Sejak kebelakangan ini, ramai dalam kalangan umat Islam telah dijemput untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah. Kalau dahulu, mungkin ibadah tidak terlampau didedahkan dalam media sosial namun berbeza dengan zaman sekarang apabila ramai yang terlampau obses dengan salah satu ‘trend’ iaitu dengan menjadikan hukum cium Hajarul Aswad sebagai wajib.
Oleh kerana baru-baru ini timbul satu paparan video menyaksikan sekumpulan rakyat Malaysia yang berebut sehingga boleh mencederakan diri sendiri serta orang sekeliling semata-mata untuk mencium Hajarul Aswad, bekas Mufti Wilayah Persekutuan tampil untuk menegur tindakan tersebut.
Baca juga: Ketua Keluarga Wajib Sediakan Satu Fail Faraid Lengkap Dengan 7 Dokumen Ini, Senang!
HUKUM CIUM HAJARUL ASWAD: UMRAH BUKAN PELANCONGAN “KEROHANIAN”
Menurut Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hukum mencium/ memegang batu Hajar Aswad adalah sunat. Perbuatan mencium Hajar Aswad bukanlah bererti menyembah batu tersebut, namun sebagai salah satu sunnah Nabi. Sebagaimana dalam hadith menyebut:
إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ مَا تَنْفَعُ وَلاَ تَضُرُّ، ولَوْلا أنِّي رأَيْتُ رسولَ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku (Saidina Umar al-Khattab) mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.”- Riwayat Al-Bukhari (167)
Jadi untuk pengetahuan saudara, ibadat dalam Islam, ada yang bersifat tawaqqufi dan ta’abbudi yang memberi maksud kerana itulah perbuatan Rasulullah SAW yang sewajarnya kita ikuti. Boleh jadi kita tidak mengetahui matlamat atau hikmah di sebaliknya, tetapi kita tetap yakin akan ada hikmah di sebaliknya. Dengan sebab itulah, hikmah yang sebenarnya daripada mencium Hajar al-Aswad adalah semata-mata mengikut perbuatan Rasulullah SAW di samping menzahirkan ubudiyyah kepada Allah SWT iaitu dengan cara mentakzimkan syiar-Nya sebagai mana yang ditunjukkan oleh sunnah.
Berbalik kepada isu yang mendapat perhatian ramai ketika menunaikan ibadah umrah iaitu memuat naik paparan video berebut-rebut dalam khalayak ramai untuk mencium batu Hajarul Aswad, bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur dengan mengatakan bahawa:
1. Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium hajar aswad adalah sunat.
2. Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium hajar aswad adalah haram. Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.
3. Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya. Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial. Jika ia hanya sekadar “trend” untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah “trend” yang merugikan itu.
قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. [Surah al-An’am: 162]
*Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk doa-doa kepada-Nya. Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan masa untuk mencipta content!
Baca juga: Hentikan ‘Trend’ Sambut Hari Lahir Di Kubur Anak, Patutnya Ziarah & Sedekah Doa..
Sumber: Dr.Zulkifli Mohamad al-Bakri, Maktabah Al-Bakri
Foto: Insiden24