Nostalgia

7 Perkara Yang Akan Selalu Diingat Oleh Anak Bila Mereka Besar

1.9K
reads
memori anak

“Ingat tak dulu masa kecik Abang suka main bawah katil? Eh, takkan tak ingat. Kan dulu hari-hari nak menyorok kat situ dengan mainan…”

Ada masanya keluarga kita akan berbual tentang kisah dan nostalgia semasa kecil. Tapi, bukan semua yang mereka bualkan mampu untuk kita ingat. Tapi, ada banyak juga perkara yang kita dapat ingat dengan jelas, tak kiralah sejak kecil hinggalah dewasa. Ia seakan-akan baru berlaku semalam!

Jika difikirkan semula, bagaimana agaknya otak kita begitu selektif dalam mengingat memori tertentu? Sebenarnya, ada beberapa perkara yang akan ‘melekat’ dalam memori anak semasa mereka membesar. Ini antara perkara yang wajar kita beri perhatian dan renungkan.

7 Perkara Yang Akan Selalu Diingat Oleh Anak Bila Mereka Besar

1. Pelukan Demi Pelukan

Pelukan bukan saja memberi kelegaan kepada anak yang sedang emosi, ia juga merawat hati ibu yang sedang stres. Pelukan adalah cara paling mudah untuk kita berkomunikasi, tetapi ia mendatangkan kesan yang begitu mendalam ke dalam memori anak. Sebab itu, jangan pernah berhenti memeluk anak walaupun mereka sudah meningkat remaja dan dewasa!

Selain pelukan, kata-kata semangat seperti, “Ibu bangga dengan kamu,” atau “Terima kasih kerana kamu selalu menceriakan Papa,” adalah ekspresi positif yang mampu membentuk identiti si anak sejak kecil.

cara mendidik anak nakal

Foto Kredit : filori.net

2. Buku Cerita Yang Dibacakan

Kita tidak sepatutnya melihat aktiviti membaca sebagai aktiviti akademik yang serius atau membosankan. Sebaliknya, ia patut disertai dengan pelbagai suara pelik atau gaya lakonan, sehingga ia mampu mencetuskan pelbagai pertanyaan dan gelak tawa anak-anak. Melalui proses inilah memori anak akan terbentuk dan terpahat dalam otak mereka buat sekian lama.

Kalau tak percaya, tanya diri kita sendiri. Tentu kita akan ingat salah satu buku yang pernah dibacakan oleh ibu bapa kepada kita, bukan?

petua anak cerdik

Foto Kredit: drkateroberts.com

3. Cara Kita Melalui Kesukaran

Membesarkan anak bukannya melibatkan memori yang indah saja. Sedikit sebanyak, tentu ada ketika kita akan berhadapan dengan situasi cemas, getir, susah, stres, dan sedih.

Anak kecil banyak meniru perbuatan ibu bapa dalam semua segi termasuklah yang satu ini. Apabila mereka besar, mereka akan ingat bagaimana anda bercakap dengan mereka, cara anda melindungi mereka, dan reaksi anda semasa menghadapinya. Ini juga boleh menjadi kekuatan kepada mereka agar lebih bersedia melalui dunia sebenar.

Foto Kredit: asgaliu.lrytas.lt

4. Layanan Terhadap Pasangan

Ibu dan ayah adalah orang yang paling rapat dengan anak sewaktu mereka kecil. Maka, tidak hairanlah hubungan antara 2 orang ini boleh menjadi impak terbesar dalam hidup si anak.

Sungguhpun anak kecil masih boleh memahami masalah rumah tangga, mereka pastinya dapat mengagak emosi yang melanda antara anda dan pasangan. Malah, jika kita bergaduh hal yang remeh sekalipun di hadapan mereka, si kecil boleh terasa jauh hati dan tertekan. Malah, ia boleh mempengaruhi tindakan mereka ketika meningkat usia kelak.

5.  Tradisi Keluarga Yang Unik

Kita tentu ingat kalau keluarga kita selalu adakan ‘talent night’ atau 1 hari tanpa gajet dalam seminggu. Sesetengah keluarga yang suka memasak pula mungkin ada 1 resepi yang mereka akan hasilkan setiap minggu bersama anak-anak. Ada juga yang suka buat eksperimen sains, DIY, dan macam-macam lagi.

Tak kiralah jika ia kedengaran kelakar, inilah tradisi yang akan terlekat dalam memori anak. Jadi, kalau anda belum mencipta sesuatu seperti ini, masih belum terlambat untuk anda memikirkannya sekarang!

Foto Kredit: foodnetwork.com

6. Percutian Keluarga

Yang akan diingat oleh anak semasa percutian keluarga adalah masa bersama. Bukannya jauh atau dekat lokasi yang ditujui. Bukannya berapa bintang hotel yang kita duduk. Bukannya penerbangan kelas berapa yang mereka naik.

Percutian keluarga lebih berharga berbanding mainan dan hadiah. Pengalaman itu jauh lebih ‘mahal’. Macam-macam perkara lucu dan cemas boleh berlaku semasa ini. Tambahan pula, apabila kita travel bersama, kita akan lebih memerlukan antara satu sama lain.

Foto Kredit: aklat.net

7. Masa Kita Tiada Di Samping Mereka

Sedarkah anda, ada perkara yang akan diingat paling jelas oleh anak tentang kita adalah ketiadaan kita. Namun, tidak semestinya dalam erti kata yang negatif.

Mungkin apabila mereka mula berasrama, barulah mereka mengenang kembali bagaimana mereka tertunggu-tunggu kedatangan anda pada waktu outing. Ketika inilah mereka belajar untuk lebih menghargai, merindui, dan bertanyakan tentang keadaan anda. Apabila anak belajar di luar negara contohnya, mungkin mereka paling mengingati saat terpaksa berhari raya tanpa keluarga. Semua ini boleh memberi kesan dalam hidup mereka mungkin buat selama-lamanya.

Foto Kredit: sheknows.com

Memori Anak Tidak Terbatas

PsychCentral mendapati bahawa kanak-kanak akan melalui ‘childhood amnesia’ pada usia sekitar 7 tahun, di mana kebanyakan memori sewaktu kecil akan mula terpadam dan digantikan dengan memori yang baru. Mungkin masih ada saki-baki memori yang masih mampu diingat pada awal usia, namun ia mungkin tidak mengandungi maklumat dan perincian yang tepat.

Walau apa pun usaha kita sebagai ibu bapa, raikanlah detik indah untuk membina memori anak masing-masing. Kadangkala, kita cuma perlu berhenti dan mengambil beberapa langkah ke belakang.

Biar masa berhenti dan tinggalkan telefon bimbit di bilik. Tataplah wajah si kecil kerana mereka akan membesar dalam sekelip mata saja!

Yang Popular

To Top