“Aduh, lecehlah nak bawa anak ‘travel’, bawa pergi ‘shopping mall’ jelah. Nanti nak kena uruskan makan diorang, kena bawa baju lebih, mainan lagi, duit pun kena lebih… Tapi, kalau fikir-fikir semula, mungkin bagus juga kalau ada pengalaman ‘travel’ dengan mereka.”
Haa… Kalau ‘travel’ dengan anak-anak, macam-macam yang kita fikirkan. Takut demam lah, takut mereka tak selesa, buat bising dalam kereta atau kapal terbang, nak terkencing tengah jalan, pening kepala dibuatnya!
Walau apa pun, anda perlu tahu sebenarnya besar manfaatnya bawa anak mengembara, bercuti, atau ‘travel’, tak kiralah dalam negara atau luar negara!
8 Kesan Positif Bawa Anak ‘Travel’ Yang Ramai Tak Tahu
Ini antara kelebihan anak-anak yang biasa ikut ibu bapa mereka ‘travel’
1. Fikiran lebih terbuka
Kalau anak-anak asyik menjalani rutin, tentulah mereka akan sukar menerima sebarang perubahan. Tapi, anak akan menjadi lebih berpengetahuan terutamanya dari segi geografi, budaya, dan ekonomi walaupun ia berada di luar ruang lingkup mereka.
Kalau lihat dari segi Islam juga, memang kita dianjurkan untuk bermusafir, seperti disebut dalam ayat 15 Surah Al-Mulk maksudnya:
“Dialah menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi. Maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.”
Pengalaman ‘travel’ ini memang takkan dapat diperolehi di mana-mana, bahkan ia dapat mempengaruhi pemikiran anak-anak secara positif.
2. Tiada internet, tiada masalah!
Anak-anak zaman sekarang, kalau tak ada internet mulalah mengeluh. Tapi lain pula dengan mereka yang dah biasa bawa anak melancong atau mengembara.
Kalau ibu bapa cukup prihatin, mereka akan mengambil peluang ini sebaiknya untuk berbual, bermain, dan mengisi masa dengan anak tanpa memerlukan sebarang gajet.
3. Menghormati dan mengetahui sensitiviti budaya lain
Jiwa anak-anak yang suci dan bersih tidak akan mudah terpalit degan sentimen negatif seperti ‘racism’ dan seumpamanya. Kalau di sekolah terhad kepada satu atau dua bangsa saja, di luar mereka lebih terdedah dengan pelbagai budaya yang berbeza.
Anak-anak juga lebih mahir berkomunikasi dengan orang lain apabila dibiasakan mengunjungi tempat awam seperti stesen bas, lapangan terbang, dan sebagainya.
4. Lebih lasak
Contohnya, jika dibandingkan dengan anak-anak yang selalu ‘travel’, tentu dapat lihat mereka ini biasanya boleh makan apa saja, tak memilih. Baju pun, ala kadar cukuplah, asalkan tak terdedah. Lain-lain tu, pandai-pandai lah mereka uruskan sendiri.
Pengalaman ‘travel’ yang begini memang lucu dan kadangkala boleh buat ibu bapa tertekan, tapi setidak-tidaknya anak-anak dapat belajar membawa diri.
5. Membentuk karakter anak (yang sebenar!)
Biasanya, dalam ‘family trip’ selama seminggu atau lebih, anda akan dapat melihat karakter anak-anak yang jarang dilihat apabila berada di rumah.
Dari sini dapatlah anda lakukan sesuatu dengan ‘perangai’ ataupun bakat anak masing-masing.
6. Lembut hati, mudah bersyukur
Semasa ‘travel’ anda akan dapat melihat pelbagai ragam manusia di seluruh dunia. Segala yang mereka lihat sepanjang perjalanan akan menjadikan anak-anak peka dengan keadaan sekeliling dan lebih bersyukur.
Dalam surah Al-Hajj ayat 46 ada menyebutkan:
“Maka tidak pernahkan mereka berjalan di bumi sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati di dada”
Kalau kita lihat di televisyen tentang kesusahan orang miskin, tentu tidak sama perasaannya apabila ternampak orang susah di tepi jalan yang tiada makanan atau tempat berteduh.
7. Cepat matang
Memang benar, kadang-kadang anak kecil tak dapat ingat semuanya apabila besar nanti.
Tapi, pengalaman tersebut sebenarnya tetap memberi kesan dalam mengajarnya memilih tindakan yang bijak dan membentuk sikap toleransi pada anak tersebut.
8. Makin rapat dengan keluarga
Walaupun anda menghadap anak-anak di rumah 24 jam sehari, percayalah aktiviti luar sebegini mampu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.
Tak percaya? Kena cubalah!
Letih, tapi berbaloi!
Sebaik saja anda melangkah keluar dari rumah, ia memberi anda 1001 cabaran. Bagi anak-anak pula, ianya satu pengembaraan yang penuh keseronokan. Tak semestinya naik kapal terbang. Kalau nak senang boleh naik kereta, ‘train’, atau bas saja. Kalau tak pergi jauh, dekat-dekat pun jadilah!
Kalau di rumah, mana mungkin ada peluang untuk merasa semua ini, bukan? Jadi, apa kata bawa anak anda ikut ‘travel’ bersama supaya mereka dapat memanfaatkan semua pengalaman ini.