Asuh

8 Tips Menyusu Di Tempat Awam. Macamana Nak ‘Cover’?

144
SHARES
Menyusu di tempat awam

“Ish… Malulah nak menyusu di tempat awam… Tapi, kalau nak guna botol susu leceh pula nak panaskan susu. Anak dah mula meraung. Macamana ni?”

Bagi ibu-ibu yang sudah berpengalaman, tentunya ini bukanlah perkara yang pelik. Tapi, cuba ingatkan kembali sewaktu pertama kali anda cuba menyusu bayi di tempat awam. Mesti sedikit sebanyak perasaan gementar, malu, dan takut itu ada kan?

Petua Nipple Crack

Pertama kali cuba menyusu di tempat awam bukanlah sesuatu yang mudah. / Foto Kredit: themominmemd.com

Normal Atau Pelik?

Ini adalah perkara normal dan akan dilalui oleh semua wanita. Walaupun masyarakat kita sudah semakin terbuka sekarang, namun kita masih lagi berasa ragu dengan penerimaan mereka.

Lagi satu, kita juga takut sekiranya bayi mula meragam dan menarik perhatian orang ramai. Elok-elok orang tak perasan, habis satu ‘mall’ dah pandang!

Jadi, kami ingin berkongsi sedikit tips yang praktikal untuk anda yang bakal dan bercadang menyusu badan di tempat awam. Tips ini merupakan pengalaman sendiri, dan diselitkan juga beberapa tips popular yang dikongsikan oleh ibu-ibu lain di dunia maya.

9 Tips Menyusu Di Tempat Awam

1. Cari Pakaian Yang Sesuai

Percaya atau tidak, apabila anda mula menyusu badan, hampir kebanyakan daripada pakaian yang anda biasa pakai mula menjadi tidak selesa. Bagi saya, hampir 50% daripada pakaian di dalam almari sudah tidak relevan!

Tapi, jika anda memang jenis yang suka pakaian berbutang atau berzip di depan, tahniah! Pakaian seperti ini amat sesuai dipakai selama menyusukan bayi.

Pakaian khas untuk menyusu memang agak mahal harganya. Namun, tidak salah untuk anda memilikinya. Dapatkan warna yang mudah dipadan dengan bermacam-macam warna kerana anda akan menggunakannya berkali-kali.

Psssttt…. Sebagai alternatif, anda juga boleh membeli ‘cardigan’ labuh yang amat sesuai dipakai dalam banyak keadaan.

menyusu di tempat awam

Cardigan begini memang sangat sesuai dan praktikal, boleh digunakan juga apabila tidak menyusu nanti. /Foto Kredit: flickriver.com

2. Jangan Tunggu Bayi Terlalu Lapar

Kadang-kadang kita tengah syok ‘shopping’, sampai tak perasan sudah melewati waktu menyusu bayi. Kalau anda perasan bayi sudah mula resah, cepat-cepatlah cari tempat yang sesuai untuk menyusu.

3. Gunakan Penggendong Bayi

Sebenarnya penggendong bayi ini amat serasi dengan saya. Semasa bayi kecil, saya amat suka menggunakan penggendong jenis ‘ring sling’ kerana mudah untuk menyusu di tempat awam. Tidak perlu dibalut, tidak tali, atau apa saja yang menyusahkan pergerakan.

Menyusu di tempat awam 2

Antara jenis penggendong bayi yang terdapat di pasaran. / Foto Kredit: thenaturalbabyco.com

Namun, apabila bayi semakin besar, saya terpaksa beralih kepada penggendong jenis beg seperti Boba atau Ergo. Bagi saya, ia memerlukan sedikit praktis. Apapun, ternyata ia sangat berbaloi kerana kebanyakan penggendong bayi memang mesra menyusu!

4. Hadang Dengan ‘Stroller’ (Atau Suami)

Bagi yang membawa ‘stroller’, anda punyai kelebihan untuk memilih tempat menyusu yang sesuai kerana sentiasa ada ‘penghadang bergerak’ bersama.

Kalau tak ada pun, sebenarnya anda boleh manfaatkan suami masing-masing sebagai ‘penghadang’ sementara anda menyusukan bayi. Kejap je, tak salah kan?

5. Menyorok Sedikit Masa Bayi Mula Menyusu

Detik yang paling sukar dan mencabar bagi ibu baru ialah memastikan bayi mendapatkan lekapan yang elok di puting susu.

Begitu juga halnya semasa menyusu di tempat awam, anda perlu bersedia untuk memastikan bayi dapat melekap dengan betul pada awalnya. Mungkin anda boleh pusing sedikit, tutup dengan tudung atau kain semasa bayi mula menyusu.

Lama-kelamaan, anda akan terbiasa dan tiada masalah lagi.

6. ‘Nursing Cover’

Mungkin ramai juga mempertimbangkan untuk membeli ‘nursing cover’ supaya dapat menyusu di tempat awam dengan lebih yakin.

menyusu di tempat awam

‘Nursing cover’ memang cantik, tetapi ada yang tidak selesa kerana ia nampak begitu menonjol di tempat awam. / Foto Kredit: summerglitz.com.my

Sekarang, telah banyak variasi ‘nursing cover’ seperti ‘nursing scarves’ yang dijual di pasaran.

Menyusu di tempat awam

‘Nursing scarves’ adalah antara contoh variasi yang terdapat di pasaran. Nak DIY pun boleh! /  Foto Kredit: momtrends.com

Meskipun begitu, ramai juga ibu-ibu yang tidak selesa menggunakannya kerana anda akan nampak lebih menonjol. Maka, terserahlah kepada keselesaan anda!

7. Kalau Orang Pandang, Buat Tak Tahu Je…

Jika bayi sudah mula meraung, anda akan mula berasa tidak selesa untuk menyusu di tempat awam. Tetapi, kalau ia sudah terjadi, anda harus bertenang. Pandang bayi anda sebagai salah satu cara melupakan sebarang kesangsian.

Tidak perlu terlalu risau akan pandangan orang ramai. Yang penting, kita bukanlah menunjuk-nunjuk, bukan?

8. Boleh Bawa Bekal

Apabila bayi anda sudah mencapai usia 6 bulan, anda boleh mula membawa ‘finger food’ untuk diberikan kepadanya sementara dapat menjumpai tempat menyusu yang sesuai.

Makanan seperti buah-buahan yang dipotong amat digalakkan tetapi ia agak leceh untuk dibawa selalu. Salah satu pilihan yang sihat ialah biskut jejari yang tidak bergula.

Menyusu di tempat awam

Foto Kredit: popsugar.com

Menyusu Di Tempat Awam Adalah Hak Semua Wanita

Anda tidak perlu berasa ragu untuk memulakan penyusuan di tempat awam kerana ia sememangnya hak setiap wanita. Anda bukanlah melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

Malah, anda patut berasa bangga kerana anda memilih untuk melakukan sedemikian demi anak anda.

Walaubagaimanapun, janganlah pula berlebih-lebihan seperti ‘selfie’ ketika menyusu di tempat awam. Bukankah ianya akan mendatangkan perhatian yang tidak sepatutnya?

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×