Isu ajaran sesat yang berlaku kebelakangan ini, mula menjadi perbualan hangat warga maya di media sosial. Definisi gerakan ajaran sesat Malaysia membawa kepada fahaman yang bertentangan daripada ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Justeru itu, penulis mengambil kesempatan ini untuk berkongsikan senarai 12 gerakan ajaran sesat yang berjaya mempengaruhi segelintir fikiran rakyat Malaysia, selain pernah bertapak di negara ini seperti disiarkan Sinar Harian.
Baca juga: Nak Tuntut Cerai Suami Ikut Ajaran Sesat, Wanita Ini Minta Tolong Sebab Buntu Tiada Bukti!
AJARAN SESAT MALAYSIA ADA 12 GERAKAN DISENARAIKAN
1. Al-Arqam
Al-Arqam yang juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah, merupakan ajaran di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad pada tahun 1968. Ia diwartakan sesat pada 21 Disember 2006.
Ajaran ini berfahaman bahawa solat Jumaat tidak wajib dan mendakwa Ashaari tidak perlu kitab dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, ilmu itu datang terus daripada ALLAH SWT dalam bentuk ilham.
Ashaari merupakan Pengerusi Global Ikhwan Sdn Bhd yang kemudiannya ditukar nama kepada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebelum meninggal dunia pada 2010.
2. Fatwa Ilmu Salah
Ia diasaskan oleh Kahar Ahmad dan beroperasi serta dikembangkan yang berpusat di rumahnya, terletak di Kampung Kemensah Hulu Klang. Fahaman ini difatwakan sesat pada 29 Ogos 1991.
Kahar mengaku dirinya sebagai Rasulullah SAW atau utusan daripada ALLAH. Bukan itu sahaja, dia mengaku menerima wahyu daripada ALLAH yang diturunkan di Bukit Kemensah sama seperti yang diterima oleh Rasulullah SAW.
Baca juga: Biodata Ringkas Nabi Muhammad SAW, Manusia Terulung & Mulia Sepanjang Zaman!
3. Kerajaan langit
Kerajaan langit diperkenalkan oleh Ariffin Mohamad yang lebih dikenali dengan nama Ayah Pin. Dia menyatakan dirinya sebagai Tuhan dan juga disebut sebagai bapa oleh pengikutnya yang percaya bahawa dia adalah utusan dari syurga.
Pada tahun 1997, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengeluarkan fatwa bahawa ajaran berkenaan sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.
4.Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya
Diketuai oleh Kadirun Yahya yang beroperasi di Surau Darul Amin, Hulu Selangor dan diwartakan sesat pada 14 September 1995 kerana ia salah tafsir ayat al-Quran.
Kemudian, menggabungkan roh untuk dapat wasilah kepada Rasulullah SAW dan terus kepada ALLAH SWT.
Baca juga: Kes Jenayah Makin Merisaukan, Amalkan 6 Doa Ini Masa Keluar Sendirian!
5. The Ahmadi, Religion of Light and Peace
Ajaran ini menamakan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang diberikan taraf bishop sebagai ketua dan bertanggungjawab menyebarkan dakyah serta menguruskan pengikut mereka di negara ini.
Agama itu juga mempunyai pengikut dan bishop yang dilantik di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Afghanistan, Thailand, United Kingdom dan Turkiye.
6. Millah Abraham
Ajaran yang telah difatwakan haram di Johor itu mempunyai kefahaman yang mana ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah. Mereka juga mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.
Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam. Selain itu, menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.
Baca juga: 8 Situasi Kiraan Faraid Bila Isteri Meninggal Dunia, Hati-Hati Jangan Nafikan Hak Sepatutnya!
7. Tarikat Al-Hasaniah
Berdasarkan warta yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti negeri Selangor, Tarikat Al-Hasaniah adalah diharamkan kerana menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar pada 28 Ogos 2003.
Majlis Fatwa Negeri Sabah turut mengeluarkan warta ajaran tersebut sesat pada September 2005.
Ajaran ini mendakwa cahaya yang kuat itu datang daripada Rasulullah SAW dan diberikan kepada murid kanannya. Melalui cahaya tersebut segala hijab akan terbuka dan boleh menembusi alam ghaib.
Seterusnya, ahli-ahli kanan tarikat mendakwa guru mereka membawa melawat syurga, neraka dan padang mahsyar.
8. Fahaman Wahdatul Wujud
Diasaskan oleh Ibnu Arabi dan telah diwartakan sesat pada 5 Julai 2001.
Antara ciri kesalahan ajaran ini adalah mendakwa dalam diri setiap manusia ada Tuhan maka perlu untuk menyembah diri sendiri.
Wahdatul Wujud turut memiliki fahaman bahawa syurga dan negara seperti yang dinyatakan dalam al-Quran itu tidak wujud.
Baca juga: Fu Ceen Tunai Nazar Umum Masuk Islam, Lepas Menang Emas Di SUKMA Sarawak 2024!
9. Kumpulan Militan Islamic State (IS)
Merupakan pecahan daripada organisasi al-Qaeda yang berpusat di Afghanistan dan diwartakan sesat pada 3 Februari 2016 oleh kerajaan negeri Selangor.
Kumpulan ini berjaya menarik anak-anak muda Islam dari seluruh rantau dunia termasuk Malaysia yang telah menyertai kumpulan penentang kerajaan dan kumpulan militan di Syria sejak konflik di negara itu bermula pada tahun 2011.
Kumpulan ini berpegang kepada fahaman untuk memerangi negara selain IS kerana beranggapan bahawa negara kafir wajib untuk diperangi.
10. Ajaran Islam Jamaah
Ajaran Islam Jamaah diwartakan sesat pada 24 September 1998. Kumpulan ini mendakwa hanya ajaran ini sahaja mengamalkan cara Islam sebenar dan beranggapan bukan ahli sebagai kafir.
Dari sudut syariah, ajaran tersebut menolak sumber hukum ijmak dan qias, menganggap mughallazah tidak perlu disamak, melakukan solat Jumaat di rumah dan mengeluarkan hukum mana-mana binatang yang mati di kawasan orang Islam halal dimakan.
Baca juga: Kisah Sejarah Hebat 6 Tiang Raudhah Dalam Masjid Nabawi, Ramai Yang Belum Tahu Rupanya…
11. Kumpulan Negara Islam Indonesia (NII)
NII difatwakan sesat pada 16 Mac 2011 kerana dari segi akidah ia membuat pembahagian tauhid bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)
Bukan itu sahaja, hanya pengikut ajaran ini sahaja dianggap beragama Islam dan berpegang kepada ASWJ manakala yang lain tidak salah Islamnya.
12. Syiah
Ajaran ini berkembang melalui pertubuhan Hauzah Ar-Ridha yang diketuai oleh Mohamad Kamil Zuhairi Abd Aziz dan diwartakan sesat pada 17 Oktober 2013.
Ia hanya mempercayai Saidina Ali sahaja menghimpun al-Quran dengan sempurna dan menolak kitab suci yang disusun oleh para sahabat nabi yang lain.
Syiah juga menolak hadis-hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Rasulullah SAW dan menerima hadis yang diriwayatkan oleh para Imam 12.
Baca juga: Ini 13 Kisah Nabi Muhammad SAW Boleh Buat ‘Bedtime Story’, Anak Pasti Seronok!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian