40 Minggu

Wanita Paling Emosional Semasa Mengandung Anak Kedua

64.4K
SHARES

“Patutnya aku rasa seronok sebab dapat mengandung lagi. Tapi, tak sangka pengalaman mengandung anak kedua ini sangat berbeza berbanding masa kali pertama dulu. Bila duduk seorang diri, mulalah rasa macam sayu. Tak tahulah kenapa rasa begini.”

Ada tak ibu yang ada pengalaman mengandung anak kedua begini? Percayalah, anda bukan keseorangan.

6 Perkara Yang Buat Wanita Rasa Emosional Semasa Mengandung Anak Kedua

Ada banyak faktor yang membuatkan wanita akan berasa begini. Ini antaranya sebabnya.

1. Banyak Memori Dengan Anak Pertama

Walaupun kita telah menjarakkan kehamilan, antara kita yang rasa takut untuk ‘melepaskan’ memori bersama anak pertama.

Selama ini, anda telah ditemani dengan setia oleh anak pertama. Dialah yang menemani anda apabila suami ‘outstation’, dia jugalah yang memimpin tangan anda apabila anda ke kedai berdua, dialah yang menyusu badan dengan anda selama 2 tahun lamanya. Mana mungkin anda berdua melakukan perkara ini lagi apabila hadir anak kedua?

Benar, memori ini semua akan membuat anda berasa takut untuk menerima kehadiran orang baru. Namun percayalah, anak kedua juga bakal mempunyai ‘tempat’ tersendiri yang sangat istimewa dalam hati anda.

aktiviti untuk anak di rumah

Foto Kredit: quietrev.com

2. Takut Tak Mampu Berlaku Adil

Eh, dah macam lelaki nak kahwin dua pula, bukan? Yang membezakannya, ini bukan soal pasangan, tetapi anak.

Sebagai wanita, kita yang sensitif ini mungkin akan terdetik, “Bolehkah aku menyayangi kedua-duanya dengan adil dan sepenuh hati, tanpa perasaan pilih kasih?”

Kita perlu yakin bahawa naluri keibuan yang dikurniakan kepada kita akan sentiasa membantu dalam membuat keputusan yang sebaiknya.

Malah, ada banyak perkara yang kita baru belajar semasa melahirkan anak pertama. Begitu jugalah dengan pengalaman mengandung anak kedua ini.

3. Anak Pertama Masih Menyusu Badan

Atas alasan kesihatan, ada sesetengah ibu yang terpaksa bercerai susu dengan anak sulung sebelum umurnya masuk umur 2 tahun.

Kecewa, marah, sedih, semuanya ada apabila mengenangkan seorang anak terpaksa dinafikan haknya. Malah, kita akan sentiasa beranggapan bahawa kita ‘berhutang’ dengannya.

Jangan begitu, kita perlulah menerima hakikat dan berhenti menyalahkan diri sendiri atau keadaan. Berbincanglah dengan doktor, mungkin anda boleh mencuba kaedah ‘tandem nursing’ atau memberikan anak susu perahan jika anda masih ingin meneruskan penyusuan badan.

Yakinlah bahawa perancangan Tuhan itu tentu ada hikmahnya.

bayi susah makan

Foto Kredit: pediact.com

4. Lebih Cepat Letih

Keletihan adalah antara pengundang stres yang paling utama.

Apabila masuk kehamilan kedua, seseorang wanita biasanya telah mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan anak pertama, yang biasanya masih memerlukan perhatian dan belum dapat berdikari sepenuhnya.

Ada baiknya juga jika anda mula bergilir-gilir untuk menghantar anak ke taska atau memandikan mereka supaya mereka tidak rasa ‘kehilangan’ sebaik saja adiknya lahir.

Selain itu, faktor usia yang semakin meningkat juga menjadikan kita lebih cepat berasa letih semasa mengandung anak kedua.

berhenti kerja jaga anak

Foto Kredit: thestar.com

5. Kurang Mengambil Berat Terhadap Kesihatan

Berbanding kehamilan kali pertama, kita lebih fokus dan banyak membaca tentang artikel-artikel kehamilan. Sedikit sebanyak, kita rasa ‘dekat’ dengan kandungan tersebut.

Kita juga rajin mencari makanan yang elok untuk dimakan demi kesihatan diri dan bayi yang bakal lahir.

Namun, pengalaman mengandung anak kedua biasanya kita sudah terlalu sibuk dan tidak punya masa untuk bersendiri. Kalau ada pun, kita telah terlalu letih untuk membuat apa-apa.

Malah, kita cenderung memakan snek atau makanan segera akibat kesuntukan masa dan juga stres yang melanda. Pengambilan makanan rapu berlebihan juga mampu menjejaskan emosi kita.

Foto Kredit: imujer.com

Foto Kredit: imujer.com

6. Risau Terhadap Perubahan

Kita rasa gementar terhadap penerimaan anak sulung terhadap bakal adiknya. Malah, ada yang menyalahkan diri sendiri, terutamanya apabila kehamilan anak kedua hadir terlalu awal tanpa dirancang.

Kita berasa risau dan ‘terbeban’ dengan tanggapan mereka sedangkan kita tidak perlu berasa demikian kerana ia semua telah ditakdirkan.

Secara semulajadinya, mungkin anak sulung akan berasa cemburu pada awalnya. Namun, lama-kelamaan tentu hatinya akan menjadi sayang dengan bayi baru itu.

pengalaman mengandung anak kedua

Foto Kredit: mamaetagarela.com

Pengalaman Mengandung Anak Kedua Sangat Bermakna

Bertenang, memori bersama anak sulung anda akan kekal selamanya dan tidak akan terusik dengan kehadiran anak kedua.

Jangan pandang rendah pada kapasiti seorang ibu untuk mencintai anak-anaknya. Cinta itu akan datang mencurah-curah dan setiap anak itu tentu akan rasa bahagia dengan perhatian anda. Yang penting, anda perlu menerima kehamilan ini sebagai sebuah khabar gembira.

Tentu sekali kehidupan anda bertiga akan berubah dengan kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga. Tetapi, pastinya ia akan berubah ke arah yang lebih baik – dan meriah!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×