Asuh

Anak Meraung Duduk Dalam Car Seat? Ini 8 Tips Mengatasinya

573
reads

“Iman memang akan menjerit macam kena pukul setiap kali duduk dalam car seat. Pujuk lah macam mana pun, Iman akan menangis dari mula memandu sehingga tiba ke destinasi. Memang tak senang duduk kami suami isteri dalam kereta. ”-Ina, 30 tahun.

“Anak pertama dan kedua okay aje bila kami letakkan dalam car seat. Kami ingatkan anak ketiga, Qaseh sama macam abang dan kakaknya. Rupanya dia lain pulak. Setiap kali duduk dalam ‘car seat’, dia mula menangis. Awalnya perlahan sampai lah meraung-raung minta dilepaskan. Pening kepala dengan yang seorang ni.”-Amelia, 36 tahun

Ada yang mengalami masalah yang sama seperti Ina dan Amelia? Anak mula meragam, menjerit dan menangis tatkala diletakkan duduk dalam car seat?

Jadi, apa cara yang boleh buat anak duduk dalam car seat?

1. Tenang, tenang dan tenangkan diri anda

Biasanya memang kita akan rasa stress apabila anak asyik menangis dan meraung dalam kereta. Tambahan pula dengan banyak mata merenung anda di kiri kanan.

Kasihan juga melihatkan anak dalam kereta sudah bengkak mata. Tarik nafas dan fokuskan pada keselamatan anak anda lebih penting. Anda perlu ingat bahawa anda melakukan perkara yang betul dengan meletakkannya dalam car seat. Kawal emosi supaya pemanduan anda tidak terjejas sehingga selamat sampai ke destinasi.

2. Periksa keselesaan anak semasa duduk dalam car seat

Mungkin ada yang tidak kena dengan ‘car seat’. Adakah materialnya mudah panas atau kasar hingga menyebabkan anak tidak selesa. Atau mungkin kedudukannya terdedah dengan pancaran cahaya matahari terik.

3. Dengarkan ayat Al-quran

Amalkan mendengar ayat Al-quran dalam kereta kerana anak akan merasa tenang dan lembut hati. Mungkin awal perjalanan, anak masih meragam namun inshaaAllah lama-kelamaan, pasti anak akan tenang dan berhenti meragam. Bukan anak sahaja, anda sendiri pun akan merasa damai sewaktu memandu.

4. Fikirkan ianya hanya sementara anak membesar

Memang kerenah anak-anak berbeza setiap satunya sewaktu mengalami fasa pembesaran. Dan biasanya anak yang meragam bila duduk dalam car seat ini akan mengalami perubahan apabila semakin membesar. Tak mustahil, nanti dia yang asyik paksa kita drive dia ke mana sahaja!

5. Minta bantuan anak-anak lain untuk memujuk

Anda boleh harapkan anak-anak yang lain untuk membantu menenangkan adik mereka yang meragam. Biasanya kehadiran abang dan kakak di sisi, dapat mengurangkan ketegangan dalam kereta.

6. Bawa permainan atau barang kesukaannya

Apabila anda membawa bersama barang kegemarannya, ia boleh mengalih perhatiannya kepada barang tersebut daripada terus menangis.

7. Letakkan cermin di belakang kereta

Dengan ini anda boleh periksa keadaan anak setiap masa tanpa perlu menoleh ke belakang dengan kerap untuk mengelakkan fokus anda terjejas.

8. Pasangkan pemain DVD

Ini biasanya membantu mengalih perhatian bayi daripada terus menangis dalam kereta. Pasang cerita kegemarannya agar dia leka. Tahu-tahu sudah tiba ke destinasi.

Siapa tak sayang anak?

Sebab itu anda perlu didik anak agar duduk dalam car seat. Ini demi keselamatannya juga jika terjadi apa-apa yang tidak diduga. Apatah lagi mereka berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan teruk memandangkan badan mereka masih lembut.

Biarlah anak menangis sekarang daripada anda yang menangis akibat kecuaian sendiri.

Yang Popular

To Top