Percutian

15 Tempat ‘Best’ Untuk Dilawati Di Bandung. Bukan Sekadar Shopping!

1.1K
SHARES

Sebut sahaja Bandung, pasti yang bermain difikiran anda kain-kain dan pakaian murah. Dilabel sebagai syurga membeli-belah kaum wanita, negeri Indonesia yang turut diberi gelaran ‘Paris Van Java’ ini kaya dengan keindahan alam semulajadi untuk diterokai bagi yang suka menikmati keindahan alam.

Selain itu, terdapat pelbagai tempat menarik di Bandung yang merangkumi kawasan bersejarah, budaya, dan makanan enak yang menjadi kebanggan Bandung untuk kunjungan pelancong.

15 Tempat Menarik Yang Mesti Dilawati Di Bandung, Indonesia

1. Kawah Putih

Kawah putih adalah antara bucketlist yang mesti diterokai oleh pengunjung. Walaupun terletak agak jauh dari pusat Bandar, kawasan ini tetap menjadi pilihan wajib pelancong apabila berkunjung ke Bandung kerana keindahannya yang unik dan memukau. Ramai juga yang sanggup datang untuk mengambil gambar perkahwinan di sini.

Mungkin anda boleh mengagak daripada namanya, kawasan ini terhasil daripada letusan gunung berapi yang membentuk danau yang bertanah putih dan berair putih kehijauan. Di tebing danau pula akan kelihatan belerang kekuningan serta pohon bakau yang tumbuh dan menjadi penyeri kepada pemandangan. Untuk mengelakkan daripada bau belerang yang kuat, setiap pengunjung perlu mematuhi had masa untuk berada di sini.

tempat menarik di bandung

Foto Kredit: anekatempatwisata.com

2. Floating Market

Seperti di Bangkok, Bandung juga mempunyai pasar terapungnya sendiri sebagai tarikan. Jika di Bangkok pasar terapungnya menjual sayur dan buah-buahan, pasar terapung di Bandung pula menjual aneka hidangan Indonesia untuk dicuba. Bermacam variasi makanan dijual seperti sate arnab, bakso, dan siew mai menjadi pilihan untuk mengisi perut.

Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk melakukan aktiviti lain seperti menaiki bot dan menerokai Taman Jepun yang unik di sini. Pelbagai cenderahati batik dan ole-ole Bandung turut dijual di sini sebagai kenangan. Jangan lupa untuk menukar tiket dengan minuman panas bila sampai nanti!

Foto Kredit: sheratonbandung.com

3. Farmhouse Susu Lembang

Satu lagi tempat menarik di Bandung yang wajib dikunjungi adalah Farmhouse yang mengingatkan anda kepada senibina Tudor dan Eropah Bukit Tinggi di Pahang. Anda juga boleh menyewa pakaian bercirikan Eropah untuk mengambil gambar.

Tempat ini sesuai dikunjung seisi keluarga kerana pelbagai aktiviti boleh dilakukan oleh setiap peringkat umur. Aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah bermesra dengan haiwan ternak ladang di Petting Zoo dan bergambar di Love Locks. Antara yang cukup terkenal juga adalah Hobitton, iaitu rumah hobbit mini yang dibina daripada inspirasi filem The Hobbit / Lord of The Rings seperti di New Zealand. Keindahan landskap dan suhunya yang nyaman menjadikan ‘feel’ ala Eropah lebih terasa.

Jika di floating market tiket boleh ditukar untuk mendapatkan minuman panas, di sini anda boleh menukarkannya dengan secawan susu segar.

tempat menarik di bandung

Foto Kredit: tribunnews.com

4. Glamping Rancabali

Terokailah Bandung jauh daripada kota dan nikmatilah pemandangan indah di Glamping Rancabali. Anda pasti akan jatuh cinta dengan udaranya yang nyaman serta ketenangan di tepi tasik luas.

