Rintihan seorang bapa mengenang nasib anak perempuan tunggalnya berusia 6 tahun baru-baru ini, telah mengundang rasa sayu dan hiba pada orang ramai. Difahamkan kanak-kanak itu mengalami cacat fizikal seumur hidup akibat menjadi mangsa kemalangan jalan raya.
“Ayah minta maaf Manja, tak dapat jaga keselamatan anak ayah. Bawa motosikal betul pun tetap kena juga. Ayah bersalah sangat dengan Manja, ayah tak akan maafkan orang yang langgar kita,” demikian antara rintihan bapa bernama Muhd Muaz Aiman Maslan, 30.
Baca juga: Bayi Termakan Najis Tikus, Ibu Luah Rasa Bimbang & Mohon Doa Daripada Semua!
CACAT FIZIKAL AKIBAT KEMALANGAN
Anaknya, Annasya Miqaila terpaksa dipotong kaki kiri akibat cedera dalam kemalangan di Jalan Sempang Bekoh – Asahan di Jasin, jam 5 petang pada 9 November lalu.
Menerusi video tular berdurasi 53 saat yang dikongsikan keluarganya, Muhd Muaz Aiman turut mengimbau kejadian didakwa berpunca SUV berkenaan membuat pusingan U di garisan berkembar di situ dan melanggar motosikal Yamaha 135LC ditunggang bersama anaknya.
Sebelum kejadian, bapa dan anak perempuan itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batu 4, Batu Berendam selepas tidak jadi berkhemah dan mandi di Laman Tiga Budaya, Asahan disebabkan hujan.
Tanpa fikir panjang Muaz menyeret kakinya yang patah untuk pergi dekat dengan anak yang pengsan
Kata Muhd Muaz Aiman, dia tercampak jauh dari motosikal dan patah kaki kiri sementara anaknya yang masih berada dekat motosikal diberi bantuan dan diangkat oleh orang ramai.
“Luluh hati saya tengok dari jauh kaki anak terkulai dan tanpa fikir panjang aku seret kaki kiri yang patah untuk pergi dekat sambil memanggil namanya untuk kejutkan dia dari pengsan.
“Kami dikejarkan ke hospital dan aku berdoa supaya semuanya berjalan lancar dan dapat selamatkan kaki dia, tapi Allah beri ujian yang lebih berat.
“…aku kesal. Aku salahkan diri sendiri. Aku termenung memikirkan masa depan anak yang baru berusia 6 tahun tapi sudah kehilangan kaki. Cacat seumur hidup semuanya disebabkan kecuaian orang lain,” ujarnya.
Baca juga: Anak Pemalu Ekstrem Sampai Lari & Nyorok Dalam Baju Mak, Ubah Dia Dengan 10 Perkara Ini!
Annasya Miqaila kena rujuk psikologi akibat trauma yang teruk
Adiknya, Munir Arif, 25, berkata abangnya yang juga pekerja kilang dibenarkan keluar dari Hospital Melaka Jumaat lalu selepas menjalani pembedahan bagi memasukkan besi pada kaki kiri.
“Semalam, doktor pakar beritahu Manja kena rujuk psikologi sebab ada trauma yang agak teruk dan diberi ubat sebelah malam supaya dia boleh rehat dan tidur bagi mengelak ia mengganggu proses penyembuhan.
“Doktor pakar juga beritahu masa pembedahan tidak banyak darah keluar kerana patah teruk dan masih ada tisu yang rosak yang perlu dicuci,” katanya yang turut merayu orang ramai mendoakan kesembuhan buat abang dan anak saudaranya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata dua beranak terbabit dalam perjalanan dari Asahan menghala Sempang Bekoh, manakala SUV Toyota Harrier dipandu pekebun berusia 41 tahun dari arah bertentangan.
“Siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV terbabit dari arah Sempang Bekoh menghala Asahan membuat pusingan U secara mengejut sehingga mengakibatkan motosikal di laluan utama tidak dapat mengelak dan berlaku kemalangan,” katanya.
Baca juga: Ibu Sebak Terima Layanan Baik Anak Dari Usia 11, Rajin Hidangkan Makan Minum Ikut Perilaku Suaminya!
Sumber: Berita Harian
FT Image: Berita Harian