Dapur

Cara Buat Bihun Sup Fishball Paling ‘Pemalas’. Tapi Berkhasiat & Lazat!

17.1K
reads

“Aduh, dah lewat ni sempat ke nak masak. Perut pun tengah lapar. Takkan asyik nak telan mi segera saja. Agaknya resepi sup fishball mesti simple juga nak buat, kan? Macam di kedai tu…”

Sup adalah salah satu menu yang paling universal. Kalau buat sup, semua orang boleh makan – tak kiralah anak kecil mahupun yang dewasa, atau orang tua. Boleh dimakan dengan mi, bihun, kuey teow, dan nasi panas sekalipun.

Kali ini kami membawa perkongsian resepi sup fishball ala chinese style oleh Puan Erni Hasniza. Ia memang ringkas, mudah, dan cepat. Rupanya ada ramuan rahsia yang menjadikannya lebih sedap – iaitu minyak bawang putih.

Mari ikuti resepi selengkapnya di bawah.

Cara Buat Bihun Sup Fishball Yang Mudah, Berkhasiat & Lazat

Untuk penyediaan sup ini, paling penting adalah sediakan minyak bawang putih terlebih dahulu. Bagi yang belum tahu, minyak bawang putih ini memang serbaguna. Ia boleh digunakan untuk sup-sup lain atau dimakan dengan bubur nasi. Memang menaikkan selera.

Begini cara penyediaannya.

Cara Buat Minyak Bawang Putih

Bahan:

  • 2 labu bawang putih – diketuk & cincang
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 1 sudu teh minyak bijan (kalau suka)

Cara-cara:

  • Mula-mula, panaskan minyak dan goreng bawang putih dengan api perlahan.
  • Tunggu sampai nampak bawang putih bertukar kekuningan. Sementara tunggu minyak menyejuk nanti bawang akan garing dan perang. AWAS jangan tunggu dah perang baru tutup api, takut nanti bila menyejuk bawang jadi hangit dan pahit.
  • Akhir sekali, titiskan minyak bijan dalam minyak bawang putih tadi dan simpan dalam botol kaca. Kalau ditutup kedap, ia boleh tahan sampai 2 minggu.

Resepi Sup Fishball Chinese Style

Bila dah ada minyak bawang putih, bolehlah kita buat sup yang paling ‘malas’ dan ringkas ini. Tapi, ‘malas-malas’ pun, rasanya sedap sangat tau!

Bahan:

Untuk sup:

  • Kiub / pati ikan bilis
  • Fishball (boleh guna meat ball / chicken ball)
  • Dried kelp (optional, dalam ini saya tak guna)
  • Dada ayam (optional)
  • Lada sulah
  • Garam secukup rasa

Untuk garnishing pula, boleh pilih saja daripada bahan-bahan yang ada di rumah. Antaranya:

  • Sedikit daun sup
  • Daun bawang
  • Daun salad (saya suka romaine lettuce sebab rangup)
  • Isi ayam yang dicarik
  • Sekeping tauhu digoreng & hiris nipis
  • Fishcake digoreng & hiris nipis
  • Minyak bawang putih

*Kalau nak pedas boleh buat cili potong + kicap cair

Cara-cara:

1. Didih Air Bersama Bahan Perasa

Pertama, didihkan air dan masukkan kiub pati ikan bilis. Perasakan dengan garam dan sedikit lada sulah.

*Kalau rajin dan memang ada stok, boleh pakai buat stok ikan bilis buatan sendiri atau dried kelp. Tapi kalau malas, guna kiub pun dah sedap dah.

2. Masukkan Fishball

Bila kuah dah cukup rasa, boleh masukkan fishball. Tunggu mendidih, kecilkan api dan biar merenih.

*Boleh masukkan sekeping isi dada ayam dalam air rebusan tadi. Kalau dah masak, angkat dan carik isi ayam untuk garnishing. Ini untuk maniskan lagi rasa kuah. Kalau tak nak guna ayam pon tak mengapa.

3. Celurkan Mee

Seterusnya, sediakan mangkuk hidangan. Boleh guna bihun/mee kuning/mee wantan/kuey teow /apa-apa saja jenis noodle yang anda suka. Celur dan toskan.

4. Garnishing

Kemudian, untuk garnishing boleh letak apa-apa saja bahan yang disukai. Antaranya daun sup, daun bawang, duan salad, tauhu, isi ayam yang dicarik, fish cake yang digoreng, atau apa saja bahan lain yang anda suka.

Kalau suka pedas, boleh letak cili potong dan kicap cair.

5. Sedia Dihidang!

Dah siap semua bahan, boleh tuangkan sup panas dalam mangkuk noodle tadi. Jangan lupa, akhir sekali kita letak minyak bawang putih yang dibuat awal-awal tadi. Hidangkan panas-panas memang ‘terangkat’. Slurppp!

resepi sup fishball

Mudah, bukan?

Daripada makan mee segera, lagi bagus sediakan sup begini. Lagi sihat, lebih-lebih lagi kalau ada stok bilis homemade. Tak susah pun membuatnya. Boleh rujuk caranya di SINI.

 

*Perkongsian resepi sup fishball ini adalah oleh Puan Erni Hasniza Binti Ahmad Zaini melalui Facebook Group Masak Apa Hari Ni (MAHN).

**Bukan saja berpengalaman dalam bidang masakan, Puan Erni mengambil tempahan pelbagai jenis kek, tart, lasagna dan brownies yang pasti membuat anda rambang mata! Ikuti Fanpage beliau, Cakes & Bakes by ERNI. Tempahan dibuka sekitar KL, PJ, Kajang, Putrajaya dan kawasan-kawasan berdekatan. Perkhidmatan delivery juga disediakan dengan minimum order 20pax ke atas.

Yang Popular

To Top