“Geramnya, dah cuba macam-macam cara atasi anak menangis. Tapi, dia siap boleh meraung-raung bila tak dapat mainan yang dia nak kat kedai. Dah marah tak ‘jalan’. Cakap elok-elok pun bukannya ada kesan. Lainkali aku ingat nak ‘buat tak tahu’ je.”
Memang banyak cabaran nak berhadapan dengan anak. Walaupun kecil, tapi boleh ‘sakit jantung’ juga dibuatnya. Kalau asyik dilayan pun, ada saja mulut-mulut yang mengatakan kita memanjakan anak.
Jadi, patutkah biarkan saja sampai mereka diam sendiri?
Berdasarkan nasihat pakar psikologi kanak-kanak dan ahli neurosains menerusi Huffington Post, kita tidak sepatutnya membiarkan anak-anak yang sedang mengamuk supaya berhenti mengamuk atau menangis dengan sendiri.
4 Sebab Jangan ‘Buat Tak Tahu’ Bila Anak Mengamuk
Ini 4 alasan yang dikemukakan oleh pakar dan neurosains.
1. Anak Anda Sedang Melalui Waktu Yang Sukar
Secara fizikalnya, otak anak kecil tidak kompleks atau sofistikated seperti orang dewasa.
Pemikiran yang belum matang menyukarkan mereka untuk membuat pertimbangan yang matang dan mengawal emosi.
Memang geram kalau mereka bergaduh atas perkara kecil seperti tidak mendapat cawan biru kegemarannya. Tetapi bagi mereka, sebenarnya perkara ini adalah sama besar halnya seperti kita tak dapat membayar sewa rumah.
Jadi, walaupun ianya remeh bagi kita, sebenarnya ia amat penting bagi fikiran anak anda.

Foto Kredit: huffingtonpost.com
2. Anak Kecil Tak Boleh Bertenang Sendiri
Anak kecil masih dalam proses untuk belajar mengenalpasti perasaan dan emosi yang mereka miliki.
Seorang pakar psikologi mengibaratkan emosi anak kecil seperti air panas yang berbuih di dalam sebuah cerek. Mereka belum cukup bijak untuk memperlahankan atau menutup gas. Mereka hanya akan berhenti apabila airnya kering, iaitu diibaratkan sebagai ‘keletihan’.
Apabila mereka hanya berhenti kerana ‘tidak dilayan’, mereka akan mempunyai masalah yang lebih besar untuk meluahkan perasaan apabila besar nanti.
Empowering Parents merungkaikan bahawa seseorang yang sedang marah sebenarnya susah untuk dikawal – tidak kiralah orang dewasa atau anak-anak. Jadi, jangan beri banyak arahan kepada mereka sebagai cara atasi anak menangis dan mengamuk.

Foto Kredit: fun-edu.ru
3. Anak Anda Sebenarnya Berasa ‘Teruk’ Dengan Perbuatannya
Sebagaimana anda berasa malu, marah, tidak terkawal dan geram terhadap anak anda yang sedang mengamuk, begitu jugalah yang dirasai oleh anak anda.
Anak-anak bukannya SUKA untuk mengamuk dan menangis. Bayangkan apa perasaannya jika anda sedang kecewa, tak dapat berbuat apa-apa, dan orang yang anda paling percaya pula ‘buat tak tahu’ pada anda. Amat terkilan, bukan?
Cara mengatasinya yang terbaik adalah dengan memberi perakuan terhadap perasaan mereka.
Contoh: Sayang, Ibu tahu Iman sedang kecewa dan marah. Tapi ibu tak boleh benarkan Iman melompat dan berlari di tempat yang merbahaya begitu. Ini untuk keselamatan Iman juga. Ibu kan sayangkan Iman.

Foto Kredit: eumom.ie
4. Mereka Ingin Berkomunikasi Dengan Anda
Salah satu sebab paling utama anak kecil mengamuk adalah kerana mereka rasa ‘terabai’.
Mungkin disebabkan cemburu hingga bergaduh dengan adik-beradik lain, inginkan perhatian anda yang sedang sibuk dan penat sewaktu baru balik kerja, atau marah kerana anda tidak mendengar apa yang mereka mahukan di pasaraya.
Jika mereka berasa ‘terabai’, perasaan lain seperti takut, keliru, dan terancam akan mula memainkan karakter.
Perhatian andalah yang menjadikan mereka berasa selamat dan selesa. Bukannya permainan atau apa-apa barangan yang mereka mahukan. Itu semua hanyalah sementara.

Foto Kredit: parents.com
Cara Atasi Anak Menangis Dan Mengamuk Adalah Dengan Perhatian Anda
Berdasarkan alasan yang dikemukakan di atas, terbukti bahawa perhatian anda amat penting sebagai cara atasi atasi anak mengamuk dan menangis. Ini bermaksud, mereka tidak boleh ‘dibiarkan’ dan ‘buat tak tahu’ hingga mereka keletihan dan diam.
Malah, ia mampu memberi kesan negatif kepada si anak apabila meningkat usianya kelak.
Bersabarlah, segala kesabaran anda akan membantu membentuk karakter anak yang kukuh, yakin diri, percaya pada ibu bapa, jujur meluahkan perasaan, dan bijak mengawal emosi.
Jadi, kalau anak menangis atau menagmuk nanti, jangan ‘buat tak tahu’ saja ya!