Dapur

Tak Payah Beli Lagi. Ini Cara Membuat Bawang Goreng Yang Lebih Rangup & Wangi

cara membuat bawang goreng

“Alahai, tak berapa sedaplah bawang goreng yang dibeli ni. Potong stim betul nak makan dengan nasi goreng favourite aku. Kalau rangup-rangup memang boleh licin aku ratah macam tu aja.”

Bawang goreng memang selalu dijadikan bahan penghias makanan atau pelengkap selera bagi mereka yang begitu meminatinya. Hampir semua hidangan sesuai ditaburkan dengan bawang goreng. Tak kiralah sup ayam, mee goreng, soto dan sebagainya. Makan dengan nasi putih dan telur goreng pun dah cukup sedap. Ada pula yang boleh makan bawang goreng ni sebagai snek begitu saja.

Sebenarnya tak susah pun nak buat bawang goreng sendiri di rumah. Bahkan, lebih terjamin kebersihan dan bahan-bahannya. Tak payah beli lagi, rujuk saja langkah yang ditunjukkan oleh Puan Shida ini. Anda pasti boleh hasilkan bawang goreng yang sedap, wangi dan rangup!

Cara Membuat Bawang Goreng Yang Lebih Rangup & Wangi

Berikut adalah langkah-langkah dan cara membuat bawang goreng yang cukup mudah. Ikutlah sebiji-sebiji, insha Allah hasilnya memang terbaik dan setanding macam di kedai.

1. Kupas

Mula-mula mestilah kena kupaskan kulit bawang putih dan bawang merah dulu.

2. Hiris

Kemudian, hiriskan nipis-nipis macam dalam gambar di bawah ini.

3. Gaul Dengan Garam

Seterusnya kita gaulkan dengan 1 sudu teh garam.

4. Masukkan Tepung Beras

Sekarang kita masukkan pula 2-3 sudu tepung beras.

Gaulkan hingga merata ke semua bahagian bawang yang telah dihiris tadi.

5. Goreng

Gunakan guna minyak yang penuh supaya dapat menutupi semua bawang yang nak digoreng nanti. Tunggu minyak panas dan lepas itu, kita bolehlah gorengkan macam biasa.

Guna api sederhana saja supaya bawang goreng betul-betul masak dengan rangup dan yang penting, tak cepat hangus.

Tunggu hingga garing dan nampak keperangan macam dalam gambar di bawah ni.

6. Angkat & Tos

Bila dah nampak masak macam ni, bolehlah diangkat dan ditoskan untuk dibuang minyak berlebihan.

7. Sejukkan & Simpan

Akhir sekali, simpankan bawang goreng ke dalam bekas kedap udara. Jangan tutupkan bekas masa masih panas-panas ya, tunggu sejuk dulu baru simpan.

cara membuat bawang goreng

Siap, Dah Boleh Makan!

Beginilah hasil bawang goreng yang dah siap dimasak tadi. Dah bolehlah dimakan dengan makanan kegemaran anda. Tak payah ke kedai nak membelinya lagi.

Mudah sungguh kan? Kos nak membuatnya pun tersangatlah jimat. Jadi, bolehlah cuba buat sendiri saja nanti ya.

 

*Cara membuat bawang goreng homemade yang dikongsikan oleh Puan Shida ini telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang tips dan pertanyaan, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

 

 

Yang Popular

To Top