Sihat

6 Cara Rendahkan Risiko Kanser Dengan Pemakanan Yang Betul – Dr. Zubaidi Ahmad

17
SHARES

Apakah pendapat anda sekiranya makanan juga dapat mempengaruhi manusia untuk berisiko mendapat kanser? Malah, bolehkah makanan yang sihat mencegah kanser?

Melalui perkongsian ilmu perubatan yang dibuat oleh Doktor Zubaidi Haji Ahmad, makanan yang kita makan mempengaruhi risiko mendapat kanser. Disebabkan itu, seseorang itu ‘berkuasa’ untuk memilih dan mengawal pemakanannya sendiri bagi mengawal risiko dari mendapat kanser.

Justeru itu, ikuti enam cara yang dikongsikan di bawah untuk merendahkan risiko mendapat kanser dengan memilih pemakanan.

Baca juga: Saintis Dapati Pasangan Tak ‘Supportive’ Tingkat Risiko Terkena Serangan Jantung

BOLEHKAH MAKANAN YANG SIHAT MENCEGAH KANSER?

Foto Kredit: BELGA – Standaard.Be.

Ramai yang tentu terfikir jenis-jenis makanan yang boleh menyebabkan kanser dalam tubuh kita. Terutama mereka yang berisiko tinggi seperti mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah ada kanser.

Bagi mereka yang sedang mengalami kanser atau yang telah tamat menjalani rawatan, saya ingin mencadangkan pemakanan yang sesuai untuk mereka.

Sebelum itu, American Cancer Society memberitahu masalah obesiti dan pemilihan makanan adalah salah satu faktor utama mendapat kanser, terutamanya:

  1. Kanser Payudara
  2. Kanser Kolon dan Rektum
  3. Kanser Esofagus dan Kanser Perut
  4. Kanser Hati
  5. Kanser Ovari dan Kanser Rahim
  6. Kanser Pankreas
  7. Kanser Thyroid
  8. Kanser Darah Multiple Myeloma

Selain obesiti, faktor lain adalah:

  1. Tidak aktif secara fizikal
  2. Pengambilan alkohol
  3. Ketagihan rokok
  4. Tidak cukup nutrisi (bukan tidak cukup makan)

Semestinyalah makanan yang kita makan mempengaruhi risiko kita mendapat kanser.

Faktor keturunan (genetik) adalah suatu yang tidak boleh dikawal. Siapa yang dapat memilih untuk dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai masalah genetik.

Tidak dapat memilih untuk dilahirkan di keluarga mana. Cuma kita mampu memilih dan mengawal pemakanan kita. Kita juga mampu memilih untuk tidak obese. Dengan itu kita mampu mengawal risiko untuk mendapat kanser.

6 CARA UNTUK MERENDAHKAN RISIKO MENDAPAT KANSER DENGAN MEMILIH PEMAKANAN

Gambar hiasan: Shutterstock.

1. BERPUASA SUNAT & AMALKAN DIET INTERMITTENT FASTING

Banyakkan berpuasa sunat dan melakukan Diet Intermittent Fasting.

2. PENGAMALAN DIET MEDITERRANEAN SEWAKTU MAKAN

Pengamalan Diet Mediterranean ketika makan. Antara ciri diet ini adalah:

  • Banyakkan sayur dan buah.
  • Banyakkan bijirian “whole grains”. Contoh yang boleh kita amalkan adalah beras rebus dan beras perang.
  • Ambil lemak sihat seperti extra virgin olive oil, kekacang (nuts) dan bebenih seperti biji bunga matahari dan biji labu.
  • Ambil protein sihat seperti daging ayam dan ikan serta protein dari tumbuhan (legume).

Kurangkan atau hentikan:

  • Kurangkan daging merah.
  • Kurangkan makanan bergoreng menggunakan minyak lama.
  • Kurangkan gula putih.
  • Kurangkan transfat.

3. AMBIL 5-9 KALI HIDANGAN BUAH & SAYUR

Gambar hiasan: DryFeb.com.

Mengambil lima hingga sembilan kali hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran. Dengan kata lain, lebih banyak lagi bagus.

Kebanyakan pakar nutrisi bersetuju bahawa Diet Mediterranean dapat mencegah kanser dan memberikan kesan positif pada kesihatan.

Malah ramai saintis dan pakar perubatan mengakui pengambilan banyak fiber dalam makanan seperti yang diamalkan dalam Diet Mediterranean, dapat mencegah kanser kolon dan rektum, yang menjadi kanser yang paling banyak di Malaysia.

Pilih buah-buahan dan sayur-sayuran yang “berwarna pelangi”. Pewarna semulajadi dalam buah-buahan dan sayur-sayuran adalah phytonutrien yang merendahkan risiko mendapat kanser.

Vitamin, mineral dan antioksida dalam buah-buahan dan sayur-sayuran juga mampu mencegah kanser dan penyakit metabolik seperti diabetes, hipertensi dan sakit jantung.

Secara mudah, saya berikan petua dan tips.

  • Ambil 3 jenis warna yang berlainan.
  • 50% dari hidangan adalah sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Pastikan 50% dari sayur-sayuran tersebut membekalkan protein.

4. HADKAN PENGAMBILAN GULA PUTIH

Gula putih adalah karbohidrat yang berproses. Ia membekalkan tenaga dan ia juga menjadi makanan pada sel-sel kanser.

Jadi penting untuk pesakit kanser untuk menghindari gula tambahan kerana gula ringkas itu masih banyak secara semulajadi dalam sayur-sayuran dan buah-buahan.

Selain itu, gula tambahan boleh menyebabkan obesiti yang menjadi punca bagi penyebab sesetengah kanser. Berhati-hati juga dengan gula tambahan dalam kuih, roti, biskut, minuman ringan dan sos.

Ada yang mengambil makanan untuk menenangkan perasaan, ada yang makan untuk tenaga dan ada yang makan untuk bersosial. Jadi jangan beralasan untuk memilih makanan yang bernutrisi ketika menenangkan fikiran, mencari tenaga dan bersosial.

5. HENTIKAN ARAK & ROKOK

Gambar hiasan: iStock.com.

Arak dan rokok selalunya berkait rapat dengan kanser paru-paru, esofagus, tekak malah payudara. Penagih arak selalunya mengalami masalah kanser kolon dan kanser hati.

6. KURANGKAN PENGGUNAAN GARAM

Antara produk makanan yang mengandungi banyak garam adalah makanan berproses yang ditinkan, dibotolkan dan disimpan dalam plastik. Termasuk kicap, sos, keropok dan daging dalam tin.

7. AMBIL SUPLEMEN VITAMIN E TOCOTRIEONOL

Ambil suplemen vitamin E tocotrieonol (50 hingga 100 mg sehari). Tahap vitamin E yang rendah akan menyebabkan peningkatan risiko kanser payudara, kolon dan pankreas.

Ramai yang ingin memulakan pemakanan yang sihat tetapi tidak tahu caranya. Saya cadangkan mula dengan pengambilan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dalam makanan kita.

Ia sangat berkesan dalam memulakan cara pemakanan yang betul.

Langkah seterusnya adalah hentikan minuman bergas dan makanan yang manis. Kurangkan makanan bergoreng. Minum air yang mencukupi.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×