlah ia dalam keadaan yang banyak. Perintah Nabi S.A.W untuk membiarkan janggut bererti juga dalam masa yang sama baginda melarang dari perbuatan mencukur janggut.

Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang disebutkan oleh Imam Al-Haramain Abdul Malik Al-Juwaini Rahimahullah: Perintah untuk melakukan sesuatu adalah larangan kepada perbuatan yang menyelisihinya. Manakala larangan melakukan sesuatu adalah perintah kepada meninggalkannya.

Selain itu, di antara bulu-bulu yang dilarang mencukurnya juga adalah bulu kening. Imam Al-Nawawi mensyarahkan hadis bahawa dilarang untuk wanita membuang bulu-bulu daripada mukanya. Manakala المتنمصة adalah wanita yang meminta untuk bulu-bulu tersebut dibuang. Perbuatan ini adalah haram melainkan apabila seorang perempuan itu tumbuh janggut atau misai, maka tidak haram untuk membuangnya.

Yang tidak dibenarkan adalah:

-Mencukur janggut

-Membuang bulu kening dengan tujuan untuk meninggikan keduanya atau untuk menyamaratakan di antara keduanya

-Menambah atau mengurangkan bertujuan untuk mendapatkan kecantikan

-Menipiskan bulu kening

#3 Bulu Bulu Yang Didiamkan Oleh Syarak

Ini bermaksud, tidak ada nas dari syarak baik dari Al-Quran ataupun Sunnah Nabi S.A.W yang mengarahkan bulu-bulu ini untuk dipotong atau melarang bulu-bulu ini dari disimpan. Maka ia kembali kepada hukum asalnya sesuatu iaitu keharusan. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Salman Al-Farisi R.anh, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْحَلاَلُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا عَنْهُ

Maksudnya: Halal itu adalah apa-apa yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya, dan haram itu adalah apa-apa yang Allah haramkan di dalam kitab-Nya. Dan apa-apa yang Allah diamkan tentangnya (hukumnya) maka ia termasuk di antara perkara yang dimaafkan.

Beberapa contoh bulu tersebut adalah:

-Bulu dada
-Bulu betis
-Bulu paha
-Bulu hidung
-Bulu yang terdapat di lengan, serta selainnya

Ini adalah senarai bulu yang tidak terdapat arahan untuk memotongnya serta tidak terdapat larangan untuk menyimpannya. Justeru, dalam hal ini seseorang itu boleh sahaja menyimpan bulu-bulu tersebut iaitu tidak memotongnya, dan dia boleh juga untuk memotongnya sekiranya dia mahu.

hukum cukur bulu kaki

*Secara konklusinya, hukum asal mencukur bulu kaki bagi orang perempuan ataupun orang lelaki adalah harus. Ini kerana tidak terdapatnya arahan untuk mencukurnya serta tiada pula larangan untuk menyimpannya.

Namun diingatkan bahawa jika sekiranya memotong atau mencukur bulu-bulu tersebut boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) lelaki kepada perempuan atau sebaliknya, maka hukumnya adalah dilarang. Yang mana boleh simpan tu simpan sahaja lah..

Baca juga: Jangan Simpan Barang Tak Dipakai Penuh Dalam Rumah, Hati-Hati..Semua Akan Dihisab!

Sumber: Mufti WP

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×