“Sayur ni baru beli 2 hari lepas, tapi dah mula nak layu dan kekuningan. Kena masak semuanya hari inilah nampaknya. Lain kali nak kena cari cara menyimpan sayur dan barang basah yang betul dalam peti sejuk. Tak payahlah nak ulang-alik ke pasar setiap 2-3 hari.”
Perasan tak, walaupun sayuran dah disimpan dalam peti sejuk, ia masih boleh menjadi layu dan kurang segar walaupun hanya selepas beberapa hari. Sebenarnya terdapat petua dan cara menyimpan sayur dan bahan-bahan mentah ini agar ia tahan lebih lama.
Berikut adalah perkongsian oleh Puan Maslina Misnan yang amat berguna. Ada langkah bergambar yang mudah difahami. Semoga ramai yang boleh merujuk dan mendapat manfaat daripadanya.
Cara Menyimpan Sayur Dan Barang Dapur Supaya Tahan Lama
Berikut adalah langkah demi langkah cara menyimpan sayur dan bahan mentah agar ia kekal segar dan boleh tahan lebih lama.
Cara Menyimpan Sayur
1. Rendam Sayur
Pertama sekali, rendamkan sayuran selama 5-10 minit. Biarkan semua sayuran tenggelam.
Untuk sayuran seperti kangkung dan bayam biasanya akan diasingkan kerana berpasir. Biarkan akarnya, jangan dipotong. Apabila nak masak nanti barulah potong dan bersihkan sekali lagi.
2. Tambah Garam
Taburkan sedikit garam sambil mencuci seperti biasa. Fungsi garam ini adalah untuk mencuci bekas-bekas bahan kimia atau racun serangga yang masih terlekat pada sayuran.
Rendamkan sebentar dalam air garam selama 10 minit.
3. Toskan
Kemudian, toskan sayur dan biarkan selama lebih kurag 5 minit.
4. Simpan Dalam Bekas
Sediakan bekas kedap udara dan susunkan sayuran hijau ini ke dalamnya.
Kalau nak jimatkan ruang, boleh juga menggunakan plastik kedap udara atau ‘ziplock bag’.
5. Ini Hasilnya Selepas 2 Minggu!
Ini stok sayuran Puan Maslina yang telah disimpan selama 2 minggu. Macam tak percaya bukan? Masih segar-bugar macam yang baru dibeli dari pasar!
Cara Menyimpan Sotong, Udang, Dan Ikan
Selain sayuran, Puan Maslina juga menunjukkan cara terbaik untuk anda menyimpan ikan, udang, dan sotong. Ada dikongsikan juga tips menyimpan ayam dan daging. Jom kita baca selanjutnya.
1. Cara Menyimpan Sotong
Mula-mula, cuci sotong dengan air sehingga bersih. Boleh juga dipotong siap-siap.
Kemudian, petuanya letak gula sedikit, dalam 1 sudu, bergantung kepada jumlah sotong.
Fungsi gula ini pula untuk memastikan sotong kekal segar. Mudah-mudahan apabila nak dimasak nanti, isinya akan tetap lembut.
Gaulkan sebati dan bolehlah disimpan ke dalam petia ais bahagian ‘freezer’.
Sebelum memasak, cucikan semula sotong. Ia tidak akan menjejaskan rasa masakan.
2. Cara Menyimpan Udang
Untuk menyimpan udang, caranya lebih kurang sama juga dengan sotong. Mula-mula, cuci bersih dan kemudian taburkan sedikit gula sebelum dimasukkan ke dalam peti ais.
Kalau nak siang dahulu kulit dan kepala pun boleh, tapi jangan terus dibuang kulit dan kepala udang tadi. Ia boleh digunakan lagi untuk membuat stok udang.
Sekiranya ada yang tak suka bubuh gula, boleh juga rendamkan udang dalam air dan disimpan dalam ‘freezer’.
Baiklah, ini kulit dan kepala udang yang telah disiang tadi.
Kita boleh membuat air rebusan udang atau stok udang. Memang sedap kalau dibuat mee rebus udang, char kuew teow, dan sebagainya.
Cuci atau kocak-kocakkan kulit udang ini dengan air bersih. Kemudian, direbus kosong saja dalam periuk atau kuali.
Tunggu sampai mendidih atau nampak macam dah masak. Bolehlah tutup api.
Kemudian, tapiskan kulitnya. Ada juga yang menggunakan kulit udang ini untuk di‘blend’ atau dikisar dengan sedikit air. Kemudian ditapis lagi untuk mendapatkan patinya. terpulanglah kepada anda suka yang macam mana ya.
Sejukkan sebentar dan bolehlah disimpan dalam peti sejuk seperti biasa. Memang menyedapkan masakan!
3. Cara Menyimpan Ikan
Seterusnya, ini cara menyimpan ikan.
Ikan semua boleh disiang, buang perut, dan dipotong terlebih dahulu. Tapi, petuanya jangan dibasuh supaya kekal segar.
Masukkan ikan beserta darah-darah ikan ke dalam bekas. Jangan risau, ia tidak akan menjejaskan rasa ikan dan baunya tidak akan melekat pada bekas apabila disimpan dalam ‘freezer’.
Lain-lain Tips Penyimpanan Bahan Mentah
- Ayam – Cuci bersih dan terus simpan ke dalam ‘freezer’.
- Daging – Kalau nak potong dahulu, boleh. Tapi, tak perlu cuci dan terus simpan dalam ‘freezer’. Bila nak guna baru cuci bersih.
- Cara buat stok ayam dan daging guna cara merebus juga. Rebuskan ayam dan daging sampai separuh masak. Air rebusan boleh disimpan untuk dijadikan stok.
Gambar di atas ini adalah stok Puan Maslina dalam ‘freezer’ peti sejuknya. Yang atas adalah stok ayam, stok daging, stok udang, dan pes sambal. Jadi, bila nak masak, tinggal panaskan saja.
Yang di bawah adalah daging, ayam, ikan, dan sotong mentah. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada ibu-ibu dan semua yang suka memasak. Bahan dapur tahan lebih lama, nak masak pun senang, bukan?
Selamat mencuba!
*Perkongsian asal oleh Puan Maslina Misnan ini adalah melalui Facebook Group Masak Apa Hari Ini (MAHN) dan ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Beliau berkebolehan memasak pelbagai jenis makanan dan turut mengambil tempahan. Boleh follow Facebook beliau di sini.