Asuh

5 Tips Mengajar Bayi Anda Tidur Sendiri Tanpa Didodoi

26.9K
SHARES
bayi-tidur-sendiri

“Bila agaknya anak aku ni boleh tidur sendiri ya? Kalau tak didodoi, tak boleh tidur dia…”

Melihat bayi yang semakin membesar kadang kala membuatkan kita terfikir adakah anak kita ini sudah bersedia untuk tidur sendiri? Bilakah masa yang sesuai untuk bayi kita belajar tidur sendiri tanpa bantuan kita?

Foto Kredit : chicco.pt

Bolehkah Bayi Diajar Tidur Sendiri?

Ya, hampir kesemua bayi terutamanya yang baru lahir memerlukan bantuan untuk tidur dan tidak tidur di katil bayi sepanjang malam.

Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, kita boleh mengajar bayi tidur sendiri tanpa mendodoi mereka serta tidak membuatkan mereka menangis tatkala perlu tidur sendiri.

Apabila mereka sudah tahu cara untuk tidur sendiri, mereka mampu untuk tidur tanpa bantuan kita sekiranya terjaga pada waktu malam.

5 Cara Ajar Bayi Tidur Sendiri Tanpa Didodoi

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita sebagai ibu bapa untuk membentuk tabiat tidur yang baik dengan mempraktikkan cara ajar bayi tidur sendiri tanpa bantuan kita. Ianya bukan semudah yang disangka dan mungkin memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Apa kata kita cuba praktikkan 5 cara ajar bayi tidur sendiri tanpa didodoi, tanpa ditepuk dan tanpa menggunakan buaian.

1. Lakukan Rutin Yang Sama Setiap Hari

Rutin tidur kebanyakan bayi adalah tidak menentu di mana mereka mungkin tidur dalam jangka masa yang lama pada waktu siang dan bermain pada waktu malam. Menurut John Herman, Pengarah Klinikal Sleep Disorder Center di Children’s Medical Center of Dallas berkata, bayi boleh diajar tentang perbezaan siang dan malam.

Kejut bayi bangun awal pada waktu yang sama setiap pagi. Katil bayi boleh diletak hampir dengan tingkap dan selak langsir bagi membolehkan cahaya memasuki ruang. Cahaya natural ini boleh membantu bayi menguruskan ritma tidur mereka. Sekiranya mereka terjaga pada waktu siang dengan adanya cahaya matahari yang terang, mereka tahu ianya waktu untuk bangun daripada tidur. Manakala, jika mereka terjaga pada waktu malam yang gelap, mereka akan belajar untuk tidur semula.

Menurut Claire Lerner, Pakar Perkembangan Kanak-Kanak di Zero To Three : The National Center for Infants, Toddlers and Families, Washington, pada waktu malam, jadikan beberapa perkara sebagai rutin harian menandakan sudah tiba waktu untuk tidur. Ianya termasuklah memakaikan baju tidur kepada bayi, meletakkan bayi di katil, membacakan buku cerita atau menyanyi sebelum tidur bagi membuatkan bayi berasa lebih tenang untuk tidur tanpa didodoi.

Foto Kredit : tesco-baby.ie

Foto Kredit : tesco-baby.ie

2. Bawa Bayi Keluar Pada Waktu Siang

Pada waktu pagi atau petang, apabila keadaan cuaca adalah baik, bawa bayi keluar bersiar-siar atau bermain di luar rumah. Ini kerana, bukan sahaja kita, malah bayi juga akan tidur dengan lena apabila dapat menikmati udara segar dan membuat aktiviti luar di bawah cahaya matahari.

Usah terperap sahaja di dalam rumah pada waktu siang. Dengan mendedahkan mereka kepada suasana di luar pada siang hari, ianya akan membuatkan bayi lebih mudah untuk tidur pada waktu malam dan tidak perlu didodoi.

cara ajar bayi tidur sendiri

Foto Kredit : bluntmoms.com

3. Bezakan Waktu Siang Dan Malam

Menurut Robert Ballard, Pengarah Sleep Health Center di National Jewish Medical Center, Denver, sekiranya bayi masih menyusu, lakukan isyarat tertentu bagi membezakan penyusuan pada waktu siang dan malam.

Pada waktu siang, ibu boleh menyanyikan lagu yang rancak untuk bayi atau bergurau senda dengan menggeletek tapak kaki bayi dan sebagainya. Suasana menyusu pada waktu malam pula seharusnya lebih tenang, dengan lampu malap serta elakkan sebarang perkara yang boleh mendorong bayi untuk terus aktif pada waktu tidur. Dengan cara ini, bayi pasti dapat membezakan waktu siang dan malam sekaligus bayi tidak perlu didodoi untuk tidur.

cara ajar bayi tidur sendiri

Foto Kredit : livescience.com

4. Biarkan Bayi Separa Sedar

Bayi sememangnya berasa sangat selamat dan selesa tidur dalam pelukan kita. Tidak salah jika kita menidurkan mereka dengan cara sebegini pada awalnya. Namun apabila mereka sudah mula terlena, kita boleh meletakkan bayi di katil dan buat sedikit gerakan yang akan membuatkan bayi terjaga separa sedar.

Pasti kita akan berasa tidak sepatutnya kita lakukan sebegini kerana kita sudah mengambil masa yang cukup lama untuk menidurkannya! Tidak mengapa. Ini merupakan proses mengajar bayi bahawa mereka masih selamat untuk tidur semula walaupun mereka tidak berada dalam dakapan kita. Jika mereka tetap terjaga dan menangis, tenangkan mereka kembali.

Mungkin setelah berpuluh-puluh cubaan, barulah bayi dapat membina keyakinan untuk tidur sendiri apabila diletakkan di katil. Sekiranya mereka terjaga pada waktu malam, tidak mustahil mereka akan terkejut. Tetapi memandangkan mereka telah belajar bahawa mereka selamat walaupun tidak dipeluk dan didodoi, bayi akan mula melelapkan mata kembali untuk tidur semula.

Foto Kredit : newhealthadvisor.com

5. Sentuhan Semasa Bayi Mula Tidur

Apabila bayi yang sedang tidur telah berjaya diletakkan di katil, usah bergegas tinggalkan bayi. Dalam keadaan bayi terjaga separa sedar sewaktu kita meletakkan mereka ini, beri sentuhan sama ada di tangan atau di kepalanya agar bayi dapat merasakan kehadiran kita di sisinya. Apabila bayi sudah terlena semula, barulah kita beredar.

Biasakan bayi dengan rutin sebegini. Lama kelamaan, bayi boleh tidur sendiri walaupun kita tidak menyentuh mereka dan akhirnya kita tidak perlu lagi mendodoi mereka untuk tidur!

Foto Kredit : livestrong.com

Latih Secara Konsisten

Melatih dan mempraktikkan cara ajar bayi tidur sendiri mungkin agak sukar pada mulanya. Ianya memerlukan kesabaran yang tinggi dalam diri.

Namun, percayalah bahawa bayi akan belajar dan dapat membiasakan diri mereka untuk tidur sendiri kelak apabila kita melatih mereka secara konsisten.

Memandangkan ianya bukan proses yang mengambil masa sehari dua, kita sudah boleh mula mengajar bayi tidur sendiri tanpa didodoi. Jika tidak, persoalan ‘sampai bila anda perlu mendodoi bayi untuk tidur’ akan sentiasa bermain di minda.

Ayuh, mulakan hari ini juga supaya tidak lama lagi bayi mampu untuk tidur sendiri tanpa dodoian kita!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×