“Tak retilah aku nak jaga baby ni. Asal aku yang dukung, mesti menangis… Kalau dengan ibu dia elok je.”
Secara semulajadinya, tidak susah bagi seorang bayi atau anak kecil untuk rapat dengan ibu mereka. Ini kerana, hubungan istimewa ini telah wujud sejak bayi berada dalam kandungan lagi. Oleh itu, tidak hairanlah jika kita terdengar anak kecil atau bayi yang suka ‘berkepit’ dengan ibunya.
Namun, tahukah anda bahawa seorang ayah sebenarnya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam perkembangan seorang anak?
Ayah Punya Peranan Besar Dalam Keluarga
Selama ini, kita mungkin menganggap ibulah yang lebih penting dalam sebuah rumah tangga kerana ibu banyak meluangkan masa dengan anak berbanding ayah. Tetapi, Claire Vallotton mengetuai sebuah penelitian dan membuktikan sebaliknya.
Contohnya, penelitian tersebut mendapati stres yang terjadi pada Ayah boleh mengganggu perkembangan bahasa dan kognitif pada anak usia 2 hingga 3 tahun. Kesihatan mental pada ibu dilihat kurang memberi impak kepada anak berbanding ayah. Malah, masalah kemurungan anak-anak dalam jangka masa panjang lebih kuat dikaitkan dengan pengaruh daripada ayah berbanding ibu mereka.
6 Sebab Anak Perlu Rapat Dengan Ayah Sejak Mereka Kecil Lagi
Memang normal bagi sesetengah lelaki untuk memikul tanggungjawab dan peranan bapa pada awalnya. Walaupun kekok dan sentiasa sibuk dengan tugas di luar rumah, inilah manfaat yang bakal didapati oleh anak yang rapat dengan Ayah.
1. Anak Yang Rapat Dengan Ayah Punyai IQ Lebih Tinggi
Dalam sebuah kajian oleh Father Involvement Research Alliance telah menunjukkan bahawa bayi yang mempunyai hubungan yang rapat dengan ayah sejak kecil memiliki sifat lebih konfiden, emosi yang stabil, dan berani meneroka persekitaran mereka. Apabila meningkat usia 3 tahun, mereka juga lebih bijak bersosial, mudah menyelesaikan masalah, dan memiliki IQ yang lebih tinggi.
2. Anak Cenderung Menjadi Konfiden Dan Berani
Selain ciri tersebut, anak kecil yang rapat dengan bapa mereka dilihat lebih bersedia untuk memulakan prasekolah serta mampu mengendalikan rasa bimbang apabila berjauhan dengan rumah. Hebat, bukan?
3. Keputusan Akademik Lebih Baik
Apabila bapa kurang melibatkan diri dengan aktiviti harian mereka, sifat dinamik seperti yang disebutkan di atas ini kurang terserlah. Sehubungan itu, sebuah lagi kajian membuktikan bahawa bapa yang memainkan peranan besar dalam perkembangan anak mereka sejak kecil turut menyumbang kepada kebolehan akademik mereka di sekolah.
Percayakah anda, melalui kajian tersebut, didapati bahawa anak yang rapat dengan Ayah adalah 43% lebih berpotensi untuk mendapatkan A dalam semua matapelajaran.
4. Kurang Masalah Tingkah Laku Di Sekolah
Menurut Psychology Today, peranan bapa dapat dilihat sangat signifikan dalam bermain bersama bayi. Melalui permainan inilah bayi banyak belajar untuk bersosial dan memupuk kestabilan emosi yang baik. Ini terbukti apabila kajian mendapati anak yang rapat dengan Ayah kurang mengalami masalah disiplin dan tidak terganggu dengan kemurungan.
Ini ada benarnya kerana sebagai ibu, kita sendiri tentu faham betapa kita sentiasa sibuk dengan pelbagai kerja rumah yang tak pernah habis. Selain itu, variasi pada suara, riak wajah, serta cara berkomunikasi ibu dan ayah akan mempelbagaikan lagi kebolehan si kecil untuk memahami tentang emosi dan tingkah laku.
5. Anak Perempuan Jadi Bijak Menilai Lelaki
Anak-anak, terutamanya anak perempuan yang rapat dengan ayah mereka lebih berpotensi untuk memiliki hubungan yang sihat dengan kaum lelaki pada masa akan datang kerana mereka memahami bagaimana seorang lelaki harus melayani seorang wanita. Dengan meluangkan masa bersama Ayah, anak dapat mengenalpasti ciri seorang lelaki yang baik dan seharusnya dijadikan teman hidup.
Terbukti melalui kajian bahawa anak perempuan yang rapat dengan ayahnya berjaya memiliki perkahwinan yang harmoni dan bertahan buat jangka masa panjang. Mereka ini tidak mudah ‘tertipu’ dan mampu membezakan sifat lelaki yang baik dan sebaliknya. Sebuah lagi pemerhatian mendapati mereka yang sering berinteraksi dengan ayah kurang kebarangkalian untuk terlibat dengan kehamilan remaja. Mereka tidak senang-senang dipujuk rayu oleh lelaki kerana hati mereka telah dilimpahi kasih sayang seorang lelaki bernama ayah.
6. Role Model Kepada Anak Lelaki
Bagi seorang anak lelaki pula, mereka dapat belajar pelbagai kemahiran daripada ayahnya melalui aktiviti bersama. Malah, mereka dapat mencontohi cara gentleman yang ditunjukkan oleh si Ayah yang prihatin semasa melayani Ibu. Dari sinilah mereka akan faham bahawa sifat kelelakian bukanlah ditunjukkan sekadar dengan kekuatan fizikal semata-mata.
Sebagai ketua keluarga juga, anak lelaki banyak dipengaruhi oleh asuhan ayah dalam menekankan keadilan, ketegasan, dan tanggungjawab, tetapi dalam keadaan penuh kasih sayang. Maka, semua kualiti ini tentunya akan menjadi role model kepada anak apabila semakin meningkat usia kelak.
Peranan Bapa Sebenarnya Sangat Luas
Apapun, setelah mengetahui pelbagai kelebihan ini, cubalah untuk lebih rapat lagi dengan si kecil. Luangkanlah masa berkualiti bersama walaupun anda sibuk bekerja. Ada banyak cara yang boleh anda lakukan untuk turut serta dalam menguruskan anak dan melibatkan diri dalam aktiviti harian mereka.
Ternyata, peranan bapa adalah amat signifikan dan tidak boleh digantikan oleh Ibu.