Kebanyakan orang pernah mengalami bibir menggelupas sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bibir menggelupas beri kesakitan selain menurunkan keyakinan diri seseorang dengan imejnya. Malah, bibir menggelupas lebih teruk jika ia terlalu kering disebabkan faktor cuaca panas yang melampau di Malaysia.
Bibir menggelupas ini juga membuatkan seseorang tidak selesa dengan tekstur di bahagian itu. Situasi ini membuatkan aktiviti harian terganggu menyebabkan kurang produktiviti. Apa kata ikuti tips penulis berkaitan cara mengatasi bibir menggelupas.
Baca juga: 6 Rahsia Merahkan Bibir Yang Gelap Dan Kusam Dalam Satu Minggu
CARA ATASI BIBIR MENGGELUPAS
1. KAWAL PENGAMBILAN MAKANAN PEDAS DAN ASAM
Bagi yang mempunyai bibir menggelupas, elakkan mengambil makanan yang mempunyai rasa pedas dan asam berlebihan kerana dapat menimbulkan iritasi pada bibir anda. Kawal pemakanan anda supaya dapat mempercepat proses penyembuhan bibir menggelupas.
2. JANGAN JILAT BIBIR
Perasan tak kebanyakan orang sering menjilat bibir apabila mendapatinya kering dengan tujuan membasahkannya? Sebenarnya, tindakan menjilat bibir adalah tidak benar dan perlu dihentikan!
Untuk pengetahuan anda, menjilat bibir hanya akan menerukkan keadaan bibir kering. Ini kerana penyejatan air liur yang pantas boleh menyebabkan bibir mengalami keadaan yang lebih kering berbanding sebelum anda menjilatnya.
Tambahan, jika anda kerap menjilat bibir disebabkan oleh pemakaian lip balm yang mempunyai rasa, maka perlulah dihentikan penggunaan produk tersebut.
3. LIDAH BUAYA
Kalau nak tahu, lidah buaya mengandungi pelbagai kegunaan dalam industri kecantikan. Ini kerana sifat anti-inflamasi dan kesan menenangkannya menjadikannya piihan baik untuk merawat bibir menggelupas.
Untuk mendapatkan kegunaannya, potong daun lidah buaya dari tumbuhan dan hirisnya terbuka agar anda boleh mengekstrak gel. Kemudian, cuci bersih, simpan dalam bekas dan sapukan gel pada bibir menggunakan jari mengikut keperluan.
Tapi peringatan untuk anda, walaupun ia bagus untuk mengatasi bibir kering dan pecah-pecah, ia juga memiliki sifat pengelupasan yang ringan. Oleh itu, sebaiknya hadkan penggunaan lidah buaya ini kepada 2 atau 3 kali sahaja sehari.
4. JANGAN TARIK KULIT BIBIR
Kadangkala apabila tangan ini mendapati bibir menggelupas pasti secara automatik kita akan menarik kulit bibir kan? Tapi tahukah anda tindakan menarik kulit bibir hanya akan membuatkannya berdarah dan seterusnya menerukkan kondisi bibir.
Ini kerana, bibir akan mengalami luka atau iritasi dan kesannya ia akan semakin menggelupas dengan lebih teruk. Jadi lepas ini cuba tahan diri dari tarik kulit bibir itu!
5. JANGAN LAKUKAN EKSFOLIASI
Menurut pakar, anda tidak digalakkan melakukan eksfoliasi ketika bibir menggelupas. Ini kerana tindakan eksfoliasi bibir yang kering dan menggelupas hanya akan membuatkan keadaan bibir menjadi lebih teruk.
Manusia tidak mempunyai pori-pori di bibir maka anda tidak perlu melakukan eksfoliasi di bahagian tersebut. Sebaiknya, hanya pakai pelembab bibir yang lebih berguna untuk menangani bibir menggelupas.
6. PAKAI LIP BALM
Langkah ini adalah paling asas tatkala mengalami bibir menggelupas. Jangan lupa untuk mengaplikasikan pemakaian lip balm setiap hari.
Penting untuk anda menggunakan lip balm yang mengandungi bahan-bahan berfungsi menyembuhkan bibir menggelupas, bebas pewangi dan juga telah diuji hipoalergik.
Elakkan produk yang mengandungi bahan berikut kerana akan membuatkan bibir menggelupas lebih teruk:
- Perasa seperti mint, peppermint, kayu manis kerana sangat mengiritasi bibir kering
- Lanolin
- Pewangi tambahan
- Oktinoksat atau oksibenzon
- Menthol
- Fenol (atau fenil)
- Asam salisilat
- Prophyl gallate
7. MINYAK KELAPA
Minyak kelapa merupakan emolien yang mampu melembapkan kulit dan juga menangani keadaan bibir menggelupas. Menurut kajian, minyak kelapa juga berupaya melindungi kulit dengan meningkatkan fungsi pelindungnya.
Malah, sifat antiradang dan antibakteria daripada minyak kelapa boleh membantu bibir kering yang menggelupas.
Caranya adalah sapukan minyak kelapa pada bibir menggelupas mengikut keperluan harian menggunakan kapas atau jari bersih.
8. JAGA PARAS HIDRAT BIBIR
Untuk mengekalkan kelembapan pada bibir, cara terbaik adalah minum air dengan kuantiti yang banyak untuk membantu bahagian tubuh itu kekal hidrat.
Malah, jika perlu, anda juga boleh menggunakan humidifier di dalam bilik untuk mengekalkan kelembapan. Bukan sahaja kesihatan bibir terjamin, malah ia turut mengekalkan hidrasi untuk kesihatan kulit dan juga mata!
Jadi jika mengalami bibir menggelupas, amalkan tips di atas supaya dapat menyembuhkan kondisi bibir anda. Semoga Bermanfaat!
Sumber: Orami