Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia terutamanya peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila beliau telah diangkat menjadi Biduanita Negara! Penyanyi dan usahawan terkenal itu menerima Anugerah Khas Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, malam 13 November 2024.
Semestinya, anugerah ini ‘memuaskan’ hati ramai kerana Siti Nurhaliza atau mesra disapa Tokti merupakan penyanyi nombor 1 negara dan membawa nama Malaysia ke persada dunia.
Baca juga: [VIDEO] Hasilkan Potret Siti Nurhaliza Pula Guna Rubik Cube, Dah 1 Juta Tontonan!
SITI NURHALIZA BIDUANITA NEGARA TERBAHARU, SAMBUNG LEGASI SALOMA & SHARIFAH AINI
Untuk pengetahuan semua, Anugerah Biduan Negara ialah sebuah anugerah di Malaysia yang dikurniakan kepada seniman dan seniwati negara yang mempunyai jasa dan sumbangan besar kepada negara itu. Penerima anugerah sering digelar dengan Biduan Negara bagi lelaki dan Biduanita Negara bagi penerima wanita.
Penyampaian anugerah kepada Datuk Siti Nurhaliza semalam telah disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia. Sempena gelaran Biduan Negara itu, Siti membawa pulang wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
“Kalau ayah saya ada mesti dia bangga…”
Siti yang terharu dengan pengiktirafan tersebut telah memanjat rasa kesyukuran dengan apa yang diterimanya dan mengakui anugerah tersebut hadir dengan tanggungjawab yang besar untuknya terus menabur bakti dalam bidang dicintainya sejak tiga dekad lalu.
Menerusi satu sesi temu bual di radio Kool 101 pagi tadi, Siti meluahkan rasa sedihnya apabila terkenangkan arwah bapa yang telah tiada, malah mengimbau kata-kata arwah Tarudin Ismail kepada dirinya suatu masa dahulu. Malah, beliau turut menyebut bahawa dirinya hanyalah seorang gadis yang datang dari kampung untuk mencuba bakat.
“Tapi ada orang sanjung atau tak sanjung, kita biasa sahaja. Pada ketika itu, saya memang mencuba yang terbaik saja. Kalau lirik (lagu Bunga Melur) itu kita dengar balik, ‘Di hujung sana tempatmu, bunga melur, bukan di taman yang indah.”
“Kita di satu tempat yang kadang-kadang kita tak tahu kita akan terus berada dalam keadaan yang okey ataupun tidak. Tapi oleh kerana kita besertakan dengan kesungguhan, dengan niat yang ikhlas, insyaAllah ada tempatnya.
“Bila mendengar bait-bait lirik tu, kita boleh faham apa yang arwah ayah saya maksudkan. Kalau dia ada mesti dia bangga, kan?” kata Siti dalam nada sebak.
Sebelum Siti diangkat menjadi Biduanita negara, gelaran ini pernah disandang oleh dua invidu yang tidak asing lagi dalam bidang seni suara iaitu Puan Sri Salmah binti Ismail (Saloma) pada tahun 1978 dan Datuk Syarifah Aini binti Syed Jaafar (Sharifah Aini) pada Disember 2006.
Dua wanita hebat yang sudah pergi menghadap Illahi ini tetap menjadi inspirasi ramai sehingga kini khususnya dalam kalangan penyanyi. Bukan sahaja berbakat malah disiplin yang dijaga untuk menjadi seorang penghibur yang berkualiti juga turut dititikberatkan.
*Tahniah diucapkan kepada Tokti dan semoga terus berkarya dengan suaramu yang lemak merdu ibarat buluh perindu…
View this post on Instagram
Baca juga: Malaysia Di Tangga Ke-6, ‘Padat’ Dengan Wanita Tercantik Di Asia!
Sumber: Berita Harian, KOOL Fm