Famili

Bawa Anak Kenal Dunia Dengan 7 Tips Percutian Ala ‘Bagpacker’

262
SHARES
bawa anak bercuti

“Murahnya pakej ‘bagpacking’ ini. Kalaulah aku bujang dulu ada pakej-pakej begini, mesti dah habis satu benua juga aku jelajah. Tapi, sekarang dah ada anak, takkan nak bawa anak bercuti cara ‘bagpacker’ juga. Kasihan anak-anak.”

Kalau sebut tentang ‘bagpacker’ atau ‘bagpacking’, macam tak serasi pula dengan keluarga. Yalah, bukankah cara ‘bagpacker’ ini berkonsepkan ‘light’, jimat, lasak, memenatkan. Maka, sebab itulah ia lebih sinonim dengan orang bujang.

bawa anak bercuti

Kalau tengok budaya Barat, mereka memang rajin bawa anak ‘travel’ sejak kecil. / Foto Kredit: untrainedhousewife.com

Bawa Anak Bercuti Ala ‘Bagpacker’. Kenapa Tidak?

Sebab utama tentulah kerana kosnya yang rendah. Sebenarnya, beginilah juga cara kebanyakan orang dapat menjelajah setiap pelusuk dunia. Tetapi, ramai pasangan rasa kurang bersemangat untuk kembali mengembara selepas berkahwin dan mempunyai anak.

Kalau dahulu, ‘travel’ seorang atau dengan kawan-kawan bolehlah buat keputusan dengan mudah. Tetapi, kini menggalas lebih tanggungjawab. Akhirnya, dikuburkan saja rancangan untuk mengembara dunia pada zaman muda-mudi dahulu.

Sudah ramai ibu bapa yang telah menjejakkan kaki ke negara lain membawa anak-anak secara ‘bagpacking’. Lebih-lebih lagi pasangan-pasangan ‘Mat Saleh’ yang memang ‘kaki travel’. Bagi sesetengah keluarga, ‘travel’ juga telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka.

6 Tips Bawa Anak Bercuti Ala ‘Bagpacker’. Walaupun Penat, Tapi Serius Berbaloi!

Ini antara tips berguna untuk anda praktikkan untuk anda bawa anak bercuti dengan stail ala ‘bagpacker’. 

1. Paling penting – PERANCANGAN!

Kalau nak bercuti dengan cara ini, memang banyak kena buat ‘research’, tak ubah macam anda ‘bagpacking’ zaman bujang dahulu.

Tempat penginapan – Ada banyak pilihan untuk anda menginap, sama ada melalui TripAdvisor, AirBnb, atau mungkin melalui kenalan rapat. Tiada masalah kalau menginap di hostel untuk mendapatkan harga yang murah. Tapi, seeloknya carilah bilik yang mempunyai bilik air sendiri.

Penerbangan – Ada yang takut nak bawa bayi naik kapal terbang. Sebenarnya, rugilah tak bawa bayi ‘travel’ naik kapal terbang kerana harga ‘seat’ mereka sangat murah. Sewaktu bayi juga anda kurang keperluan untuk membawa pelbagai peralatan seperti makanan dan permainan mereka. Kalau perjalanan jauh, boleh minta ‘bassinet’ semasa menempah tiket.

Pergi dengan pakej – Pakej ‘bagpacking’ kini banyak ditawarkan, sesuai dengan permintaan ramai. Berbeza dengan pakej biasa, pakej seperti ini biasanya tidak mempunyai bas pelancongan atau van persendirian untuk anda pada setiap masa. Jadi, kenalah banyak berjalan kaki. Oleh itu, cuba dapatkan maklumat hostel dan ketahui selok-belok kawasan tersebut supaya anda lebih bersedia dengan anak kecil.

Foto Kredit: datingdivas.com

Rancang perjalanan anda. / Foto Kredit: datingdivas.com

2. ‘Go Local’-lah!

Oh ya, kadang-kadang rasa susah nak bawa anak bercuti kalau asyik menunggu promosi tiket penerbangan yang tak kunjung tiba.

Apa kata ‘explore’ dalam negara sendiri? Buat ‘road trip’ dengan anak-anak tentu seronok. Sekarang ini lebuhraya pun selesa untuk berhenti makan dan mandi. Dah ada kemudahan serba cukup, gunakanlah sebaiknya.

Kalau malas memandu, bas kini sudah ada pilihan yang cukup selesa. Siap boleh makan, tidur, menonton, dan ada tandas.

bawa anak bercuti

Dalam negara pun ada banyak tempat menarik untuk dikunjungi, jangan takut bawa anak kecil.

3. Panjangkan Langkah

Oh ya, kalau rasa nak ‘cross border’ juga, bolehlah menaiki bas Causeway yang terus ke Singapura. ‘Stail’ juga kalau bermalam di Johor Bahru dan luangkan harinya di Pulau Sentosa atau Universal Studio. Dapat tukar angin, jimat pun jimat!

Tak kurang menarik, cubalah naik kereta api. Seronok tau!

Dengan kereta api, anda juga boleh ke negara jiran Thailand. Lagi ‘best’, teruskan perjalanan dengan menaiki minivan dan bot hingga ke Krabi atau Phuket! Disarankan memilih ruang berkatil dalam tren supaya anak-anak dapat tidur lena sambil menikmati pemandangan di tepi tingkap.

