Dapur

Cara Buat Fishball Homemade Yang Lebih Sihat & Segar Untuk Anak Anda

cara buat fishball homemade

Anak-anak memang suka makanan yang berbentuk bebola, jejari, atau apa-apa yang mudah dipegang, terutamanya anak yang ‘liat’ nak makan nasi.

Sebenarnya tak salahpun kalau sesekali kita jamu anak dengan makanan sebegini, cuma lagi elok kalau kita buat semuanya daripada bahan yang segar dan tanpa pengawet. Kita juga boleh kawal kuantiti gula atau garam yang digunakan supaya sesuai untuk anak kecil.

Sebenarnya caranya begitu mudah. Dalam artikel kali ini, mari lihat cara buat fishball homemade putih jernih selembut sutera hasil olahan Puan Fatimah Naamat.

Cara Buat Fishball Homemade Yang Lebih Segar & Sihat Untuk Anak Anda

Mula-mula, jom tengok bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 500g isi ikan (Kalau nak dapatkan fishball putih jernih selembut sutera, pakai ikan tenggiri atau ikan merah. Janji isinya putih. Saya pernah guna isi ikan kembung, rasanya ok cuma warnanya sedikit kelabu.)
  • 3 sudu tepung jagung
  • Lada sulah secukup rasa
  • Garam secukup rasa

Cara -cara

Berikut adalah caranya langkah demi langkah.

1. Asingkan Isi Ikan

Pertama sekali, asingkan tulang menggunakan sudu untuk keruk isi ikan dari tulangnya.

Boleh simpan bahagian ekor dan kepala buat masak asam pedas. Tulang ikan boleh direbus. Air rebusan tersebut boleh buat rebus fishball nanti.

2. Hancurkan Isi Ikan

Guna food processor untuk hancurkan isi ikan. Buka kejap dan kaupkan sisa ikan yang tak hancur dekat tepi food processor. Buat full speed untuk pastikan semua isinya hancur lebur. Kalau tak ada food processor, boleh juga gunakan blender kering (yang kecil).

Beginilah hasilnya bila dah siap dihancurkan isi ikan tadi. Isi ikan akan melekit pada spatula. Jangan jadikan bebola dulu sebab ia perlu dikenyalkan. Kalau tak, fishball yang terhasil tidak kenyal dan seakan berderai.

3. Kenyalkan Isi Ikan

Proses ini penting sebab ia akan menjadikan protein ikan berubah menjadi kenyal dan melekat sesama sendiri. Isi ikan akan jadi berkilat dan membentuk seperti doh. Ada 3 cara untuk kenyalkan isi ikan ni:

  • Cara manual – Guna tangan dan kepalkan isi ikan. Baling ke dalam mangkuk sampai jadi kenyal, berkilat dan menjadi doh.
  • Guna mixer – Guna mixer dan putar sampai isi ikan jadi seperti dalam gambar. Ambil masa dalam 10 minit bergantung pada kelajuan mixer anda.
  • Guna Disc Doh Roti – Kalau guna food precessor SFP yang saya guna, ia diberi sekali. Beberapa kali saya kaup balikkan isi ikan yang melekat di bahagian atasnya. Ulang langkah dalam masa 10 minit.

4. Masukkan Bahan Lain

Bila dah siap doh ikan tersebut, barulah letak tepung jagung, garam dan lada sulah. Kalau nak letak carrot cincang pun boleh masa ni. Suka hati kalian la nak letak apa ya.

5. Bentukkan Bulat-bulat & Rebus

Panaskan air rebusan ikan dan tunggu mendidih. Basahkan tangan dengan air supaya fishball tak melekat di tangan kalian.

Cubit sikit doh tadi dan bulatkan jadi fishball. Masuk dalam air mendidih. Bila dah terapung baru angkat dan toskan.

Jangan rebus terlebih lama nanti fishball kalian jadi super kenyal. Patah gigi nanti, saya tak tanggungjawab tau.

 

6. Siap!

Ok dah siap bolehlah gunakan dalam apa-apa hidangan kegemaran anda dan anak-anak.

Air rebusannya pula boleh simpan jadi stok ikan. Atau terus buat sup fishball makan dengan mee kuning, bee hoon atai dimakan begitu saja. Gandingkan pula dengan sambal kicap pedas. Oh, indahnya makan sup di masa hujan macam ni!

Boleh Juga Difrozenkan

Fishball ni boleh juga difrozenkan. Nanti bila nak pakai baru keluarkan.

Mudah kalau dah ada stok di rumah. Tak payah lagi beli di kedai. Ramuan dan kebersihannya pun lebih terjamin.

Selamat mencuba.

 

*Cara buat fishball homemade ini disumbangkan oleh Puan Fatimah Naamat. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

Yang Popular

To Top