“Anak baru seorang saja, tapi rasa macam dah tua pula aku ni…”
Sedar tak sedar, tiba-tiba saja bayi yang baru dilahirkan dah semakin besar. Rasa macam baru semalam menyambut kelahiran dan merasai pengalaman anak pertama.
Sekalipun jiwa masing-masing masih ‘muda’, ada perkara yang boleh buat kita rasa ‘tua’ semacam!
11 Tanda Kita Dah Tua, Walaupun Baru Anak Satu
1. Budak-budak Panggil ‘Makcik’ / ‘Pakcik’
Mungkin sebelum ini kita tak biasa dengan gelaran ‘pakcik’, ‘makcik’, ‘uncle’, ‘aunty’ dan sebagainya sebab belum pernah ada anak buah.
Tapi, bila kita keluar terjumpa anak kawan, mulalah mereka cakap pada anak mereka, “Haa… Pergi salam Makcik dan Pakcik.” Kalau pertama kali tentu ‘terasa’ juga. Tapi, janganlah makan hati. Dah memang betul pun patut digelar begitu, bukan?

Foto Kredit: soltana.ma
2. Tak Larat Nak Kejar Anak
Sewaktu anak masih didukung, ada masanya kita akan rasa lenguh juga. Tapi, lama-lama ‘steady’ juga.
Yang tak laratnya, nak mengejar anak bila mereka dah dapat ‘kaki’. Bukan main panjat sana sini, capai barang itu ini. Seronok pula bila kita menyergah mereka sambil berkejaran. Memang seronok bermain, tapi sedar-sedar kejap lagi kita yang ‘surrender’ dulu.

Foto Kredit: videoknowhow.com
3. Susah Berjaga Lepas Pukul 9 Malam
Kalau diajak pergi mana-mana, kalau boleh tunggu hari cuti sajalah. Lebih suka memerap di rumah.
Kalau dulu, tak ada masalah nak ‘stay up’ sampai larut malam. Tapi sekarang, lepas pukul 9 malam memang dah masuk ‘mood’ rehat. Kalau anak buat karenah tak mahu tidur, mulalah rasa nak ‘menyinga’ saja. Tapi, itupun kalau masih ada tenaga nak marah lagi.

Foto Kredit: quicketch.com
4. ‘Bercinta’ Dengan Kopi
Dulu tak faham juga kenapa orang-orang tua suka sangat minum kopi. Sekarang kalau tak minum kopi dalam sehari, terasa macam budak-budak yang tak dapat snek kegemaran mereka.
Tak kiralah di rumah atau pejabat, mesti minum kopi dulu baru ‘celik’ biji mata!

Foto Kredit: imujer.com
5. Baju Selesa Lebih Penting, Stail Nombor 2
Dulu mungkin ada yang guna prinsip ‘dressed to kill’ di mana seseorang tak kisahlah kalau sakit sedikit pakai tumit tinggi, baju kerawang-kerawang, tudung lilit sana sini, dan sebagainya.
Tapi, bila dah ada anak, kadang-kadang rasa tak berbaloi nak pakai semua ini. Biarlah apa orang nak fikir, asalkan taklah selekeh. Nak dukung anak satu hal, nanti tumpah sana sini pun satu hal juga. Nanti sebab nak melawa punya pasal, meranalah diri sendiri.
6. Bangun Awal Pagi
Tak ingat lagi bila kali terakhir kita bangun lewat. Sama ada secara paksa atau rela, kita tetap akan bangun awal sebab anak dah bangun sama. Bila anak masih tidur, rasa ‘sayang’ pula nak gunakan masa untuk tidur sama. Lebih suka bersendirian dan tak buat apa-apa.
Bagi ibu yang menyusu badan terutamanya, tak ingat lagi bila kali terakhir kita tidur dengan lena. Setiap 1-2 jam, mesti berjaga untuk menyusu badan dan mengepam.

Foto Kredit: bridoz.com
7. ‘Terlajak’ Gembira Nampak Bakul Baju Kotor Yang Kosong
Kegembiraan ini memang sukar digambarkan. Sebelum ini, mungkin bakul baju tak memberi apa-apa makna. Tapi sekarang, barulah faham pemikiran mak-mak kita.
Walaupun kita punyalah ‘recycle’ baju, baju anaklah yang paling banyak di dalamnya. Tak kiralah berapa umur mereka. Anak yang baru seorang pun asyik bertukar baju. “Dah busuk” katanya. Aduhai anak…

Foto Kredit: sheknows.com
8. Asyik Letih, ‘Angin’ Satu Badan
Masa awal-awal kahwin, bilik tidur berbau minyak wangi. Sekarang, dah bertukar dengan bau minyak angin.
Satu badan rasa lenguh dan asyik ‘minta’ dipicit saja… Tak tahulah mana yang ‘longgar’nya. Sendawa dan kentut jangan cakaplah. Kadang-kadang susah nak kawal lagi.

Foto Kredit: webmd.boots.com
9. Dah Tak Kenal Artis-artis Baru
Rasa macam ramai sangat artis baru sekarang. Tak kiralah pelakon, penyanyi, atau apa saja. Yang kita minat tetaplah yang lama juga, lebih-lebih lagi yang kita kenal masa zaman remaja dulu.
Tapi, kalau tak tengok TV pun tak mengapa. TV itu dah macam anak kita yang punya, siaran kartun saja 24 jam.

Foto Kredit : scarymommy.com
10. Mula Ulang Apa Yang Mak Ayah Pernah Sebut Pada Kita
Susah nak nafikan, bila kita sebenarnya sedang menjadi ibu kita sendiri. Kalau membebel pada anak, rasa dah macam mengulang kembali apa yang mak ayah pernah cakap pada kita.
Nasihat-nasihat yang sebelum ini hanya didengar ‘sebelah telinga’, kini mula terngiang-ngiang dalam kepala. Barulah faham betapa susahnya mereka melayan kita dulu.

Foto Kredit: verywell.com
11. Lebih Menghargai Sekecil-kecil Perkara
Kalau dulu, semua perkara boleh di’bahan’kan. Sekarang, fikir 9-10 kali sebelum bergurau. Yalah, takut-takut buat orang kecil hati. Kita makin bijak menghargai orang di sekeliling kita, dan kurang ambil pusing lagi tentang perkara-perkara remeh di media sosial. Kita tak mudah melatah dan lebih tenang mengendalikan emosi. Kita dah makin selalu sebut ayat “Tak apalah…”
Rasa dah cukup banyak buang masa sebelum ini. Bibit-bibit kesedaran mula muncul dan kita lebih prihatin terhadap masa depan, kerjaya, dan ibadah kerana memikirkan anak kita.

Foto Kredit : tazkirah.net
Pengalaman Anak Pertama Besar Kesannya
‘Tua’ ini sebenarnya adalah kematangan yang lahir dari hati kita dan sedikit sebanyak melalui kehadiran bayi serta pengalaman anak pertama. Tanpa disedari, ia banyak mengajar kita tentang kehidupan dan juga diri kita sendiri.
Apa pun, orang kata kalau dah lepas pengalaman anak pertama ini, tentu tak ada banyak masalah lagi nak hadapi anak kedua, ketiga, keempat, dan seterusnya. Betul, bukan?