Asuh

Cara Buat Stok Ayam & Bilis Untuk Bubur Bayi. Tanpa Garam & MSG!

5.4K
SHARES
cara buat stok ayam

Dalam resipi makanan bayi yang lalu ada kami kongsikan coretan Puan Nor Dahlia tentang cara membuat makanan bayi untuk ibu yang super sibuk!

Kali ini, mari lihat cara buat stok ayam dan ikan bilis untuk melengkapkan resepi bubur bayi. 100% tanpa MSG atau garam. Ianya boleh disimpan dan digunakan apabila menyediakan makanan bayi di rumah. Juga mudah dibawa ‘travel’.

Tapi, sebelum itu, ibu-ibu tahukah kenapa kita perlu mengelakkan MSG, terutamanya dalam makanan anak-anak?

cara buat stok ayam untuk resepi bubur bayi

Elakkan penggunaan kiub segera, lebih-lebih lagi dalam makanan bayi. / Foto Kredit: dailymail.co.uk

Apakah MSG? Kenapa MSG Bahaya Untuk Kesihatan?

MSG atau nama panjangnya Monosodium Glutamate adalah bahan perasa tiruan atau aditif yang selalu digunakan dalam makanan yang diproses atau berpek. Kadangkala, ia juga digunakan dengan nama lain.

Penggunaan bahan perasa seperti ini biasanya boleh terdapat dalam kiub-kiub segera, sup cendawan dalam tin, atau makanan ringan. Ianya boleh memberi pelbagai kesan sampingan sekiranya diambil secara kerap dan berlebihan.

Malah, menurut Portal Pusat Maklumat Rakyat, ia adalah salah satu punca obesiti paling utama dalam masyarakat masa kini yang suka ‘makanan segera’ akibat kekangan masa. Ada juga yang boleh ketagih dengannya. Jadi, sebab itulah ibu-ibu perlu mengelakkan MSG ini sebanyak mungkin.

Kalau anda tahu cara buat stok atau perasa sendiri, sebenarnya ia tidaklah begitu sukar. Luangkan sedikit masa pada hujung minggu, dan anda boleh menyimpannya sepanjang minggu, atau hingga minggu berikutnya. Bergantung kepada cara penyimpanan.

Cara makan sihat

Kalau dibiasakan makan MSG, anak-anak boleh ketagih dan tidak suka kepada makanan segar lagi berkhasiat. / Foto Kredit: rosarossaonline.org

Khasiat Ayam & Ikan Bilis Melengkapkan Resepi Bubur Bayi

Ayam dan ikan bilis umumnya memang kaya dengan sumber protein yang penting untuk perkembangan anak-anak. Kita juga selalu mendengar petua memakan sup ayam apabila demam, kan? Ini kerana ayam turut mengandungi tonik untuk melindungi kita daripada penyakit.

Selain mengawal selia sistem imunisasi dalam tubuh badan, ikan bilis turut membantu memberi seribu satu manfaat terhadap pembentukan tulang, penglihatan, dan termasuklah untuk fungsi jantung.

Jika anda teragak-agak untuk memperkenalkan sumber haiwan kepada bayi, inilah sumber pertama yang dapat diberikan kepada bayi. Mulakan dengan kuantiti kecil, dan pastikan tiada sebarang reaksi terhadap bayi. Kemudian, bolehlah anda menambahnya sedikit demi sedikit apabila tiada alahan.

resepi bubur bayi

Stok ayam boleh digunakan terus untuk menyedapkan bubur, lebih sihat kalau dibuat sendiri. / Foto Kredit: dvconline.net

1. Cara Buat Stok Ayam

Enaknya bubur ayam! Bukan anak kecil saja yang menyukainya, malah orang dewasa turut menggemarinya.

Resepi bubur ayam untuk bayi boleh disediakan dengan lebih mudah jika anda mempunyai stok ayam yang telah tersedia dalam peti sejuk. Kalau nak tunggu ayam beku mencair, mungkin akan mengambil masa yang agak lama.

Dengan membuat stok ayam sendiri, anda boleh menambahkan sayuran seperti daun saderi atau herba seperti halia untuk memberi lebih keberkesanan terhadap ketahanan badan bayi.

Lihat caranya di bawah:

Bahan-bahan:

– Daging ayam seperti leher atau mana-mana bahagian tulang ayam yang lain. Kalau ada kaki ayam, buangkan kukunya terlebih  dahulu.

