Percutian

9 Keunikan Sarawak Yang Rakyat Malaysia Tak Tahu

1.4K
SHARES

       “Kalau dapat melancong ke Sarawak ‘best’ juga kan?”

“Ala, apa ‘best’nya. Mesti sama juga macam kita kat sini”

      “Eh, walaupun dalam Malaysia, tapi macam ‘oversea’ tau. Rugi tak pergi!”

Entri kali ini bukan nak cerita tentang kek lapis, tempat-tempat menarik, atau makanan pelik di Sarawak. Tapi, kali rasanya nak ‘highlight’ beberapa keunikan Sarawak yang mungkin ramai terlepas pandang. Maklumlah, negeri yang nun jauh di seberang sana.

Bukan apa, ramai rakyat Malaysia sudah menjejakkan kaki ke Australia, Eropah, dan ada yang telah mengembara jauh ke Rusia. Tapi, pasti ada yang masih belum menjejakkan kaki ke tanah Borneo ini.

Jadi, nak beritahulah sedikit tentang fakta ini untuk meraikan keunikan Sarawak sebagai salah satu negeri dalam Malaysia. Bak kata orang, tak kenal, maka tak cinta!

keunikan sarawak

Pemandangan Bandaraya Kuching. / Foto Kredit: sarawaktourism.com

Ini 9 Keunikan Sarawak Yang Rakyat Malaysia Tak Tahu

Berikut adalah beberapa perihal yang anda mungkin tak tahu tentang Sarawak.

1. Kepadatan Penduduk Paling Rendah Di Malaysia

Keluasan negeri Sarawak sendiri hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia. Tapi, kalau nak dibandingkan kepadatan populasinya, negeri ini mencatatkan nilai yang terendah.

Menurut Jabatan Penerangan Malaysia, statistik tahun 2010 menunjukkan kepada populasi setiap km persegi hanyalah 19 orang.

Bayangkanlah betapa berbezanya dengan Kuala Lumpur yang mempunyai lebih 6000 orang setiap km persegi! Kalau pergi sana, hilanglah semua serabut.

11174757_866198080107706_1273190406205108962_o-1

Anak-anak jati Sarawak, berbilang kaum tapi saling menghormati. Sekali pandang, susah nak bezakan mana Melayu, mana Iban atau Cina. / Foto Kredit: Kolej Komuniti Betong

2. Tak Ada Cuti Deepavali

Walaupun kaum India merupakan kaum ke-3 paling ramai di Malaysia, tapi di Sarawak susah betul nak nampak kelibat mereka. Kalau ada pun di Kuching, sekitar India Street.

Jadi, mungkin sebab itulah Sarawak menjadi satu-satunya negeri dalam Malaysia yang tidak mengisytiharkan Hari Deepavali sebagai cuti umum di negeri tersebut. Sebaliknya, mengambil cuti 2 hari untuk perayaan Hari Gawai.

3. Gerai Makanan Muslim & Non-Muslim Bawah Satu Bumbung

Memang Sarawak terkenal dengan makanan unik dan sedap seperti mee kolok, manuk pansuh, midin belacan, laksa sarawak, kek lapis, umai, dan macam-macam lagi.

Tapi, yang uniknya ialah terdapat gerai-gerai non-Muslim yang mempunyai bahagian tertentu khusus untuk menjual makanan halal. Jadi, tiada masalah kalau rakan-rakan berbangsa Iban, Melayu, Cina, atau Melanau nak makan semeja!

Sebab itulah mereka ini sangat rapat antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama. Kadang-kadang, sampai susah nak kenal yang mana Melayu, Iban, Cina, atau sebagainya. Semuanya mesra bersama!

keunikan sarawak

Kalau tak tengok gambar makanan memang tak sah, kan? / Foto Kredit: blog.sarawaktourism.com

4. Pelbagai Bahasa & Dialek Peribumi

Umumnya di Malaysia kita terkenal dengan masyarakat berbilang bangsa. Tetapi di Sarawak ini unik kerana Bahasa Iban masih kukuh digunakan bukan saja dipakai dalam kegunaan harian, tetapi juga dalam papan notis, surat khabar, dan majalah-majalah ‘mainstream’.

Malah, ramai artis Iban seperti Melissa Francis yang sangat terkenal di bumi Sarawak sehingga lagu-lagu ini dimainkan dalam radio-radio kontemporari setiap hari.

Sejak November 2015, Sarawak diumumkan sebagai negeri pertama yang bakal menggunakan Bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan.

Selain itu, Bahasa Melayu Sarawak juga digunakan secara meluas oleh ramai yang lain selain bahasa Cina dan bahasa peribumi yang lain.

fakta sarawak 6

Salah satu papan tanda yang diambil di sekitar Kapit, Sarawak. Sesetengah Hospital awam di pinggir bandar pun, biasa ada ‘translation’ untuk bahasa Iban.

5. Paling Banyak Sekolah Asrama

Tahu tak, dari segi pendidikan sebenarnya Sarawak mempunyai paling banyak asrama. Asrama ini bukan saja MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh, tetapi kebanyakannya terletak pada sekolah rendah harian. Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah harian berasrama di Sarawak mencatatkan jumlah yang tertinggi, iaitu 40% daripada jumlahnya di seluruh Malaysia.

