Dapur

Rangup Macam Keropok! Ini Cara Buat Bayam Celup Tepung Yang Crispy, Mudah & Sihat

“Budak-budak ni susah betul nak disuruh makan sayur. Habis semua sayur dalam sup dia ketepikan, sorok, lepas tu buang macam tu je.”

Bukan anak-anak saja, ada orang dewasa pun memang liat betul nak disuruh makan sayur. Sampai kita pun naik pening nak fikirkan menu yang boleh pujuk mereka untuk makan sayur.

Bagi yang tengah mencari idea, mungkin boleh cuba bayam goreng tepung yang disumbangkan oleh Puan Widya Wati ini. Menurut beliau, kudapan inilah favourite mereka anak beranak. Rangup krup krap krup krap, macam makan kerepek. Walaupun dulu tak suka sayur, kalau rasa bayam goreng crispy ni sekali mesti terus jatuh cinta.

Jom kita tengok resepinya di bawah.

Resepi Bayam Goreng Crispy Yang Mudah & Sihat

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • Daun bayam
  • Tepung beras 1 cawan
  • Tepung ubi 4 sudu makan
  • Bawang putih 3 biji
  • Bawang merah 1 biji
  • Ketumbar 1 sudu teh
  • Garam / Kiub pati ayam / Perasa (Secukup rasa)
  • Telur 1 biji

Cara-cara

Ini cara nak buat bayam goreng crispy langkah demi langkah.

1. Basuh Bayam

Mula-mula cuci daun bayam bersih-bersih. Kemudian toskan hingga agak kering.

2. Tumbuk Bawang & Ketumbar

Seterusnya, tumbuk halus bawang putih, bawang merah dan ketumbar. Ketepikan dalam satu bekas.

Jika suka pedas boleh tambahkan cili padi pada bahan yang ditumbuk tadi.

3. Bancuh Tepung

Kemudian, bancuhkan tepung beras dan tepung ubi dengan sedikit air beserta bahan-bahan yang ditumbuk tadi.

4. Goreng

Bila dah siap, boleh terus panaskan minyak dalam kuali.

Celupkan daun bayam ke dalam tepung dan gorengkan sehelai demi sehelai daun bayam guna api sederhana kecil.

5. Siap!

Macam biasa, tunggu hingga kekuningan. Angkat dan toskan lebihan minyak. Siap untuk dihidang.

resepi bayam celup tepung

Boleh Simpan Jadi Stok Kudapan

Beginilah hasilnya bila dah siap tadi.

Boleh simpan dalam balang kedap udara supaya tahan lama dan kekal rangup. Bolehlah makan sambil tengok TV atau buat cicah dengan sos sambil minum petang. Tapi biasanya sehari dua saja dah habis makan! Maklumlah, benda sedap kan?

Mudah saja nak membuatnya. Rasanya pun sangat lazat dan mesti buat anda tak berhenti mengunyah. Rugi tak cuba tau. Untung-untung anak-anak makin suka makan bayam lepas ni.

Selamat menjamu selera!

*Resepi bayam goreng tepung ini disumbangkan oleh Wati Bfcar melalui Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran.

Most Popular

To Top