– Lobak merah

– Daun saderi (‘celery’)

– Bawang besar – 1 biji

– Bawang putih – 1 labu (Dilebihkan kerana bawang putih banyak khasiat untuk bayi. Bayi yang kurang suka, boleh kurangkan sedikit)

‘Baby tomato’ dipotong dua / tomato besar dipotong dadu

– Bunga lawang (jika ada)

– Cuka epal / lemon (untuk keluarkan khasiat dari tulang ke dalam kuah)

Nota: Guna periuk ‘stainless steel’ untuk memasak. Tidak disarankan mengguna periuk aluminium kerana asid dalam lemon atau cuka akan bertindak balas dgn aluminium.

cara buat stok ayam

Cara Penyediaan Stok Ayam

 

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan dalam periuk. Letak air sehingga hampir penuh.

2. Renehkan atau ‘slow cook’ selama 12 jam. Kalau tak larat tunggu, cukuplah sekitar 2-4 jam. (Pastikan ayam empuk dan terlerai daripada tulang. Ada petua mengatakan renehkan sehingga air berkurang kepada 1/3 periuk)

3. Padam api. Tapiskan isi daripada airnya. Kita ambil airnya. Isinya boleh digunakan untuk masakan biasa seperti nasi goreng atau sandwich ayam. Nak kisar untuk diletakkan dalam bubur bayi pun boleh.

4. Apabila air rebusan tadi sejuk, tuangkan dalam bekas kiub ais. Stok ayam terbaik kalau jadi kenyal dan jernih, macam ‘jelly’.

5. Kalau nak guna, masukkan dalam bubur nasi atau oat. Panaskan atas periuk selama 4-5 minit.. Siap!

 

2. Cara Buat Stok Ikan Bilis

Di sebalik ikan bersaiz kecil ini, ia mengandungi keperluan vitamin A, kalsium, kalium, serta selenium yang penting untuk fungsi perkembangan badan.

Jadi, memang bagus kalau ikan bilis ditambah dalam resepi bubur bayi, terutamanya yang berusia 7 bulan ke atas.

Walaubagaimanapun, pastikan ibu-ibu mengkisarkan ikan bilis ini sehingga betul-betul halus agar bayi tidak tercekik semasa memakannya.

Lihat cara buat stok ikan bilis yang betul di bawah.

Bahan-bahan:

– Ikan bilis – Kopek dan bersihkan. (Buang bahagian kepala dan ‘tahi’nya yang berwarna hitam)

Cara-caranya:

1. Rendam dalam peti ais 24 jam / semalaman

2. Keluarkan dari peti dan tos kan.

3. Sangai (goreng tanpa minyak)

4. Gorengkan sampai garing.. (Jangan hangus pula ya)

5. Kisarkan guna ‘blender’

6. Ayak. Simpankan bahagian yang halus untuk bayi.

7. Simpankan dalam peti ais. Siap!

8. Kalau nak makan. Ambil sedikit dan campurkan terus ke dalam bubur. Mudah, kan?

cara-buat-stok-bilis

 

 

Bukan Hanya Untuk Bayi

Stok ini bukan saja berguna untuk melengkapkan resepi bubur bayi, malah ia juga boleh dipakai dalam masakan seisi keluarga. Tentulah pilihan ini lebih sihat berbanding berbanding yang telah dicampurkan MSG di pasaran!

Resepi bubur bayi tentunya lebih berkhasiat apabila ditambah dengan stok ayam dan stok ikan bilis yang asli dan dibuat sendiri. Anda dapat menggunakannya tanpa ragu-ragu. Seperkara lagi, ianya bebas pengawet dan bahan-bahan yang meragukan kerana anda dapat memilih sendiri bahagian ayam atau ikan bilis yang terbaik untuk anak anda.

Untuk merujuk panduan pemakanan bayi yang lengkap, lihat pautan Panduan Pemakanan Bayi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia di sini. : http://www.moh.gov.my/images/gallery/Garispanduan/GPBaby.pdf

*Entri terdahulu tentang cara membuat makanan bayi berkhasiat boleh dirujuk di sini: Cara Sediakan Makanan Bayi Berkhasiat Untuk Ibu Yang Super Sibuk

**Bagi ibu-ibu yang ‘super-duper’ sibuk dan masih inginkan makanan terbaik boleh mendapatkan produk-produk makanan bayi seawal 6 bulan dari Izliyah Baby Food di talian 0108953164.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×