Penulis percaya, individu yang sedang menjaga pemakanannya pasti amat memerlukan tips kurangkan garam semasa makan di luar seperti di bawah. Ya, bukan senang hendak mengawal penggunaan garam dalam makanan ketika berada di luar berbanding di rumah yang jelasnya, bukan diri sendiri yang menyediakannya.
Disebabkan itu, bagi membantu anda mengatasi kesulitan ini, mari ikuti enam tips dari Nutritionist KKM tentang cara mengurangkan garam semasa makan di luar. Jom baca!
Baca juga: Khasiat Kopi Halia Ketumbar, Bagus Untuk Demam, Selesema Dan Perut Berangin!
TIPS KURANGKAN GARAM SEMASA MAKAN DI LUAR
Setiap individu disarankan mengambil garam sebanyak satu sudu teh sehari atau bersamaan dengan 5 gram garam. Namun begitu, kita sukar untuk mengikuti saranan pengambilan garam ini lebih-lebih lagi apabila makan di luar.
Mana tidaknya, kebanyakan makanan yang disediakan di luar kebiasaannya mengandungi banyak garam tersembunyi. Misalnya di dalam sos, perasa tambahan dan juga makanan terproses.
Pengambilan garam secara berlebihan secara kerap ini boleh mendorong kepada penyakit hipertensi. Jika anda sering makan di luar dan kerap mengambil makanan yang tinggi garam, inilah masanya untuk anda ubah tabiat tersebut dengan mengikuti tip semasa makan di luar.
Ingat, cegahlah hipertensi sebelum terlambat untuk kehidupan yang lebih sejahtera.
INI 6 TIPS UNTUK KURANGKAN GARAM SEMASA MAKAN DI LUAR
1. PILIH NASI PUTIH ATAU NASI PERANG
Tip pertama, para pembaca boleh memilih di antara nasi putih atau nasi perang berbanding nasi yang berperisa. Contoh nasi berperisa adalah:
- Nasi tomato.
- Nasi ayam.
- Nasi beriani.
2. MINTA KURANG GARAM ATAU MSG DALAM MAKANAN
Semasa membuat pesanan makanan, pastikan anda memaklumkan kepada pelayan restoran untuk mengurangkan garam di dalam hidangan semasa proses penyediaannya. Selain garam, jangan lupa minta kurangkan juga penggunaan monosodium glutamat (MSG).
3. ASINGKAN KUAH ATAU SOS DALAM HIDANGAN
Selain itu, tip lain untuk mengurangkan penggunaan garam semasa makan di luar adalah meminta pelayan restoran untuk mengasingkan kuah dalam hidangan. Ini boleh dilakukan sewaktu anda memesan makanan.
Selain kuah, sos atau salad dressing juga perlu diasingkan dari berada dalam pinggan hidangan yang sama.
4. NIKMATI HIDANGAN TANPA SOS ATAU KICAP TAMBAHAN
Ya, memang ada orang menyukai rasa makanan yang kuat. Disebabkan itu, apabila makanan berasa tawar, terus sahaja meminta sos atau kicap tambahan dari pelayan restoran.
Jadi, bagi mengurangkan garam dalam makanan, lebih baik anda mencuba untuk menikmatinya tanpa sos atau kicap tambahan. Perlahan-lahan cuba pasti ia akan dapat membantu mengawal garam dalam badan anda!
5. GUNA CHOPSTICK & GARFU APABILA HIDANGAN BERKUAH
Apabila makan hidangan berkuah atau bersup, pastikan anda menggunakan garfu dan chopstick sahaja tanpa sudu. Hal ini kerana, ia bagi mengelakkan pengambilan kuah atau sup yang berlebihan.
6. MAKANAN MASIN JANGAN MAKAN
Berhenti makan dan beritahu pengendali makanan sekiranya masakan yang dihidangkan adalah masin.
Sumber: Nutritionistkkm