Sejak sekolah rendah lagi, anak-anak ini telah dihantar ke sekolah berasrama kerana lokasinya yang jauh dari rumah. Jadi, tak hairanlah mengapa begitu banyak tenaga pengajar dan kakitangan yang diperlukan untuk menampung keperluan di sekolah-sekolah khas ini.

Jalan air masih lagi digunakan setiap hari.

Salah satu perhentian bot laju di sepanjang Sibu-Kapit. Jalan air masih lagi digunakan setiap hari. Cepat dan efisyen, macam bas jugalah.

6. Ada Produk Sendiri

Di Semenanjung, mungkin anda biasa dengan rangkaian makanan seperti Mc D, KFC, atau Pizza dan macam-macam lagi rangkaian besar. Tapi, lagi senang nak cari SugarBun atau SCR berbanding dengan McD yang hanya ada beberapa cawangan, walaupun di bandar besar.

Sebenarnya, mereka patut bangga kerana kebanyakan jenama yang bertapak di Sarawak merupakan jenama tempatan yang diusahakan oleh anak Sarawak. Boleh dikatakan ‘self-sustained’ juga ekonomi mereka. Selain itu, banyak kedai rangkaian lain yang hanya dapat dijumpai di Sarawak seperti SuperSave, 100%, dan CCK.

Oh ya, lagi satu. Tak ada roti Gardenia atau High5 yang kita biasa makan. Jadi, kalau anda nampak orang beli banyak roti di lapangan terbang tu, faham-fahamlah kenapa.

perkara unik tentang sarawak

Foto Kredit: cn.sugarbun.com

7. Pertama Di Malaysia Tersenarai Dalam UNESCO

Sebelum George Town dan Melaka (2008) dan Lenggong (2012) dianugerahkan dengan status Tapak Bersejarah Dunia oleh UNESCO, Taman Negara Gunung Mulu terlebih dahulu telah memiliki status ini sejak tahun 2000, bersama Taman Negara Gunung Kinabalu pada tahun yang sama.

Selain Gunung Mulu, Sarawak masih mempunyai banyak khazanah alam untuk diterokai, seperti ‘sea stack’ yang terdapat di Taman Negara Bako, Kuching dan juga tanah tinggi di Borneo Highlands. Sekali pandang, nampak macam di luar negara bukan? Mengagumkan!

fakta unik tentang sarawak

Taman Negara Gulung Mulu (Mulu Pinnacle) / Foto Kredit: muluworld.com

 

keunikan sarawak

Borneo Highlands, pelancongan tanah tinggi di Kuching. / Foto Kredit: borneohighlands.com.my

8. Walaupun Ada Bangunan Bertaraf Antarabangsa, Sistem Rumah Panjang Masih Tidak Dilupa

Di kawasan luar bandar, sistem rumah panjang masih lagi wujud meskipun kebanyakannya telah dibina secara moden.

Setanding dengan penempatan yang dimajukan, semakin banyak universiti bertaraf antarabangsa seperti Lim Kok Wing dan Universiti Kolej Sains dan Teknologi UCTS yang ditubuhkan di sana.

Senibinanya UCTS sangat futuristik dan boleh dianggap sebagai salah satu hasil bangunan paling moden di Malaysia, lengkap dengan ciri-ciri bangunan hijau.

Beroperasi sejak 2013, bangunan ini turut menerima Anugerah Platinum dalam GBI (Green Building Index).

Bangunan UCTS, Sibu.

Bangunan UCTS, Sibu.

9. Mempunyai Lebih 25 Lapangan Terbang!

Oleh kerana bentuk muka buminya yang masih belum diterokai sepenuhnya, ia mungkin menjadikan laluan terasa jauh dan sedikit sukar untuk menghabiskan pengembaraan anda di Sarawak dalam 1-2 hari.

Dari segi pengangkutan, pengangkutan darat masih lagi menjadi sistem utama untuk menghubungkan sesuatu tempat. Namun, di sesetengah tempat terpencil, masih lagi bergantung kepada penggunaan feri atau sampan sebagai satu-satunya laluan untuk menyeberanginya.

Kalau nak paling cepat, kenalah gunakan laluan udara. Maka, bilangan lapangan terbang juga paling banyak di Sarawak iaitu 25 buah. Tapi, yang biasa digunakan oleh orang awam terdapat di Kuching, Bintulu, Sibu, dan Miri.

Biasanya VIP atau pegawai tertinggi kerajaan pakai helikopter untuk memudahkan urusan. Haa… Canggih tak?

keunikan sarawak

Bako ‘Sea Stack’ di Taman Negara Bako ini pun popular. / Foto Kredit: borneoadventure.com

Dan banyak lagi….!

Inilah sedikit sebanyak yang dapat diberitahu kepada orang Malaysia tentang keunikan Sarawak. Sebenarnya, ada banyak lagi keistimewaan dan keunikan Sarawak. Kalau nak tahu, kena datang dan rasakan sendiri pengalaman anda.

Kalau yang berada di Semenanjung memang rugi tak singgah di sini. Bayangkan, tanpa memerlukan pasport, anda boleh merasakan pengalaman berbeza, tak ubah seperti di luar negara!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×