Dapur

7 Tips Masak Nasi Goreng Yang Lebih ‘Power’ Di Rumah

361
SHARES
resepi nasi goreng

“Tiap-tiap hari bungkus nasi goreng, padahal bukannya susah sangat nak masak nasi goreng kat rumah. Kenapa aku masak nasi goreng tak sama rasanya macam di kedai? Nak ikutkan, bahan yang aku guna lagi banyak daripada diorang. Apa rahsia tukang masak tu?”

Nasi goreng memang menjadi makanan kegemaran rakyat Malaysia. Selain menjadi ‘menu penyelamat’ dari membazir nasi dan lauk lebih, ia begitu mudah diolah mengikut citarasa. Ada yang suka nasi goreng kampung, nasi goreng cilipadi, nasi goreng Cina, nasi goreng ikan masin, nasi goreng cili kering, nasi goreng tomyam, dan macam-macam lagi.

Walaupun caranya mudah, tak semua orang dapat menghasilkan nasi goreng seperti yang diidamkan. Ramai yang membandingkan nasi goreng di kedai berbanding nasi goreng di rumah. Mari kita singkap beberapa cara membuat nasi goreng yang lebih lazat seperti di kedai / warung kegemaran anda!

7 Tips Masak Nasi Goreng Yang Lebih ‘Power’ Di Rumah

Sebenarnya ada banyak cara memasak nasi goreng. Terpulang pada anda untuk menyesuaikan dengan citarasa. Berikut adalah beberapa tips yang mungkin dapat membantu, terutamanya mereka yang bujang atau belum biasa memasak.

1. Guna Nasi Sejuk / Kering

Pertama sekali, penting untuk kita menggunakan nasi yang kering. Selalunya mak-mak kita gunakan nasi lebihan yang disimpan dalam peti sejuk. Barulah dapat tekstur yang cantik dan berderai.

Kalau tak ada nasi lebihan, boleh juga gunakan nasi yang baru dimasak, tapi kena anginkan dulu dan sejukkan sebentar supaya ia tak melekat-lekat apabila dimasak.

Foto Kredit: siamsizzles.com

2. Tumis Dengan Api Besar

Seterusnya, kena pastikan kuali betul-betul panas sebelum memasak. Seeloknya tumis perencah seperti bawang, bilis, dan cili menggunakan api besar. Tunggu hingga garing, tapi awas, jangan pula sampai hangus ya!

Bila dah selesai menumis perencah, bolehlah perlahankan sedikit api, terutamanya semasa memasukkan nasi.

Foto Kredit: gettyimages.co.jp

3. Renjiskan Minyak Bijan

Kalau anda perasan, sesetengah nasi goreng mengeluarkan aroma yang sangat wangi dan menyelerakan. Lain daripada lain!

Untuk menjadikan nasi goreng lebih beraroma, anda boleh renjiskan sedikit minyak bijan. Kalau tak ada, boleh juga gunakan merjerin / mentega.

Selain untuk menambahkan aroma, ibu-ibu percaya minyak bijan ini boleh mengelakkan nasi daripada menjadi keras.

Foto Kredit: zpravodajstvi24.cz

4. Cara Masukkan Telur

Kadangkala, ada yang tak ‘passed’ bab masukkan telur sampai ia menyebabkan nasi goreng melekit. Ada 2 cara anda boleh memasukkan telur dalam nasi goreng sama ada pada awal atau akhir masakan.

Bagi yang suka masukkan telur awal-awal, boleh pecahkan telur dulu, asingkan, dan kemudian baru tumis bahan perencah. Boleh juga tumis rempah dulu, ketepikan sikit, dan pecahkan telur di sebelahnya.

Bagi yang biasa masukkan telur pada akhir masakan, ketepikan nasi atau boleh buat ‘lubang’ di tengah-tengah nasi yang hampir siap digoreng rata. Pecahkan telur dan biar sebentar. Bila telur yang dipecahkan dah agak kental, baru gaulkan bersama nasi.

Foto Kredit: seriouseats.com

5. Belacan

Walaupun ramai yang kata tak suka belacan, sebenarnya salah satu bahan perasa yang paling ‘power’ dalam nasi goreng adalah belacan. Lagi sedap kalau bakarkan sedikit belacan di atas api.

Kalau tak ada belacan, atau ada yang alergi, bolehlah gantikan dengan udang kering atau ikan bilis yang ditumbuk halus.

6. Guna Lebihan Ikan Goreng

Selain belacan, satu lagi ‘senjata rahsia’ dalam ramuan nasi goreng adalah isi ikan. Kalau ada baki lebihan ikan goreng, ambil isinya dan tumbuk sekali bersama bawang untuk dibuat perencah.

Kalau tak ada ikan goreng, boleh juga gunakan isi ikan dalam lauk-pauk semalam. Basuhkan sedikit dan buat cara yang sama. Rasa ikan yang lebih lemak ini dapat membuat rasa nasi goreng anda lebih ‘ummmph’! Tak perlu pakai ajinomoto atau sebarang serbuk perasa tambahan lain lagi.

Foto Kredit: youtube.com

7. Petua Gaul Nasi Dengan Garam

Akhir sekali, mungkin ada di antara anda yang selalu masak nasi goreng dengan garamnya yang tak sekata. Kadang-kadang tergigit garam, haru!

Jadi, cuba gaulkan garam bersama nasi di dalam bekas sebelum memasukkannya ke dalam kuali. Masukkan sedikit demi sedikit. Untuk lebih selamat, gunakan garam halus. Kacau rata dan kemudian, rasalah sedikit.

Oh ya, kalau dah banyak ikan bilis, bolehlah kurangkan sedikit jumlah garam ya.

www.thepennyhoarder.com

Selamat Memasak!

Mudah saja bukan? Apapun, ia memerlukan latihan demi latihan. Bila dah pandai mengagak, dah tentu anda tak kekok lagi.

Semoga dengan perkongsian ini, anda boleh memasak aneka nasi goreng dengan lebih konfiden dan kreatif.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×