“Ngerinya nak bersalin nanti. Orang cakap rasa sakit bersalin ni lah yang paling sakit dalam dunia. Betul ke?”
Kita selalu dengar orang mengatakan bahawa sakit bersalin adalah sesuatu yang paling sakit. Ada yang menyifatkannya sebagai ‘sakit kedua selepas mati’, ‘paling sakit di dunia’, dan ada juga sebaliknya.
Memang tidak dinafikan bahawa tubuh badan wanita akan mengalami proses yang amat kritikal semasa bersalin. Malah, ianya dikira sebagai pertarungan antara hidup dan mati. Namun sebenarnya, saintis mengatakan bahawa kesakitan yang dialami oleh seseorang sebenarnya adalah subjektif. Ini kerana, tiada unit atau alat yang dapat mengukur kesakitan yang dialami oleh seseorang dengan tepat.
Menurut laporan oleh Duncan Lindsay melalui Metro UK, beliau telah menemubual beberapa saintis, ahli psikologi, serta ibu-ibu di luar sana dan mendapati ada beberapa perkara yang lebih ‘seksa’ berbanding sakit bersalin. Menarik juga untuk kita tahu, bukan?
7 Perkara Yang Lebih ‘Seksa’ Berbanding Rasa Sakit Bersalin
Berikut adalah 7 perkara yang dianggap lebih menyeksakan berbanding rasa sakit bersalin menurut sains, ahli psikologi, dan juga para ibu yang pernah mengalaminya sendiri.
1. Batu Karang
Tahukah anda, penyakit batu karang boleh menjadi sangat teruk. Menurut Dr. Abdul Rahsid berkata, ia berlaku apabila wujud serpihan kristal kecil yang membentuk ketulan di dalam saluran pundi kencing atau buah pinggang.
Bermula dengan simptom awal seperti sakit perut, sakit pinggang, sakit pada alat sulit, rasa loya dan mual, hinggalah ada yang boleh pitam dan pengsan. Mereka juga akan mengalami ketidakselesaan ketika membuang air kecil.
Seorang pain psychologist, Beth Darnell PhD berkata: “Pesakit batu karang yang kritikal boleh mengalami kesakitan yang amat dahsyat, seteruk sakit bersalin atau mungkin lebih lagi.”
2. Patah Tulang
Menurut beberapa orang wanita, mengalami patah tulang pada salah satu anggota badan adalah lebih sakit ebrbanding sakit bersalin yang pernah dialami mereka. Ia bukan saja akan mengehadkan pergerakan, tetapi juga menjejaskan fungsi anggota badan yang berdekatan buat masa yang agak lama.
Malah, secara spesifiknya seorang wanita mendakwa bahawa beliau pernah mengalami patah tulang di buku lali, dan ia sudah cukup menyeksakan berbanding sakit bersalinnya satu ketika dahulu.
3. Migrain
Pernahkah anda diserang sakit kepala yang sekuat migrain ini? Migrain boleh berlarutan hingga beberapa hari. Ramai yang mengalaminya mengatakan bahawa sakitnya memang tiada kompromi. Menyeksakan!
Selain rasa sakit kepala yang mendenyut, penderita migrain akan merasakan sensasi seperti ditusuk-tusuk pada satu sisi atau kedua-dua sisi kepala. Pada beberapa kes yang lebih teruk, rasa nyeri yang dirasakan akan menjalar hingga ke belakang mata. Mereka juga akan berasa loya, mual dan sensitif terhadap cahaya hingga tak mampu melakukan aktiviti seharian yang lain.
4. Gout
Penyakit yang berpunca daripada lebihan asid urik dalam badan ini membabitkan serangan serta-merta yang bukan saja menyebabkan kesakitan tetapi turut membengkak dan rasa panas pada bahagian sendi tangan dan kaki. Selalunya ia membabitkan jari kaki yang besar tetapi juga ia boleh memberi kesan pada tumit, lutut, tapak kaki, buku lali dan jari kaki. Serangan gout boleh berlaku berulang-ulang yang dipanggil polyarticular gout. Dalam masa ini, pesakit akan berasa amat sakit, kejang dan kaki berubah bentuk.
Berdasarkan tinjauan di US, 2/3 penderita gout melabelkan penyakit ini sebagai yang paling sakit yang pernah mereka rasai. Malah, tidak kurang juga wanita yang mengalaminya merasakan bahawa ianya lebih teruk berbanding sakit bersalin. Selain simptom di atas, ada juga yang mungkin menghadapi masalah kaki bengkak, merah, panas dan demam.
Penderita gout yang serius akan merasakan sakit pada bahagian kaki terutamanya. Jangankan memakai kasut atau stokin, untuk ibu jari kaki bersentuhan dengan selimut pun boleh menyebabkan penderitaan yang tiada tandingannya.
5. Kecederaan Alat Sulit
Bagi seorang lelaki, terdapat kajian daripada para saintis yang menyamakan kesakitan bersalin ini seperti tendangan pada alat sulit lelaki (penis).
Secara medikalnya, sebuah laman web kesihatan menggelarnya sebagai ‘insidious constant penis pain.’ Seperti yang kita tahu, bahagian anggota ini sememangnya amat sensitif terhadap kesakitan. Maka, sebab itulah wanita diajar untuk menyerang anggota ini apabila diancam oleh lelaki jahat.
6. Sakit Gigi
Setujukah anda salah satu anggota badan paling kecil ini memiliki rasa sakit yang lebih teruk daripada sakit bersalin? Sebenarnya ramai wanita beranggapan begitu. Walaupun sakit hanya pada gigi, ia boleh merebak hingga ke telinga dan ada yang sampai sakit kepala. Walaupun ada yang memandang remeh pada sakit gigi, namun banyak kerja yang boleh tergendala disebabkannya.
Selain itu, sakit gigi juga amat sukar untuk dihilangkan selain dengan mencabut atau membuat rawatan akar di klinik gigi – ini juga amat ditakuti oleh ramai orang dewasa!
7. Bersalin ‘Induce’
Berbanding rasa sakit bersalin normal, sakit bersalin ‘induce’ tidak datang perlahan-lahan atau secara sedikit demi sedikit. Maka, tubuh anda tidak diberi kesempatan untuk merasakan ritma sakit kontraksi yang semakin bertambah.
Jadi, bayangkan apabila anda terpaksa bersalin pada tahap kesakitan yang paling tinggi sebelum tubuh anda sempat mengadaptasi pada tahap kesakitan yang sebelumnya!
Setiap Orang Punya Pengalaman Berbeza
Seperti yang diulas oleh pakar, setiap manusia mempunyai daya ketahanan tubuh yang berbeza dan mereka juga menilai kesakitan dengan cara yang tersendiri. Oleh itu, tidak semua orang mempunyai ketahanan terhadap perkara yang sama.
Apa kata anda pula? Benarkah sakit bersalin adalah yang paling sakit dan digeruni? Setujukah dengan 7 perkara yang lebih menyeksakan ini berbanding rasa sakit bersalin yang pernah anda lalui?