“Sayang, I tahulah you sibuk. Tapi, luangkanlah masa sekejap dengan anak-anak kita tu. Kasihan diorang, dah lama tak main dengan Papa.”
Anak-anak kebiasaannya lebih selalu berada di samping ibu berbanding ayah kerana tuntutan kerja. Tapi, ini tak bermakna si ayah menjadikannya sebagai alasan untuk tidak meluangkan masa berkualiti bersama mereka. Menurut Psychology Today, anak-anak yang rapat dengan ayah akan menunjukkan perkembangan positif secara emosi mahupun intelek.
Lelaki dan wanita dijadikan berbeza bukan sekadar pada fizikal, tetapi juga dari pelbagai sudut – cara mereka makan, cara mereka berpakaian, cara mereka bercakap, cara mereka ketawa, cara mereka menguruskan stres, dan macam-macam lagi. Maka, kedua-dua karakter ini penting dalam pembentukan identiti anak agar mereka belajar mencari keseimbangan.
Kalau salah satu daripadanya tidak dipenuhi, mungkin akan terbit ruang kosong, yang diikuti dengan rasa ingin tahu yang semakin mendalam dari hari ke hari. Apa yang bahaya, keperluan ini mungkin akan dicari oleh si anak dari tempat yang salah.
6 Peranan Ayah Dalam Memenuhi Kekosongan Hati Anak
Berikut adalah peranan ayah yang dapat menyumbang kepada keperibadian anak.
1. Penglibatan Aktiviti Harian
Sebuah penelitian di Brigham Young University mendapati bahawa penglibatan ayah dalam aktiviti harian – contohnya makan malam bersama, menonton TV, melakukan kerja rumah bersama keluarga – adalah jauh lebih penting kepada anak berbanding sebuah percutian mewah.
Walaupun aktiviti santai seperti percutian juga boleh memberi banyak impak positif kepada anak, namun mereka perlu memahami cara sebuah keluarga berfungsi dengan penglibatan seorang ayah.

Foto Kredit: huffingtonpost.com
2. Teman Ketawa
Seperti yang kita sedia maklum, lelaki pada umumnya sukar menunjukkan kasih sayang berbanding wanita. Menurut sumber dari Warga Prihatin, ramai sekali anak-anak yang bermasalah tidak tahu meluahkan perasaan. Hidup mereka boleh dikatakan monotonous, seolah-olah mereka tiada perasaan dan tidak dapat bertindakbalas dengan suasana persekitaran
Justeru, seorang ayah boleh melatih emosi anaknya untuk bergelak ketawa bagi melahirkan rasa gembira. Tak perlu menjadi seorang profesional untuk menghiburkan anak. Anda boleh menyanyi bersama, melakukan gaya yang pelik, menggeletek, bermain, atau membuat suara lucu ketika membaca buku cerita. Jangan hanya mengharapkan anak tertawa semasa menonton kartun di TV saja. Tindakan ini amat bermakna kepada anak dan sama sekali tidak memerlukan belanja!

Foto Kredit: parentsavvy.com
3. Tempat Berkongsi Cerita
Pakar psikologi menyatakan bahawa bahasa komunikasi oleh lelaki dan wanita itu sangat berbeza. Semasa bercakap dengan anak, golongan ibu lebih suka meringkaskan ayat agar senang difahami oleh si kecil. Tetapi, berbeza pula bagi si ayah. Secara automatiknya, penggunaan bahasa ‘dewasa’ ini menyebabkan seorang anak terbiasa dengan perbendaharaan kata dan mampu menguasai kemahiran linguistik yang lebih baik.
Di samping itu, perbualan juga dapat merapatkan hubungan dan memupuk rasa percaya dalam diri anak.

Foto Kredit: huffingtonpost.com
4. Sumber Keyakinan
Naluri si ibu adalah lebih fokus untuk melindungi si anak. Wanita lebih mudah risau, berhati-hati dan kurang mendedahkan anak kepada risiko. Sebaliknya, sifat maskulin yang berada dalam diri ayah kebiasaannya mahu anak mereka menjadi lebih berani. Bukan saja secara fizikal, tetapi juga secara emosi di mana mereka menggalakkan anak untuk mencuba idea-idea baru.
Dalam sebuah kajian, didapati bahawa semasa mengajar anak berenang, golongan ayah cenderung untuk berdiri di belakang anak supaya mereka dapat berdepan dengan persekitaran dan sosial. Sebaliknya, ibu-ibu pula akan melakukan perkara yang bertentangan demi keselamatan anak. Tiada yang betul atau salah dalam hal ini. Namun, peranan ayah tentu sekali membantu dalam membina karakter yang seimbang di samping meningkatkan keyakinan diri si anak.

Foto Kredit: pinterest.com
5. Kasih Seorang Lelaki
Hubungan ibu dan ayah memainkan peranan yang besar dalam mata si kecil yang sentiasa memerhati. Mata-mata kecil ini penuh dengan rasa ingin tahu serta pertanyaan. Namun, tidak semuanya dapat diucap dek susunan kata mereka yang terhad. Maka, mereka belajar melalui pemerhatian.
Anak-anak, terutamanya anak perempuan yang rapat dengan ayah mereka lebih berpotensi untuk memiliki hubungan yang sihat dengan kaum lelaki kerana mereka memahami bagaimana seorang lelaki harus melayani seorang wanita. Mereka ini tidak mudah ‘tertipu’ dan mampu membezakan sifat lelaki yang baik dan sebaliknya. Mereka tidak senang-senang dipujuk rayu oleh lelaki kerana hati mereka telah dilimpahi kasih sayang seorang lelaki bernama ayah.

Foto Kredit: couplestherapyinc.com
6. Didikan Disiplin & Agama Yang Kukuh
Sumber menyatakan bahawa seorang ayah menekankan keadilan, ketegasan, dan tanggungjawab manakala seorang ibu pula lebih cenderung memberi kepentingan terhadap simpati, kasih sayang, dan pertolongan. Walaupun berbeza cara, kedua-dua kombinasi ini penting untuk mewujudkan disiplin yang menyeluruh diri anak.
Akhir sekali, dan yang paling penting, peranan ayah adalah untuk memastikan anak-anak diberi didikan agama. Walau sesibuk mana, pastikan anda tidak ‘lepas tangan’ dan menganggap urusan ini boleh dilakukan sepenuhnya oleh ibu mahupun cikgu.
Sementara itu dalam Islam, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Hak anak pada ayahnya adalah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila dia sudah cukup umur dan mengajarinya al-Quran.” (Riwayat Al-Hakim dan Ad-Dailami).

Foto Kredit : furkannesli.com
Penglibatan Seorang Ayah Akan Membawa Perubahan Besar Kepada Anak
Peranan ayah adalah meluas dalam urusan membina keluarga dan bukan terhad sekadar membayar bil. Tidak dinafikan bahawa ayah mempunyai masa yang lebih terhad berbanding ibu. Namun, gunakanlah masa yang sedikit itu dengan penuh berkualiti.
Dek kerana sibuk bekerja, jangan sekadar menjadikan wang yang banyak sebagai modal untuk membeli gajet dan permainan untuk anak-anak. Tetapi, libatkanlah diri dengan anak-anak supaya mereka dapat belajar dan menghargai kehadiran anda. Percayalah, peranan seorang ayah mampu memberi impak yang besar kepada masa depan anak.