Bersalin

7 Perkara Anak Sulung Nak Mama Tahu Bila Dapat Adik Baru

2.7K
reads

“Kehamilan anak kedua ni macam tak sama dengan masa ‘first baby’ dulu. Nak kata dah ‘pro’ tu bukanlah, tapi rasa sedih dan risau pula tentang penerimaan anak sulung nanti. Cemburukah dia nanti?”

Sebagai seorang ibu, kita memang dikurniakan hati yang amat sensitif dan naluri keibuan yang kuat. Ingat lagi tak perasaan masa bertarung nyawa melahirkan anak pertama dahulu? Anda dapat melaluinya dengan tabah. Kini, apabila tiba anak kedua, mungkin ianya bukan lagi sesuatu yang anda takutkan.

Sebaliknya, kehamilan anak kedua ini mungkin menjadikan anda sedikit emosional apabila risaukan penerimaan anak sulung anda terhadap adiknya yang bakal lahir. Anda juga bakal merindui ‘moment’ indah yang dulunya hanya dialami berdua.

Yang pasti, kehadiran orang baru tentunya akan membawa perubahan dalam hidup anda semua, terutamanya anak sulung anda.

kehamilan anak kedua

Foto Kredit: 5s1.ru

7 Perkara Yang Anak Sulung Nak Mama Tahu Bila Dapat Adik Baru

Ada yang sukar membaca fikiran anak sulung kerana mungkin sebilangan daripada mereka tidak mahir meluahkan perasaan dan belum dapat mengatur ayat dengan baik.

Jadi, kalau mereka meragam atau ‘tantrum’, cuba ingatkan 7 perkara ini yang ingin disampaikan oleh mereka.

1. “Saya cuma nak pastikan sama ada Mama masih sayangkan saya”

Walaupun anda sedang bersusah-payah melayani mereka berdua sepanjang hari, anak anda mungkin tidak tahu ia adalah bukti cinta anda kepada mereka.

Anak sulung anda tidak faham anda yang penat, kesakitan, atau letih semasa berpantang. Mereka ingatkan anda tidak ceria kerana semuanya adalah salah mereka.

Jadi, anda perlu yakinkan mereka setiap hari bahawa anda masih sayangkan mereka walaupun anda kelihatan penat dan letih.

cara bercakap dengan anak

Foto Kredit: eumom.ie

2. “Saya rindukan Mama”

Walaupun anak sulung ini selalu berada di depan mata anda sepanjang masa, percayalah mereka amat ‘merindui’ masa untuk berdua dengan anda – tanpa adik barunya.

Mereka rindukan anda yang dulu. Anda yang punya masa bermain dengannya, anda yang melayannya tanpa gangguan dan tangisan bayi, anda yang menemaninya ke mana saja mereka pergi.

Anda juga mungkin tak pernah jatuh sakit selama anda berpantang, jadi mungkin mereka juga rindukan masa untuk berkejar-kejaran keliling rumah dan bermain di luar dengan anda.

3. “Saya takut Mama lupakan saya”

Emosi yang dirasai oleh anak kecil anda adalah sesuatu yang tidak pernah mereka kenali. Pengalaman pertamanya mempunyai seorang adik tentunya bukan mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi jika mereka masih manja dengan anda dan belum memahami erti kehidupan.

Anda perlu ingat bahawa semasa kehamilan anak kedua, anak sulung anda sedang berusaha untuk beradaptasi dan mengetahui di mana kedudukannya dalam mata ibu bapanya. Oleh itu, pastikan anda juga berusaha meluangkan sedikit masa berdua, terutamanya semasa bayi sedang tidur atau dijaga oleh Papa.

Foto Kredit: today.com

Foto Kredit: today.com

4. “Saya sedang belajar, Mama”

Anak sulung kini dah bergelar ‘abang’ atau ‘kakak’. Secara automatiknya, anda ‘expect’ mereka cepat faham perasaan anda dan anda pula cepat marah kalau mereka buat perangai, degil, dan tak mahu bertolak-ansur. Tapi, hakikatnya mereka masih kecil dan bukanlah sematang yang kita sangkakan.