Bagi yang di Sarawak pula, jangan lepaskan peluang memanjangkan langkah anda ke Brunei. Ianya tak seleceh yang anda sangkakan. Tapi, kenalah sediakan pasport, ya!

bawa anak travel

Foto Kredit: goerie.com

4. Mesti Berhenti Untuk Makan

Ini antara perbezaan kalau keluar dengan anak-anak. Masa makan, mesti makan. Alas perut pun jadilah. Dunia tunggang terbalik macamana pun, mesti berhenti makan walaupun mereka kata belum lapar.

Kalau tak, memang anak-anak mudah meragam. Lagi susah dibuatnya. Habis rancangan berjalan-jalan apabila seorang demi seorang buat hal. Kalau takut tak sempat ke destinasi, pastikan bawa bekalan yang sihat dan mengenyangkan seperti roti, ‘energy bar’, atau buah-buahan.

Anak kecil juga lebih senang sakit kalau masa makan mereka mula bertukar. Manisan atau makanan rapu perlu dihadkan kerana takut mereka mengalami gangguan kesihatan sepanjang perjalanan.

Kalau anak masih menyusu badan, pastikan anda mengambil peluang menyusukan mereka semasa dalam pengangkutan awam atau semasa makan di restoran. Lebih senang berbanding susu perahan yang perlu dipanaskan.

bawa anak bercuti

Selain biskut, bawalah sedikit buah-buahan kering yang mudah dipek. / Foto Kredit: yumboxlunch.com

5. Sesuaikan Aktiviti

Sebenarnya, kalau anak masih bayi, anda punya lebih kelonggaran untuk memilih tempat berjalan-jalan dengan pasangan. Tapi, pastikan tempat itu selesa dan tidak terlalu sesak.

Tapi, jika ada anak yang berusia 3 tahun ke atas, pastikan setiap hari ada aktiviti khas untuk mereka. Contohnya berkunjung ke taman tema, zoo, atau ‘toy museum’. Kalau nak murah, ke taman bunga atau berkelah di tepi pantai pun boleh. Kanak-kanak lebih suka aktiviti santai begini.

Sekiranya anda mengikuti pakej bersama rombongan dengan jadual yang agak padat, tidak ada salahnya anda meninggalkan 1-2 slot lawatan untuk berehat di hostel bersama anak-anak.

bawa anak bercuti

Kalau anak letih berjalan, biarlah mereka tidur lebih sedikit. Kalau meragam nanti, lagi susah.

6. Main Salji Memang Seronok, Tapi…

Oh ya, selalunya ramai yang teruja nak main salji, kan? Antara negara 4 musim yang paling murah dan dekat ialah China dan Korea.

Tapi, dalam keghairahan itu, anda perlu memastikan suhunya tidak terlalu sejuk sampai susah untuk berjalan! Saljinya pun bukanlah turun selalu, ikut nasiblah.

Sebenarnya, kalau anda berhasrat ke negara 4 musim, musim  bunga atau musim luruh adalah lebih baik. Pemandangan pun indah.

Mengikut pengalaman sendiri semasa bawa anak ke Beijing sewaktu musim sejuk, amat leceh memakaikan anak kecil dengan pakaian ‘winter’. Bila dah ‘kembung’ dengan baju sejuk, susah pula nak digendong dengan ‘baby carrier’. Pening… Pening…

Anak kecil juga biasanya tak tahan sejuk. Jadi, sediakanlah ‘beg panas’ kalau anda merancang bawa anak merasa musim sejuk.

bawa anak bercuti

Foto Kredit: docgerrytan.com

7. ‘Stroller’ Atau ‘Baby Carrier’

Ini antara barang wajib yang perlu anda bawa, tak kiralah ke mana-mana. Dapat bawa salah satu pun bagus. Kalau anak masih kecil, digalakkan bawa ‘baby carrier’. Ini kerana ada sesetengah tempat yang menyediakan ‘stroller’ untuk anda sewa.

Lagipun, susah juga nak bawa ‘stroller’ jika anda berhasrat untuk berkunjung ke kawasan yang sesak atau bertangga, kawasan ‘outdoor’, atau tempat yang tidak mempunyai laluan tanah rata.

bawa anak bercuti

Anak Gembira, Ibu Bapa Lagi Gembira!

Kalau nak bercuti sekeluarga memang berbelanja besar, tapi dengan mempraktikkan percutian ala ‘bagpacker’ ini anda dapat berjimat dan pergi lebih jauh.

Memang banyak manfaat bawa anak bercuti dan ‘travel’ begini kerana anda dan anak-anak akan belajar banyak perkara sepanjang pengembaraan. Jangan sebab ada bayi atau anak kecil, langkah anda jadi terbatas.

Bukan itu saja, pengembaraan begini juga akan membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan, serta memberi memori yang amat unik.

Jadi, tunggu apa lagi. Cepatlah cari peta dan rancangkan percutian ala ‘bagpacker’ anda bersama keluarga. Kalau risau nak pergi jauh, mulakan perjalanan dalam negara dulu. Bila dah dapat rentak, ke Iceland pun tak ada masalah!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×