Kebun teh seluas mata memandang dan restoran berbentuk kapal yang menjadi mercu tanda kawasan ini pasti menjadi pilihan untuk mengambil gambar. Bagi yang ingin camping di sini, penginapan juga disediakan. Pelbagai aktiviti seperti memancing, berbasikal di gunung, menaiki rakit di tasik, memetik teh dan buah strawberi, atau sekadar gathering bersama teman-teman dan keluarga.

Foto Kredit: log.viva.co.id

5. De Ranch Lembang

Kawasan bertemakan ‘cowboy’ merupakan antara tarikan lain di kawasan Lembang. Di sini, pengunjung berpeluang untuk mengenakan pakaian bertema ‘cowboy’ dan menunggan kuda sambil menikmati keindahan alam semulajadi.

Pengunjung juga dapat didedahkan dengan cara penjagaan kuda dan lembu serta berpeluang untuk memerah susu lembu sendiri. Selain itu, tempat ini juga menawarkan aktiviti outdoor lain seperti memancing, flying fox dan memanah.

Foto Kredit: youtube.com

6. Dusun Bambu Family Leisure Park

Bila sampai sahaja di sini, anda sudah dijemput dengan kenderaan berhias untuk membawa ke puncak Dusun Bambu. Di situlah lokasi gazebo terkenal yang berbentuk sarang burung terletak. Terdapat juga beberapa chalet dengan pemandangan cantik untuk bermalam di sini.

Kanak-kanak juga boleh meluangkan masa dengan ke taman permainan ‘The Labyrinth’ serta taman arnab yang comel. Terdapat pelbagai restoran untuk anda menjamu selera di sini sambil menikmati pemandangan indah.

Foto Kredit: margatour.com

7. Ciwidey Valley Hotspring

Nikmati air panas semulajadi di Ciwidey Valley Hotspring. Kawasan ini pasti menarik minat tidak kira kanak-kanak atau dewasa kerana gelongsor airnya yang pelbagai dan pemandangan yang mendamaikan.

Pengunjung boleh menginap di cottage yang disediakan atau berkhemah di kawasan terbuka. Taman tema air ini juga mempunyai taman burung yang luas serta restoran untuk menjamu selera setelah penat bermain.

Foto Kredit: ciwideyvalley.com

8. Ranca Upas

Selain Kawah Putih dan Hotspring, Ciwidey juga mempunyai kawasan unik lain iaitu kawasan pemeliharaan rusa di Ranca Upas. Ranca Upas adalah pusat pemeliharaan rusa dan dataran perkhemahan yang terkenal di Bandung.

Jangan lepaskan peluang untuk mendekati dan memberi makan kepada rusa jinak. Aktiviti lain juga turut disediakan seperti mandi air panas, berkayak dan outbound iaitu permainan outdoor berkonsepkan treehouse.

Foto Kredit: ksmtour.com

9. Saung Angklung Udjo

Dalami dengan lebih dekat lagi kekayaan Budaya Sunda dengan berkunjung ke Saung Angklung Udjo. Angklung merupakan alatan muzik tradisional Sunda yang terkenal diperbuat daripada buluh.

Di sini anda boleh menonton pertunjukan tarian dan wayang golek serta mencuba bermain angklung sendiri. Kawasan ini dibangunkan untuk mengekalkan tradisi masyarakat Sunda supaya tidak ditelan arus pemodenan Indonesia.

Foto Kredit: youtube.com

10. Kopi Luwak Cikole

Bagi peminat kopi, anda boleh mencuba kopi eksotik ini. Digelar sebagai kopi musang (luwak), biji kopi ini terhasil daripada biji kopi yang dimakan oleh musang dan dikeluarkan semula melalui najis yang kemudiannya dibersihkan. Sejak kurun ke 19, kopi ini semakin mendapat sambutan dan menjadi salah satu kopi termahal di dunia.

Namun jangan risau, kopi luwak ini di sini telahpun mendapat sijil Halal dan mengikut proses pembersihan yang teliti serta diiktiraf. Mereka juga akan menunjukkan proses pembuatan kopi luwak secara lebih terperinci di sini.

