Famili

Kenapa 2 Tahun Tempoh Terbaik Untuk Menjarakkan Kehamilan? Ini 5 Sebabnya

1.8K
SHARES
menjarakkan kehamilan

“Semalam ada jururawat tanya sama ada nak ambil perancang masa ‘check-up baby’ 6 bulan. Pentingkah menjarakkan kehamilan ni? Bila paling sesuai untuk kami dapat anak lagi?”

Tahukah anda, World Health Organization (WHO) menyarankan tempoh menjarakkan kehamilan paling baik adalah selama 2 tahun.

Menerusi laman web dailymail.co.uk, Centers for Disease Control and Prevention (CDCP) Australia telah menganalisis data daripada lebih 1 juta orang wanita dan mendapati tempoh masa sesebuah pasangan menjarakkan kehamilan memberi kesan kesihatan yang berbeza pada bayi yang dikandungkan serta ibunya.

Dalam kajian tersebut, mereka mendapati bahawa wanita yang kembali hamil terlalu cepat (kurang daripada 18 bulan) dan terlalu lama (lebih daripada 5 tahun) mempunyai risiko tertentu.

minum kopi semasa hamil

Foto Kredit: nokshe.com

Kenapa 2 Tahun Adalah Tempoh Terbaik Untuk Menjarakkan Kehamilan? Ini 5 Sebabnya

1. Kesihatan Bayi Yang Bakal Lahir

Bayi yang dilahirkan sebelum tempoh 18 bulan daripada kehamilan sebelumnya lebih berisiko terhadap beberapa komplikasi seperti masalah pada plasenta.

Selain itu, ia juga dikaitkan dengan kelahiran pra-matang, kurang berat semasa dilahirkan, serta sindrom autisme.

Manakala, bayi yang dijarakkan terlalu lama pula (iaitu melebihi 5 tahun) turut menghadapi risiko yang hampir sama oleh kerana faktor umur wanita yang semakin meningkat.

amalan semasa mengandung

Foto Kredit: doctorvid.com

2. Kesihatan Wanita Yang Optimum

Wanita yang kembali hamil sebelum tempoh 18 bulan akan mengalami bebanan untuk menghasilkan sel darah merah.

Sel darah merah ini adalah penting sebagai sumber folate kepada bayi. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan masalah anemia kepada ibu.

Wanita yang menjarakkan kehamilan terlalu lama pula biasanya lebih berumur.

Maka, secara semulajadinya mereka mempunyai tekanan darah yang lebih tinggi dan risiko penyakit lain seperti masalah buah pinggang atau kencing manis.

nak cepat hamil

Foto Kredit: difundir.org

 

3. Kurang Risiko Meroyan (Postpartum Depression)

1 daripada 5 orang wanita didiagnosis sebagai penghidap postpartum depression yang serius.

Di Malaysia, masalah gangguan emosi selepas melahirkan bayi ini digelar ‘meroyan’.

Gangguan emosi ringan pula boleh terjadi kepada 85% kelahiran di mana mereka menunjukkan tanda-tanda mudah menangis, mudah melenting, risau tak tentu pasal, dan cepat gemuruh, lebih-lebih lagi apabila mendengar tangisan bayi.

Kehamilan dan kelahiran bukanlah suatu proses yang mudah, terutamanya bagi mereka yang belum bersedia untuk menimang cahaya mata.

Oleh itu, suami memainkan peranan penting dalam membantu ibu melalui detik-detik ini.

menjarakkan kehamilan

Foto Kredit: popsugar.com

4. Kecukupan Emosi Anak Sulung Atau Yang Sebelumnya

Dalam kegembiraan menimang cahaya mata baru, kadangkala ibu bapa terlepas pandang akan situasi anak sulungnya.

Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun, si abang atau kakak mungkin akan berasa kurang bersedia untuk menerima kehadiran seorang lagi bayi. Mereka mudah cemburu, inginkan perhatian, lalu menyebabkan mereka membuat ‘perangai’.

Ibu bapa juga mungkin akan keletihan apabila mempunyai 2 orang cahaya mata yang kecil untuk diberi perhatian sepenuhnya, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya bekerja.

Walaupun perkara ini masih boleh berlaku jika kehamilan dijarakkan lebih jauh, namun anda masih boleh menjelaskan, memujuk mereka dan memberi peluang untuk mereka menyentuh atau menjaga bayi.

Rasa tanggungjawab ini akan menjadikan mereka sayang terhadap bayi yang bakal lahir.

menjarakkan kehamilan

Foto Kredit: takeabreak.co.uk

5. Penyusuan Badan Selama 2 Tahun Penuh

Sepanjang tempoh 2 tahun, nutrisi dalam susu ibu akan berubah mengikut perkembangan bayi.

Selepas tempoh 2 tahun, bayi telahpun mencukupkan nutrisinya melalui pemberian susu ibu. Tempoh ‘bercerai susu’ akan memberi pengalaman baru untuk si anak menjadi lebih ‘dewasa’ dan memahami tindakan ibu bapa.

Ini juga tanda persediaan bahawa si anak tersebut boleh menerima kehadiran orang baru dalam keluarga.

Penyusuan susu ibu secara eksklusif

Foto Kredit: popsugar.com

Menjarakkan Kehamilan Dari Sudut Pandangan Islam

Seperti kata Ustazah Maznah Daud dari JAKIM, bilangan anak yang ramai merupakan sebahagian daripada nikmat Allah kepada hambanya.

Namun, usaha menjarakkan anak untuk memberi tumpuan kepada penjagaan dan didikannya adalah harus, seperti yang ditetapkan dalam Fatwa Kebangsaan Malaysia.

Apapun, ianya tidak boleh diamalkan tanpa pengetahuan suami atau atas alasan risau kecukupan rezeki.

Tetapi, janganlah kita sanggup untuk menggugurkan kandungan jika sudah ditakdirkan menerima berita kehamilan, seperti firman Allah dalam surah Al-Isra, ayat 31:

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah kesalahan yang besar.”

Menjarakkan Kehamilan Dengan Bijak

Kesimpulannya, kita perlu meningkatkan pengetahuan dalam soal merancang keluarga dan juga bersedia menerima kehamilan dengan hati terbuka. Persediaan ibu bapa ini mampu menjadikan proses kehamilan dan kelahiran lebih lancar dan tenang.

 

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×