Barang Bayi Yang Tidak Perlu Dibeli
Dikurniakan zuriat merupakan satu anugerah yang tidak ternilai buat pasangan yang sudah berkahwin. Setiap pasangan yang bakal menimang cahayamata pasti teruja akan kehadiran bayi mereka. Apatah lagi kepada pasangan yang telah menantikan zuriat selama bertahun-tahun. Sebelum menyambut kedatangan bayi, ibu bapa membuat persiapan kelengkapan untuk orang baru yang bakal muncul dalam hidup mereka. Kelengkapan yang dibeli misalnya, pakaian, barangan mandian, beg, dan set tilam. Tidak lupa juga peralatan seperti katil bayi, kerusi kereta bayi, dan lain-lain. Persoalannya, perlukah peralatan bayi ini?
Ramai pasangan yang tidak pasti sama ada perlu membeli peralatan bayi ataupun tidak. Tinjauan perlu dilakukan sebelum membeli kerana peralatan ini bukan murah harganya. Perancangan yang rapi harus dilakukan sebelum membeli.
Saya pasti, sekarang anda sudah ada senarai barang untuk bayi baru lahir dan keperluan untuk ibu bawa ke hospital. Jika itu sudah ada, mari kita lihat senarai peralatan bayi lain yang boleh dibeli selepas bayi besar. Tidak semestinya kena beli sekarang, kerana boleh tangguh dahulu.
1. Katil bayi (Baby Cot)
Katil bayi terdapat dalam pelbagai bentuk dan jenis. Biasanya katil bayi diperbuat daripada kayu. Rekaan katil bayi dibuat mengikut peringkat umur bayi. Ada juga yang boleh dihayun sedikit. Yang ini biasanya sesua untuk bayi selepas lahir hingga 6 bulan. Katil seperti ini tidak selamat lagi selepas bayi sudah pandai merangkak. Namun, tidak semua pasangan yang bercadang untuk membeli katil bayi kerana mahu bayi tidur di atas katil bersama ibu.
Pendapat : Harganya mahal. Jika ada duit lebih, boleh beli. Jika tidak, tangguh dulu. Jika ingin mengasingkan bayi semasa tidur, bakal ibu disarankan membeli katil bayi yang boleh digunakan sehingga bayi berumur 2 tahun agar lebih jimat.
2. Kerusi kereta bayi (Baby Carseat)
Berdasarkan tinjauan,70% daripada bakal bakal ibu yang membeli kerusi kereta bayi. Ini adalah kerana kebanyakan mereka adalah dari kalangan yang bekerjaya dan perlu menghantar bayi ke pusat jagaan bayi menaiki kereta. Selain untuk kemudahan ibu, kerusi ini juga direka dengan ciri-ciri keselamatan bayi sepanjang perjalanan.
Pendapat : Boleh tangguh dulu, tunggu anak besar. Sebaliknya, ia sangat diperlukan sekiranya ibu bekerja dan perlu menghantar bayi, juga jika selalu melakukan perjalanan jauh.
3. Pengendong bayi (Baby Carrier)
Tidak ramai yang tahu menggunakan penggendong bayi. Ada yang memberi alasan bayi akan tidak selesa berada di dalamnya lalu menangis. Penggendong bayi terdapat dalam pelbagai bentuk bergantung kepada minat dan bajet. Ia juga dibeli mengikut keselesaan orang yang mengendong dan dikendong. Penggendong bayi disangkut di bahu dan boleh dibawa ke mana-mana sama ada di dalam mahupun di luar rumah.
Pendapat : Jika anak kecil lagi, tangguh dulu sehingga badan sudah keras. Digalakkan kepada ibu yang sibuk dengan kerja-kerja di rumah mahupun yang selalu membeli belah atau bersiar-siar.
4. Kerusi goyang bayi (Baby Rocker / Baby Bouncer)
Bayi yang baru lahir tidak digalakkan untuk digoyang atau dihenjut kerana boleh menggegarkan otak dan boleh menyebabkan otak cedera. Walaubagaimanapun, sesetengah ibu merasakan bahawa kerusi goyang ini membantu mereka untuk menidurkan bayi. Pelbagai jenis dan saiz kerusi goyang boleh di dapati di pasaran kini. Ada yang bermuzik, ada yang boleh bergetar, juga mempunyai tilam atau sarung yang bermacam-macam bentuk dan menarik. Kerusi goyang juga boleh digunakan sebagai tempat bayi berehat sambil menonton tv atau makan misalnya dan bermain alat permainan yang bergantungan.
Pendapat : Anak baru lahir, baringkan atas tilam dahulu. Boleh tangguh. Jika anak sudah besar sedikit, ibu disarankan menggunakan kerusi goyang sekiranya tiada katil bayi. Akan tetapi, tidak digalakkan untuk menghenjut atau menggoyangkannya terlalu kuat.
