40 Minggu

Peluk dan Layankan Anak Sulung Puas-puas Sebelum Ada Anak Kedua

14.6K
SHARES

“Seronok memang seronok bila dapat tahu mengandung lagi. Tapi, bersediakah aku? Kenapa hamil anak kedua ni rasa tak sama macam anak pertama dulu?”

Kita selalu dengar orang cakap bahawa setiap kehamilan adalah unik dan berbeza. Tapi, sedarkah anda bahawa hamil anak kedua biasanya menjadikan seseorang wanita lebih emosional? Bukannya tak gembira, tapi perasaan gelisah, takut, dan sayu kerapkali datang silih berganti.

Jangan risau, sebenarnya perasaan ini adalah normal.

5 Perkara Yang Akan Mama Rasa Bila Hamil Anak Kedua

Berikut adalah antara perkara yang sering Mama rasakan ketika hamil anak kedua.

1. Bimbang Anak Sulung ‘Tak Cukup Kasih Sayang’

Mungkin hal inilah yang sering menjadi kebimbangan Mama. Namun sebenarnya, perasaan ini adalah sangat normal, lebih-lebih lagi apabila jarak kehamilan adalah rapat. Ada yang masih menyusu dan terpaksa dihentikan penyusuan badan atas nasihat doktor kerana berlaku kontraksi. Sebagai ibu, tentulah kita akan berasa canggung kerana terpaksa menidakkan hak si kecil yang masih belum tahu apa-apa.

Tetapi, anggaplah perasaan ini sebagai kehebatan naluri seorang ibu yang begitu sensitif terhadap keperluan anaknya. Malah, Mama mungkin tetap akan mempunyai perasaan ini walaupun jarak anak sulung dan anak kedua melebihi tempoh 3-4 tahun!

Foto Kredit: today.com

2. Kurang Membuat Persiapan

Semasa hamil anak pertama, anda banyak membaca dan mempunyai banyak masa untuk diri sendiri. Berbanding hamil anak kedua, anda mungkin mempunyai masa yang begitu terhad untuk diri sendiri. Sibuk dengan kerja di pejabat, menguruskan rumah tangga, menjaga anak sulung, dan sebagainya.

Oleh sebab itu, wanita cepat berasa letih. Secara tak langsung, ini juga mampu menyebabkan mereka lebih cepat emosional hingga bersikap acuh tak acuh terhadap anak sulung yang masih kecil dan inginkan perhatian.

isteri berhenti kerja

Foto Kredit: thechart.blogs.cnn.com

3.  Bimbangkan Penerimaan Anak Sulung

Anda risaukan penerimaan anak sulung terhadap adiknya. Bolehkah dia menyayanginya? Adakah dia akan cemburu nanti? Ini antara yang sering menjadi kerisauan Mama dan Papa.

Sebelum kelahiran anak kedua, manfaatkanlah masa berkualiti bersama anak sulung anda. Berbuallah dari hati ke hati jika mereka sudah dapat memahami. Sedikit sebanyak, ini dapat membantu membina keyakinan mereka untuk menghadapi perubahan yang bakal berlaku apabila hadirnya adik baru.

hamil anak kedua

Foto Kredit: consumerhealthdigest.com

4. Takut Tak Dapat Berlaku Adil

Mana mungkin Mama boleh melupakan saat-saat anak sulung yang sentiasa menjadi peneman setia anda ketika suami pergi kerja, outstation, dan sebagainya. Mereka setia bersama kita di saat susah dan senang, maka anda mungkin akan rasa bersalah jika kurang perhatian terhadap mereka apabila hadirnya anak kedua.

Memang sukar untuk ‘melepaskan’ memori bersama anak sulung. Tapi percayalah, memori bersama anak sulung anda akan kekal selamanya dan tidak akan terusik dengan kehadiran anak kedua. Bahkan, anak kedua juga bakal mempunyai ‘tempat’ tersendiri yang sangat istimewa dalam hati anda.

kehamilan anak kedua

Foto Kredit: 5s1.ru

5. Masih Fobia Dengan Komplikasi Kelahiran Anak Pertama

Semasa kelahiran anak pertama, anda mungkin tak tahu lagi bagaimana rasa sakitnya bersalin. Malahan, anda langsung tak mahu mendengar bagaimana kesakitan bersalin itu kerana tidak mahu ianya mempengaruhi pemikiran positif anda.

Tapi, setelah merasainya sendiri, anda tak dapat lari daripada memikirkan kesakitannya. Bukan itu saja, mungkin ada yang masih trauma kerana mengalami komplikasi semasa bersalin anak sulung. Maka, amat penting untuk mendapatkan sokongan keluarga, terutamanya suami.

Foto Kredit: sheknows.com

Fikir Yang Positif Ya!

Seorang wanita bergelar ibu ini mempunyai limpahan kasih sayang yang tidak pernah putus buat semua anak-anaknya. Jadi, jangan risau kerana setiap anak itu tentu akan rasa bahagia dengan perhatian yang anda berikan kepadanya, tanpa mengira masa.

Hamil anak kedua mungkin lebih mencabar berbanding anak pertama. Yang pasti, semua ini bakal menjadi memori yang indah dan akan anda ingati selamanya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×