Dapur

7 Petua Buat Bawang Goreng ‘Crispy’ Yang Sedap & Tahan Lama

540
SHARES

“Sedapnya bawang goreng ni… Kalau boleh nak ratah-ratah sampai habis sepaket. Nampak macam senang je nak buat sendiri. Tapi bila aku cuba, kenapa jadi lembek dan tak garing macam yang dibeli ni? Mesti ada petua dan cara buat bawang goreng yang aku tak tahu.”

Masakan akan bertambah sedap apabila ditaburkan dengan bawang goreng. Rasa tak lengkaplah makanan seperti soto, bihun sup, mee jawa, nasi goreng, mee goreng jika tak diserikan dengan taburan bawang goreng.

Walaupun kini dah semakin banyak bawang goreng jenis ready-made, tentu ramai yang ingin cuba membuatnya sendiri di rumah. Tapi, bukan semua percubaan akan ‘menjadi’ pada kali pertama. Bagi yang tak biasa buat, mungkin ada yang terlembek, pahit, dan cepat lemau.

Di sini kami kongsikan beberapa petua dan cara buat bawang goreng yang betul untuk anda cuba.

Foto Kredit: vimeo.com

 

7 Petua Buat Bawang Goreng ‘Crispy’ Yang Sedap & Tahan Lama

1. Cara Kupas & Hiris Bawang

Semasa mengupas, elakkan bawang itu daripada terkena air. Air akan menyebabkan bawang goreng jadi lembab dan susah nak garing. Jadi, sediakan banyak tisu dapur semasa proses mencuci dan menghiris bawang. Selesai kupas kulitnya, lapkan bawang dengan tisu. Bila dah kering, barulah bawang dihiris halus.

Letakkan tisu dapur di bawah hirisan bawang untuk menyerap lembapan atau jusnya yang terkeluar. Atau, tos dan anginkan bawang di dalam dulang selama beberapa jam supaya ia betul-betul kering.

cara buat bawang goreng

2. Taburkan Sedikit Garam

Selain untuk menaikkan rasa bawang goreng, sedikit garam yang ditabur dipercayai dapat mengekalkan kegaringan pada bawang yang digoreng.

Agak-agak saja, jangan banyak sangat sampai tenggelam rasa keaslian bawangnya.

3. Gaulkan Tepung

Seterusnya, gaulkan dengan tepung supaya gorengan akan menjadi lebih rangup. Ada yang suka guna tepung gandum, tepung beras, atau tepung jagung. Setiapnya ada tekstur yang berbeza dan rasa yang unik, jadi terpulanglah nak gunakan yang mana.

Biasanya untuk 1 kg bawang, bolehlah gunakan 1 senduk (5 sudu besar) atau 1  ½ senduk tepung. Perapkan lebih kurang 30 minit sebelum menggoreng.

cara buat bawang goreng

Foto Kredit: indianhealthyrecipes.com

4. Guna Api Perlahan / Sederhana

Panaskan minyak dalam kuali dan mula menggoreng ketika minyak sudah betul-betul panas. Guna api sederhana atau perlahan saja agar bawang goreng betul-betul masak dengan rangup dan tidak hangus.

5. Jangan Selalu Dikacau

Semasa menggoreng, elakkan daripada selalu mengacaunya. Ini akan menyebabkan minyak akan terserap dengan banyak dan sekaligus melemaukan bawang.

Biarkan saja sampai nampak ada yang nak garing di tepi, baru di tukar-tukarkan tempat dengan yang masih putih. Tutup api sebaik saja bawang goreng bertukar warna keperangan / golden brown.

6. Sejukkan & Simpan Dalam Bekas Kedap Udara

Macam biasa, bila dah angkat, toskan dan serap minyak lebihan. Ratakan diatas bekas leper seperti dulang yang berlapik tisu dapur. Ratakan nipis-nipis supaya bawang goreng tadi cepat sejuk.

Lepas dah betul-betul sejuk, barulah dimasukkan ke dalam bekas kedap udara.

Foto Kredit: cookpad.com

7. Pilih Bawang Segar

Mengikut petua, seeloknya guna bawang yang bersaiz sederhana untuk mendapatkan hasil bawang goreng yang paling enak. Selain itu, ia bergantung juga kepada kesegaran dan kualiti bawang yang dipilih supaya bawang goreng yang dibuat betul-betul sedap dan crispy.

bawang merah mengurangkan kolesterol

Foto Kredit: jurnaldeoas.ro

Cubalah, Memang Jimat & Sedap!

Jika anda menganggap cara buat bawang goreng yang dikongsikan ini nampak agak renyah tunggu saja bila dapat hasilnya. Kesedapan bawang goreng homemade tentunya lebih enak, puas dimakan, jimat, dan terjamin mutunya.

Bila dah boleh buat sendiri, tak perlulah beli lagi lepas ini. Malah, tak mustahil anda boleh menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan.

Malah, prosesnya juga pasti akan terasa lebih mudah bila anda dah selalu buat.

Selamat mencuba!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×