Sejak isu GISBH dikeluarkan dan mendapat perhatian masyarakat Malaysia, pasti ramai tidak menyangka bagaimana manusia boleh begitu fanatik atau taasub dengan Ashaari Muhammad atau nama lainnya Abuya Ashaari.
Rentetan itu, buat anda yang baru sahaja terdedah dengan gerakan pengikut Abuya Ashaari, ikuti perkongsian saudara Azizi Khalid dari mulanya ia berobjektifkan sebagai mukmin sejati sehingga berubah kepada bertentangan dengan Quran dan Sunnah.
Baca juga: Dah Nampak Tapi Selamba Je Telan Air Ada Semut, Jangan Buat Main Haram Minum!
ABUYA ASHAARI DITAKSUB PENGIKUTNYA
Kenapa boleh taksub?
Bagi mereka yang baru kenal isu dalam GISB pasti terkejut bagaimana manusia boleh begitu taksub dengan jemaah ini. Tetapi taksub ini bukan baru berlaku sehari dua. Ia terbina dalam tempoh yang lama, makan berdekad.
Al-Arqam bermula pada tahun 1968. Waktu itu pengamalan Islam di Malaysia amat minimal kesan peninggalan penjajah. Al-Arqam bermula dengan pengajian kitab-kitab turath (tradisi) dengan impian untuk membaiki diri menjadi mukmin yang baik.
Cuma bezanya Arqam dengan kebanyakan gerakan lain, Abuya Ashaari (nama lain selain Ashaari Muhammad) seorang yang sangat praktikal. Ust Ashaari tidak puas dengan ilmu di kitab, bahkan beliau mahu ilmu tersebut diterjemahkan ke dalam diri, keluarga dan masyarakat.
Perkampungan Arqam
Maka, bermulalah perkampungan Arqam di mana ilmu yang dipelajari tadi cuba diterapkan dalam kehidupan seharian.
Bermula dari solat berjemaah secara istiqamah, penerapan akhlak mulia sesama ahli, penjagaan aurat dan segala aspek kehidupan seorang mukmin.
Ekonomi dan pendidikan Arqam
Apabila dah hidup bersama, maka perlulah kepada ekonomi dan pendidikan. Maka, bermulalah era business Arqam.
Niat asalnya murni, untuk memastikan makanan yang dicicip semuanya halal dan tayyib. Digembelenglah tenaga, kepakaran dan bakat dari ahli-ahli demi kehidupan Islam yang syumul.
Anak-anak perlu dididik, maka bermulalah sekolah-sekolah Arqam yang berdasarkan kitab-kitab pondok.
Hiburan Arqam
Bagi mengisi naluri manusia yang perlukan hiburan, maka ditubuhkanlah kumpulan nasyid yang menawarkan hiburan yang membina iman.
Arqam menerbitkan majalah, komik dan buku-buku yang berkualiti dan mendapat sambutan masyarakat umum.
Semuanya demi menjadikan Islam sebagai ad-Din al-Hayah (cara hidup).
Arqam membawa objektif sebagai mukmin sejati melebar sayap di dalam dan luar negara
Dari satu kampung di Sg Penchala, Arqam mula mengorak langkah menubuhkan perkampungan di seluruh negara. Malah di era 80-an Arqam mula melebarkan sayapnya keluar negara.
Seluruh negara merasai kesan positif dari jemaah al-Arqam ini.
Pada peringkat ini tidak timbul isu Pemuda Bani Tamim, Imam Mahdi, Daulah dan lain-lain. Objektifnya cuma hendak hidup sebagai mukmin sejati yang mana seluruh aspek kehidupannya patuh syariat.
Kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh Arqam menjadikan ahli-ahli semakin hormat dan kasih kepada Ust Ashaari.
Baca juga: Nak Tuntut Cerai Suami Ikut Ajaran Sesat, Wanita Ini Minta Tolong Sebab Buntu Tiada Bukti!
PERMULAAN TAKSUB TERHADAP ASHAARI MUHAMMAD
1. 80-an mula ura-ura pengasas Aurad Muhammadiyyah adalah Imam Mahdi
Pada awal 80-an sudah bermula ura-ura pengasas Aurad Muhammadiyyah adalah Imam Mahdi yang dighaibkan dan akan muncul semula. Pada pertengahan 80-an bermulalah era mempersiapkan jemaah untuk menyambut Imam Mahdi.