11. Tangkuban Perahu

Tangkuban perahu ialah satu lagi lokasi kawasan gunung berapi aktif yang terkenal di Indonesia. Tidak seperti gunung berapi lain, kawasan ini berbentuk panjang seakan perahu yang terbalik persis namanya.

Kawasan ini juga berada di dataran tinggi serta dikelilingi oleh kebun teh. Gunung berapi aktif ini juga menghasilkan belerang dan air panas mengalir di kaki bukitnya. Seperti di Kawah Putih, jangan lupa untuk membawa topeng muka untuk menghalang daripada terbau belerang yang kuat. Anda pasti akan kagum dengan keindahan mercu tanda kebanggan Bandung ini.

Foto Kredit: republika.co.id

12. Trans Studio Bandung

Bila sudah di Bandung, jangan lepaskan peluang untuk mencuba salah satu roller coaster terlaju di Asia dengan kelajuan 120 km/j. Taman tema indoor terbesar di Indonesia ini terbahagi kepada tiga kawasan iaitu Studio Central, Lost City, dan Magic Corner.

Kanak-kanak juga dapat mempelajari sains dengan santai di sini di bahagian Science Centre. Setelah penat bermain, boleh membeli belah dan menjamu selera di Trans City Mall di tingkat bawah atau menginap di salah satu hotel bertaraf 5 bintang di Bandung iaitu The Trans Luxury Hotel.

13. Paris Van Java

Bagi anda yang sukakan shopping, mall ini menyediakan pelbagai pilihan kedai berjenama dari serata dunia serta kafe dan restoran bertaraf antarabangsa. Selain itu, terdapat juga pawagam dan tempat meluncur ais, taman permainan, gym, dan kedai buku.

Dengan rekabentuk bercirikan ala Paris, pusat membeli-belah berkonsep semi outdoor ini boleh dikatakan antara yang termoden di Bandung.

Foto Kredit: wikimapia.com

14. Jalan Asia Afrika

Seperti sebuah time tunnel, anda dapat menelusuri sejarah di Bandung melalui jalan ini. Dikelilingi dengan bangunan bersejarah seperti Muzium Asia Afrika, kadangkala ada yang membuat persembahan di tepi jalan.

Setiap malam Sabtu, kawasan ini akan ditutup daripada dimasuki kenderaan dan anda dapat berjalanan-jalan sambil menikmati kopi di kafe sekitar Jalan Braga yang terkenal dengan jolokan sebagai art street.

Foto Kredit: wego.co.id

15. Rumah Mode & Pasar Baru

Terkenal dengan syurga shopping, ada banyak tempat menarik di Bandung yang boleh anda terjah. Bagi yang tak berapa minat nak shopping, lawatan ke Pasar Baru dan Rumah Mode sahaja sudah memadai. Pasar Baru ialah pasar membeli belah 7 tingkat yang padat dengan kain ela, telekung, pakaian, ole-ole serta batik pelbagai pilihan. Rumah Mode pula adalah factory outlet untuk mendapatkan barangan berjenama dengan harga yang murah. Sampai boleh jadi rambang mata.

Satu hari suntuk pun mungkin tak cukup untuk pusing di salah satu mall ini. Di dalamnya dipenuhi ada terlalu banyak pilihan menawarkan barangan yang diingini dengan harga yang berbaloi.

Banyaknya Tempat Menarik Di Bandung!

Kota Bandung tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar Kota Fesyen semata-mata. terdapat pelbagai kawasan pelancongan yang menarik perlu diterokai di sini. Kawasan gunung berapinya serta lokasi alam semulajadinya yang lain pasti akan memberikan pengalaman baru bagi anda. Bandung juga menyediakan kawasan sesuai untuk kunjungan seisi keluarga terutamanya yang mempunyai ternakan dan pemuliharaan haiwan serta taman tema.

Anda pasti akan merindui Bandung setelah pulang ke tanah air nanti kerana keindahannya yang sering terpahat di ingatan.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×