Jadi, walaupun mereka tak nampak seperti mencuba, sebenarnya mereka sedang belajar memahami perasaan tersebut dan beradaptasi dengan perubahan yang berlaku dalam keluarga.

Mereka perlu masa untuk belajar daripada kesilapan dan pengalaman, seperti mana anda melaluinya sewaktu pertama kali bergelar ibu. Tentu menjengkelkan apabila orang sekeliling asyik memberi komen terhadap apa yang anda lakukan, bukan?

Foto Kredit: babyclub.asda.com

Foto Kredit: babyclub.asda.com

5. “Ada adik baru tak menyeronokkan pun”

Apabila ada adik baru, anak sulung anda mungkin tak boleh membuat bising seperti yang dia biasa lakukan dulu. Dia tak dapat berlari keliling rumah atau menyanyi sekuat hati seperti selalu.

Apa yang mereka nampak adalah perkara yang sama – bayi tidur, makan, mandi, menyusu, dan tukar lampin. Apa yang seronoknya bagi seorang anak kecil? Jadi, tugas anda adalah memahamkan mereka bagaimana bayi akan membesar dan bagaimana mereka juga adalah sekecil itu satu masa dahulu. Mungkin anda boleh menunjukkan foto-foto anak sulung anda semasa masih bayi dan mengimbau kenangan sambil bergelak ketawa. Barulah mereka akan faham betapa seronoknya nanti!

Foto Kredit: vix.com

Foto Kredit: vix.com

6. “Saya tak pernah kenal bayi ini, macam mana saya nak sayangkan dia?”

Tidak seperti kita yang mengandungkan bayi selama 9 bulan dalam perut, tentulah si kecil berasa sukar untuk menyayangi seseorang yang belum pernah ditemuinya.

Oleh itu, janganlah memaksa mereka untuk terus jatuh cinta pada adiknya. Mereka perlu masa untuk memahami semuanya. Antara yang boleh anda lakukan adalah memberinya peluang menyentuh dan peluang untuk bermesra secara ‘skin-to-skin contact’. Selain itu, boleh juga bacakan buku kepada mereka berdua, mandikan mereka berdua, dan libatkan bayi dalam permainan mudah yang boleh dimainkan – Contoh: bayi menjadi pesakit dan anak sulung pula menjadi doktor.

Foto Kredit: chicagotribune.com

Foto Kredit: chicagotribune.com

7. “Saya sedih bila Mama marahkan saya”

Dalam beberapa bulan pertama, anda perlu amat berhati-hati dengan penggunaan perkataan agar tidak menyebabkan anak sulung bertambah cemburu. Dalam tempoh ini juga, anak sulung sedang cuba belajar dan mereka akan mudah tersinggung apabila anda memarahi mereka atau membandingkan dengan adik barunya.

Sama ada secara sengaja atau tidak, ia boleh memberikan kesan kepada perasaan anak sulung anda terhadap adiknya.

Foto kredit: todobebe.com

Foto kredit: todobebe.com

Kehamilan Anak Kedua Sangat Unik

Walaupun kehamilan anak kedua nampak lebih mudah untuk anda dan pasangan, tetapi ia mungkin akan menjadi pengalaman yang penuh emosional bagi anda dan anak sulung anda. Jadi, jangan cepat rasa stres atau marah apabila anak sulung anda buat ‘perangai’ atau meragam tak tentu pasal kerana mungkin mereka cuba memberitahu anda 7 perkara ini.

Ingat, apabila anda sibuk menguruskan bayi baru kelak, gandakanlah pelukan dan ciuman untuk anak sulung anda. Mereka betul-betul akan memerlukannya untuk membantu mengawal emosi yang menguasai diri.

Yang Popular

To Top