Dalam keadaan jemaah yang begitu kukuh dari sudut ekonomi, pendidikan, hiburan, media, pertanian dan macam-macam lagi, tidaklah menghairankan kalau ada yang percaya bahawa inilah jemaah yang bakal membawa kegemilangan Islam kali kedua.
Kata omputih, “absolute power corrupts absolutely”.
2. Bermulanya era taksub
Maka, bermulalah era penanaman taksub.
Pada peringkat awal, lirik nasyid-nasyid Arqam ditulis oleh ramai ahli-ahli. Tapi makin lama, kumpulan nasyid mereka lebih banyak menyanyikan lirik yang ditulis Ust Ashaari dari yang lain.
Buku-buku juga begitu. Penerbitan Arqam menumpukan kepada menerbitkan kuliah-kuliah Ust Ashaari yang menjadi bahan bacaan utama ahli jemaah.
Lahirlah generasi yang dari kecilnya makan kicap Arqam, mendengar nasyid Arqam yang liriknya ditulis Ust Ashaari, membaca buku yang penulisnya Ust Ashaari.
Seluruh aspek kehidupan terhubung dengan Ust Ashaari. Malah cara berpakaian juga ‘kena’ ikut Ust Ashaari.
3. Era ‘Minda Abuya’
Bermulalah era ‘Minda Abuya’. Segalanya harus selari dengan minda.
Kuliah-kuliah waktu itu sudah sangat kurang menyentuh kitab-kitab turath. Fokus adalah pada mensyarahkan sajak-sajak Abuya.
Pengharaman 1994 tidak sedikit pun mengurangkan setia dan taat ahli kepada Abuya.
Tetapi pengharaman 1997 telah menyedarkan ramai orang yang terpelajar di dalam Arqam tentang kesalahan dan kesesatan jemaah ini.
4. Era Rufaqa’
Maka, ketika era Rufaqa’ tidak ramai lagi alim ulama’ Arqam yang mengikut perjuangan ini.
Namun, di era Rufaqa’ kealiman seseorang dinilai bukan pada ilmu berkait Quran dan Sunnah, tetapi siapa yang lebih minda – iaitu lebih banyak mengetahui sajak-sajak Abuya.
5. Era akal vs roh pada awal 2000-an
Pada awal 2000-an bermula pula era akal vs roh.
Siapa yang banyak berfikir dituduh orang akal yang rohnya tidak kuat. Orang yang rohnya kuat akan terus dapat menerima minda Abuya.
Kalau terlalu menjadi orang akal, itu tanda akalnya sudah ditipu oleh Yahudi. Maka, fungsi akal dimatikan. Kalau nak roh kuat, terima saja apa yang pemimpin arahkan.
Apabila Abuya mulai sakit dan tidak mampu bercakap, pengkultusan (pemujaan keagamaan) ditingkatkan oleh isteri Abuya, Ummu Jah.
Oleh kerana sajak-sajak baru tidak dapat ditulis oleh Abuya, kuliah-kuliah waktu itu berputar sekitar sajak-sajak lama dan kehebatan Abuya. Penekanan adalah kepada karamah-karamah Abuya. Setiap kuliah kehebatan Abuya meningkat.
Kemuncaknya adalah kematian Abuya dikatakan tidak mati, cuma ghaib seperti Sh Suhaimi.
Baca juga: Biodata Ringkas Nabi Muhammad SAW, Manusia Terulung & Mulia Sepanjang Zaman!
Pimpinlah akal dengan wahyu, jangan dibunuh dengan taksub!
Generasi yang ada di dalam GISB ini rata-rata generasi kedua atau ketiga dari Arqam. Mereka tiada pendidikan, tidak pernah hidup di dunia luar dan sering dimomokkan tentang bahayanya hidup diluar jemaah Abuya.
Begitulah kisah taksub.
Ingatlah akal itu adalah anugerah Tuhan yang dimuliakan di dalam al-Quran. Hagailah akal. Pimpinlah akal dengan wahyu, jangan dibunuh dengan taksub.
Baca juga: Ini 5 Info Srikandi Islam Yang Hebat, Layak Dijadikan Idola Anak Muda!
Sumber: Azizi Khalid
FT Image: Azizi Khalis / Nik Abdullah Nik Omar