5. Kereta sorong bayi (Stroller/Buggy)
Dalam banyak-banyak peralatan bayi, ni merupakan salah satu antara peralatan bayi yang paling mahal di pasaran. Acapkali ibu akan cari stroller, sebelum bayi lahir ke dunia lagi. Sebenarnya, harga kereta sorong bayi bergantung kepada rekaan dan jenama. Lebih canggih rekaan, lebih tinggilah juga harganya.
Jika mampu, para ibu boleh membeli kereta sorong bayi yang ringan dan mudah dilipat untuk memudahkan pergerakan dan menjimatkan ruang di dalam kereta. Kereta sorong untuk bayi kecil biasanya berbeza rekaannya berbanding kereta sorong bayi berumur satu tahun ke atas.
Pendapat : Ini bergantung kepada kemampuan. Jika anda selalu keluar bersiar-siar dan membeli belah, kereta sorong bakal membantu anda. Namun perlu dipastikan bahawa kereta anda muat untuk menempatkannya.
6. Buaian bayi (Swing Cot/Cradle)
Sesetengah menggunakan buaian untuk menidurkan bayi. Mereka menganggap buaian membantu bayi untuk tidur serta memudahkan mereka apatah lagi jika menggunakan buaian bermesin elektrik. Walaubagaimanapun, di pusat asuhan yang berdaftar, penggunaan buaian bayi tidak dibenarkan kerana terdapat banyak kes kemalangan yang berlaku akibat penggunaan buaian. Antaranya ialah bayi jatuh dari buaian.
Pendapat : Jika boleh, hindari dari menggunakan buaian untuk menidurkan bayi. Gunakan kerusi goyang sekiranya perlu.
7. Kerusi makan bayi (Baby Chair)
Bayi yang sudah boleh makan sama ada disuap atau makan sendiri sudah pasti akan mengotorkan kawasan tempat makan mereka. Kerusi makan bayi bukan sahaja berguna semasa waktu makan, malah boleh membantu untuk menempatkan anak anda sekiranya anda sedang memasak da melakukan kerja-kerja di dapur misalnya. Kerusi bayi boleh digunakan sehingga bayi berusia 2-3 tahun bergantung kepada saiz badan.
Pendapat : Paling tidak, hanya boleh digunakan ketika bayi berusia 1-2 tahun. Jika masih kecil, tangguh dulu. Kerusi bayi sangat membantu para ibu semasa memberi bayi makan agar tidak mengotorkan rumah.
8. Kandang bermain (Playpen)
Bayi yang lasak terutamanya, agak memeningkan kepala si ibu. Maka, sediakanlah kandang bermain untuk mereka untuk mereka bermain di dalamnya. Letakkan permainan yang sesuai dan digemari di dalam kandang bermain anak anda. Selain menghalang si manja dari berkeliaran di dalam rumah, keselamatan bayi juga lebih terjamin. Bayi Ibu boleh melakukan kerja-kerja rumah dengan mudah dan cepat. Harga kandang bermain ini di pasaran adalah dalam lingkungan RM100-300 bergantung kepada rekaan dan jenama.
Pendapat : Boleh beli jika bayi sudah besar sedikit. Bayi yang sedang dalam fasa merangkak sehingga baru belajar berjalan sesuai diletakkan di dalam kandang bermain.
9. ‘Walker‘ Bayi
Bayi yang sudah boleh duduk biasa kita lihat diletakkan ke dalam walker. Walker dipercayai boleh membantu bayi untuk belajar berjalan. Akan tetapi, sekiranya bayi diletakkan di dalam walker terlalu awal, bayi akan cenderung untuk melangkau proses pergerakannya seperti merangkak dan bertatih. Walker juga sering digunakan oleh ibu semasa waktu makan sebagai ganti kerusi bayi. Ia adalah satu idea yang agak bijak. Wlaker boleh didapati di pasaran dalam lingkungan harga RM50 hingga RM300. Pada masa kini, terdapat juga walker 2 dalam 1 di mana ia boleh diubahsuai menjadi kerusi goyang.
Pendapat : Penggunaan walker tidak digalakkan kerana boleh mengundang bahaya kepada bayi jika tidak dipantau oleh orang dewasa. Ia juga akan menganggu proses normal pergerakan bayi.
Akhir kata
Dengan tersenarainya peralatan bayi di atas serta kegunaannya, diharap pasangan yang bakal menimang cahayamata dapat menilai dan membuat keputusan dalam merancang pembelian. Anda disarankan untuk membeli apa yang perlu terlebih dahulu. Tambahkan peralatan selepas mendapati anda atau bayi anda memerlukannya. Teliti setiap baik dan buruk peralatan tersebut agar tidak menyesal di kemudian hari.
Elakkan pembaziran. Anda juga boleh mencuba peralatan bayi saudara mara ataupun rakan-rakan sebelum membeli untuk bayi anda. Tetapkan bajet anda dan buat pilihan yang bijak.
Pada pendapat anda, apa barang bayi yang tidak perlu dibeli terlebih dahulu? Kongsikan dengan kami di ruangan komen.