Dapur

5 Tips Masak Macam Lipas Kudung Bagi Ibu Yang Ada Anak Kecil. Lagi Sihat & Jimat Banyak

6.5K
SHARES

“Adui, letihnya hari ni. Dah lewat pulak tu, terpaksa tapau luar lagilah nampaknya. Kesian budak-budak tu asyik makan bungkus je. Macam mana nak buat ya…”

Kita sebagai ibu kalau boleh mesti nak memasak juga untuk anak. Bukan sekadar nak berjimat, tapi makanan yang disediakan sendiri lagi terjamin bersih dan sihat. Sesekali makan luar tak apalah, tapi kalau selalu sangat rasa kasihan pula kan?

Apa kata ibu-ibu cuba tips uruskan makanan seperti yang dikongsikan oleh Puan Khalida Mahsari ini. Menurut beliau, inilah rutin yang biasa dipraktikkan memandangkan jadualnya yang padat sebagai seorang ibu yang kini sedang melanjutkan pengajian di IPT.

Kadang-kadang kita memang rasa tak cukup masa nak memasak untuk keluarga dan anak-anak. Tapi sebenarnya, ada cara untuk memudahkan kita memasak kalau kita dapat rancang dan uruskan bahan dapur dengan efisyen.

Jadi, jom kita tengok tips yang dikongsikan oleh Puan Khalida di bawah ini.

5 Tips Masak Macam Lipas Kudung Bagi Ibu Yang Ada Anak Kecil

Ada beberapa tips yang saya nak kongsikan supaya kita dapat memasak dengan cepat untuk anak dan suami.

Yalah, kadang-kadang memang rasa susah nak masak sebab suami nak makan benda lain, untuk anak-anak pula kena masak benda lain.

Diharapkan dengan beberapa tips ini, dapat memudahkan kerja ibu setiap hari.

1. Potong Sayur Siap-siap, Simpan Dalam Bekas

Sayur-sayur saya akan potong siap-siap dan simpan dalam plastik macam ni. Jadi bila nak masak dah senang, tak payah nak pakai cari pisau, chopping board, buang kulit, dan sebagainya. Tinggal nak dimasukkan dalam kuali saja.

Kalau sayuran yang dah siap dipaketkan dengan elok, saya tak usik dah sebab boleh susun elok. Biasanya dalam 3 minggu, sayur ni masih elok lagi. Nak lagi tahan, boleh lapik tisu dalam setiap plastik. Guna bekas tupperware pun boleh buat cara yang sama dan rajin-rajin gantikan tisu bagi tahan lama.

Ziplock plastic bag yang comel ni saya beli jenama SimplyLiving di Giant Setapak. Harganya RM6.95 sepaket.

cara simpan makanan bayi

2. Pes Tomato Homemade Serbaguna

Tomato kaya dengan khasiat Vitamin A dan Vitamin C. Ia juga memberi rasa yang enak dalam masakan anak-anak.

Jadi, ibu-ibu boleh buat pes tomato untuk disimpan sebagai stok.

Nanti boleh gunakan untuk masak spaghetti bolognese, tomyam, dan buat nasi tomato pun sedap. Bukan untuk bayi saja, boleh masak untuk satu keluarga menggunakan pes tomato ni.

Bahan-bahan

  • 2 biji tomato masak
    1 biji capsicum merah
  • 1 batang carrot
  • 1/2 batang celery
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih

Cara-cara

i) Kisar semua bahan dengan air yang cukup. Masak sehingga hilang air dan agak pekat pesnya.

ii) Sejukkan pes tomato yang dah siap dan dan boleh terus bekukan dalam ice tray.

Kalau simpan dalam chiller boleh tahan 5 hari, dan kalau dalam freezer tahan 3 bulan.

cara simpan makanan bayi

3. Stok Santan Frozen

Masakan kita mesti lebih sedap kalau pakai santan asli kan? Tapi sayangnya jangka hayat santan asli ni taklah lama dibandingkan dengan santan serbuk atau santan dalam kotak.

Jadi, saya lebih suka simpan santan fresh ni dalam kiub ais macam dalam gambar. Bila nak guna, ambillah seketul dua, ikut banyak mana lauk tu supaya bersesuaian dengan kuantiti yang kita perlukan.

Senang, kan?

4. Stok Kaki Ayam Untuk Penambah Rasa Makanan Bayi

Memandangkan kita tak nak bubuh garam dan perasa MSG dalam makanan bayi, jadi eloklah kalau buat chicken feet stock atau stok kaki ayam ni.

Lagipun, ada banyak khasiatnya untuk imuniti bayi.

Bahan-bahan

  • Kaki ayam sepaket
  • Kayu manis bunga lawang
  • Bawang besar 1biji
  • Bawang putih setengah labu
  • Halia beberapa hiris
  • Celery
  • Tomato sebiji

Cara-cara

i) Rebus kesemua bahan di atas, lepas tu guna pressure cooker selama 1-2 jam sampai tulang kaki terlerai.

ii) Masukkan tomato lewat sikit, kira-kira lagi setengah jam nak masak tu barulah bubuh dalam periuk.

iii) Tunggu sejuk dan bekukan dalam ice tray macam pes tomato dan stok kaki ayam tadi.

5. Stok Frozen Goreng-goreng

Tak sahlah kalau tak ada stok frozen macam fries, nugget dan sebagainya dalam peti sejuk dekat rumah kan.

Tapi kalau nak bagi bayi makan yang dijual di pasar raya tu kurang sesuailah sedikit sebab biasanya mengandungi pengawet, garam dan perasa.

Jadi kalau nak lebih sihat dan selamat, hujung minggu bolehlah kita buat stok di rumah siap-siap. Boleh gabungkan dengan sayuran sekali. Sesuai sangat kalau anak tu jenis susah nak makan sayur.

Caranya mudah saja. Saya sertakan resepinya di bawah.

Resepi Nugget Ayam Homemade

Bahan-bahan

  • Isi ayam yang dikisar kasar
  • Telur sebiji
  • Daun bawang
  • Carrot
  • Brokoli

Cara-cara

i) Gaulkan sebati kesemuanya.

ii) Ratakan didalam loyang dan kukus seketika.

iii) Setelah sejuk boleh la dipotong mengikut kreativiti ibu ibu dan sedia digoreng.

Resepi Kentang Goreng Homemade

Bahan-bahan

  • Kentang (dipotong panjang)
  • Tepung jagung
  • Mixed herb

Cara-cara

i) Kentang yang dah dipotong panjang direbus setengah masak. Boleh test cucuk dengan garfu. Kalau dah lembut boleh diangkat, tak perlu sehingga kentang lembik ya.

ii) Toskan kentang, gaul bersama tepung jagung dan mixed herb. (nak goreng baru letak tepung jagung pun boleh)

iii) Siap simpan di dalam freezer.

resepi homemade fries

Jimat Banyak & Lagi Sihat Kalau Masak Sendiri

Walaupun nampak renyah, sebenarnya taklah susah sangat. Cuba setkan masa pada hujung minggu untuk buat mana yang boleh.

Nanti bila nak masak, senang. Semua dah tersedia. Tinggal masukkan dalam periuk atau kuali.

Mudah kan? Semoga tips ini dapat membantu ibu-ibu jimatkan masa memasak di dapur, dan pada masa yang sama tetap berpeluang menyediakan hidangan yang berkhasiat untuk anak-anak.

Selamat mencuba!

 

*Tips cepat memasak ini dikongsikan oleh Puan Khalida Mahsari menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk maklumat lanjut, boleh follow post asal beliau di SINI.

Most Popular

To Top